Speaker tegur Ahli Parlimen BN (termasuk menteri) tidak hadir sidang

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib hari ini sekali lagi menegur kehadiran tidak memuaskan anggota Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat.

Seperti kira-kira dua minggu lepas, kehadiran yang tidak memuaskan hari ini juga telah menyebabkan banyak soalan pada sesi soal jawab lisan tidak dapat dikemukakan.

“Saya harap Yang Berhormat yang ada soalan untuk dikemukakan pada hari tertentu hadir, bangun bila dijemput untuk mengemukakan soalan.

“Begitu juga diharap Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen yang berkenaan dengan soalan yang dikemukakan mestilah hadir untuk memberikan respons.

“Sama ada hendak jawab atau tidak terpulang pada mereka, tetapi mesti hadir untuk respons pada soalan yang dikemukakan,” katanya.

Ramli berkata demikian sebaik tamat sesi soal jawab lisan hari ini di mana 10 daripada 25 soalan gagal dikemukakan.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang meminta Speaker menegur dengan keras kepada Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen kerana tidak untuk menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen.

Daripada jumlah itu 8 soalan tidak dikemukakan kerana anggota Parlimen tidak hadir, manakala dua lagi tidak dapat dijawab kerana wakil dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar tidak hadir.

Ekoran itu, kesemua soalan yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini diselesaikan sebelum tempoh bagi sesi soal jawab tamat.

Ini menyebabkan Speaker memberi peluang kepada anggota Parlimen yang hadir untuk mengutarakan soalan yang tersenarai.

Pada 29 Okt lepas, Ramli pernah memberi teguran sama dengan mengeluarkan arahan supaya ketidakhadiran anggota Parlimen direkodkan.

Mengulas perkara itu ketika ditemui di kamar beliau kemudiannya, Ramli menyifatkan ketidakhadiran itu sebagai perkembangan yang tidak sihat kerana persidangan Parlimen merupakan mesyuarat yang paling penting.

“Ini perkembangan yang tidak sihat…sedangkan mereka (anggota Parlimen) telah diberikan notis sejak Rabu bahawa soalan mereka akan disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

“Mereka (anggota Parlimen) sepatutnya bangga soalan mereka naik, terpilih daripada banyaknya soalan yang dikemukakan itu,” tegasnya dan menurutnya setiap penggal sejumlah 1,200 soalan untuk soal jawab lisan dikemukakan anggota Parlimen dan soalan-soalan yang tersenarai adalah antara yang terpilih.

Bagi wakil kerajaan pula, Ramli mengingatkan mereka supaya sentiasa mendahulukan tanggungjawab wajib sebagai wakil kerajaan bagi mengelak sebarang tanggapan yang tidak elok terhadap diri masing-masing.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.