Inflasi pada kadar 20% lapor akhbar Star, sepatutnya lebih tinggi lagi, kata Dato Kamarudin

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Pengerusi, saya ada hanya dua atau tiga perkara yang ingin disebutkan dalam hal ini. Pertamanya 020500 – Subsidi Gas Cecair(LPG), Diesel dan Petrol.

Saya sealiran dengan ramai Ahli Yang Berhormat yang telah bercakap tentang ini, khususnya Yang Berhormat Ketereh dan rakan-rakan yang lain tetapi saya tidak sependapat dengan Yang Berhormat Ledang yang mencadangkan supaya pemunya kereta-kereta bersisi besar dikenakan cukai jalan yang lebih untuk mengelakkan daripada dinaikkan harga minyak kepada pengguna kereta.

Tuan Pengerusi, kita kena faham bahawa inflasi kita mengikut The Star pada kadar 20%. Itu The Star kepunyaan MCA dan kerajaan dari sudut itu, dan The Star akhbar dalam negara kita yang mana kadar ranking kedudukan akhbar telah menurun menjunam begitu banyak berani kata 20%. Kalau betul-betul bebas mungkin The Star akan kata lebih daripada 20% inflasi negara kita.

Jadi hendak naikkan lagi harga minyak dan selain daripada inflasi dan harga minyak, pengguna kereta kena bayar tol Tuan Pengerusi dan tol ini suatu yang istimewa di Malaysia bukan sahaja tinggi, tetapi naik pada tiap-tiap beberapa tahun.

Maka dengan sebab itulah saya menyeru supaya pemikiran untuk menghukum pemunya-pemunya, pengguna kereta janganlah diteruskan, dan kalau hendak dilihat dari sudut subsidi sebagaimana yang dicadang oleh Ketereh lihatlah kepada tuan-tuan punya syarikatsyarikat pembekal elektrik kepada TNB ataupun dengan ringkasnya IPP.

Mereka ini sudah mengecap keuntungan lebih daripada 10 tahun, hasil daripada subsidi LPG, LNG dan sebagainya. Oleh sebab itu kerana mereka telah mengecap keuntungan yang sebegitu lama, maka masanya sudah sampai untuk keuntungan mereka ini dapat diagihkan kepada rakyat.

Dengan caranya ialah subsidi kepada IPP-IPP ini dikurangkan mengikut kadar-kadar tahunan dan sebagainya supaya akhirnya syarikat-syarikat ini tidaklah dapat mengaut keuntungan yang begitu jelas.

Manakala hasil jualan mereka kepada TNB ditetapkan kepada harga yang tinggi yang tidak boleh ditukar. Itu perkara 020500.

Yang seterunya ialah tentang KLIA iaitu 022400 sejumlah RM1.124 bilion satu jumlah yang besar, adakah ini untuk pembinaan satu lagi terminal LCCT setelah dibina hanya beberapa tahun LCCT diumumkan pula akan dibina satu lagi LCCT di sekitar KLIA untuk tujuan penerbangan kos rendah ini.

Saya ingin bertanya hal ini dan jika ini benar-benar untuk terminal LCCT yang baru itu, kenapakah ianya dicadangkan semula dan dirancang semula setelah satu terminal LCCT baru sahaja siap dan masih digunakan. Adakah ini satu kelemahan di pihak perancangan kerajaan atau ini adalah tekanan tuan punya LCCT yang ada dalam negara ini.

Kemudiannya beberapa minggu yang lalu diumumkan pula Lapangan Terbang Subang akan digunakan sekali lagi untuk satu lagi LCCT nama of MAS wing, Firefly atau sebagainya. Jadi nampaknya dasar kerajaan tentang penggunaan lapangan terbang ini dan perbelanjaan lebih daripada RM1 bilion perlu kita tanya dan fahami supaya pembaziran dan perancangan yang membazir tidak berlaku dalam perjalanan negara kita ini.

Seterusnya 022500 – Pembiayaan Funding Gap KTMB. Sekali lagi saya ingin sebagaimana saya amalkan setiap kali berkaitan dengan kereta api ini apakah yang akan digunakan sebanyak RM60 juta ini adakah memandangkan inflasi naik, memandangkan harga minyak akan dinaikkan maka kereta api lah satu daripada penggunaan yang rakyat ada untuk mereka menaiki dalam perjalanan sama ada dalam bandar antara bandar, daripada Pantai Timur dan sebagainya.

Maka apakah cadangan KTMB untuk menggunakan RM60 juta ini, adakah ianya untuk menaikkan lagi taraf laluan kereta api daripada Kuala Lumpur ke Tumpat misalnya supaya seluruh pengguna-pengguna kereta api daripada Kelantan ke Pahang ke Kuala Lumpur dapat mengecap pembangunan kereta api yang sudah mula dirasai oleh pengguna-pengguna di Pantai Barat tetapi tidak dapat diguna oleh pengguna-pengguna di Pantai Timur. Terima kasih

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.