Bahagian Berita Hal Ehwal Semasa Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) mempunyai peraturan ketat dalam menentukan kesahihan berita sebelum disiarkan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem kerja yang diamalkan pada setiap berita perlu melalui beberapa proses tapisan termasuk di peringkat ketua pemberita, penyunting, penyunting kanan dan Pengarah Berita Ehwal Semasa.
“Ada sesetengah berita dirujuk terus kepada pengurusan atasan. Bahagian Berita Ehwal Semasa juga mempunyai manual prosedur kerja sendiri bagi mengatur gerak kerja,” katanya ketika menjawab soalan Raime Unggi (BN-Tenom).
Zahid berkata setiap berita hanya akan disiarkan selepas mendapat pengesahan rasmi daripada sumber yang sahih.
Beliau berkata sekiranya berlaku kesilapan yang tidak disengajakan, permohonan maaf dan pembetulan akan dibuat secepat mungkin.
Apabila diminta mengulas mengenai laporan RTM terhadap peristiwa demonstrasi haram di sini Sabtu lepas, Zahid walaupun RTM menjadikan berita itu sebagai berita utama, namun kerajaan menggambarkan demonstrasi itu bukanlah cara yang betul untuk menagih sokongan rakyat.
Beliau berkata demonstrasi hanya akan merosakkan imej negara dan bukan satu cara demokratik untuk mendapat pengaruh politik.
Difailkan dalam: Dalam Dewan, Menteri
