Speaker tegur ramai Ahli tidak hadir sidang

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib hari ini menegur ketidakhadiran beberapa anggota Parlimen untuk mengemukakan soalan pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Beliau membuat teguran itu kira-kira pukul 11 pagi selepas anggota Parlimen dari Sungai Petani Datuk Mahadzir Mohd Khir tidak hadir untuk mengemukakan soalannya.

“Yang tak hadir kena rekod. Banyak sangat yang tak hadir hari ini,” katanya.

Terdahulu, soalan pertama dari Datuk Tengku Putera Tengku Awang (BN-Hulu Terengganu) dan soalan keenam dari Tuan Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) juga tidak dikemukakan berikutan kedua-duanya juga tidak hadir.

Pada sesi hari ini, didapati semua Ahli Parlimen BN dari Terengganu dan Kelantan tidak hadir. Hanya Haji Ismail Noh ( PAS – Pasir Mas) tidak hadir di Dewan Rakyat.

Manakala Ahli Parlimen PAS Kelantan terdiri daripada Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Dato’ Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dato Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa) dan Haji abdul Fatah Haron (Rantau Panjang) hadir pada sidang Parlimen walaupun turut dijemput hadir pada majlis pelancaran Wilayah Koridor di Kota BHaru petang ini.

Bahkan Abdul Fatah Haron turut membahaskan Bajet 2008 pada sesi sebelah petang.

Selepas itu, empat lagi soalan secara berturut-turut tidak dikemukakan kerana ketidakhadiran anggota Parlimen yang berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui kemudiannya, Ramli berkata persidangan Dewan Rakyat boleh diteruskan kerana ketidakhadiran beberapa anggota Parlimen tidak menjejaskan perjalanan sidang itu.
Katanya keadaan sebegitu berlaku pada masa-masa tertentu kerana anggota Parlimen yang tidak hadir berkemungkinan mempunyai sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Mereka mungkin mempunyai sebab seperti berada di luar negara atau sebagainya. Buat masa ini, saya tidak boleh komen sebab kita masih belum tahu alasan mereka tidak dapat hadir untuk menyoal (kemukakan soalan).

“Kita akan rekod. Kalau misalnya tidak ada alasan yang baik, pada masa hadapan kita akan pertimbangkan tentang soalan mereka (yang akan dikemukakan),” katanya selepas menerima kunjungan Speaker Parlimen Sri Lanka WJM Lokubondera di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.