Dato’ Kamarudin minta kerajaan jelaskan kedudukan undang-undang sivil dan syariah kini

Dato’ Kamarudin Bin Jaffar [ Tumpat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Kerajaan bercadang meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjelaskan kedudukan undang-undang sivil dan syariah sebagaimana dicadangkan oleh tiga Hakim Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, pada masa ini kerajaan tidak bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menjelaskan kedudukan undang-undang sivil dan syariah sebagaimana yang dicadangkan oleh tiga Hakim Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memandangkan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah masing-masing telah dibahagikan dengan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan khususnya melalui Fasal (1) dan (1A) Perkara 121 dan senarai Persekutuan dan senarai negeri dalam jadual ke-9.

Hal ini adalah jelas sebagaimana untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan barubaru ini dalam kes Latifah binti Mat Zin vs Rosmawati binti Sharibun dan Roslinawati binti Shaaribun. Perkara yang menjadi isu dalam kes itu ialah sama ada akaun bersama Latifah dan arwah suaminya termasuk dalam kategori harta pusaka atau hibah. Mahkamah Persekutuan akan memutuskan penentuan hukum sama ada akaun bersama tersebut merupakan harta pusaka atau hibah adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sebagaimana yang diperuntukkan dengan jelas dalam senarai dua jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan dan Subseksyen 61(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003. Dalam kes ini, isu berkaitan dengan pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dan isu ketiadaan peruntukan undang-undang berkaitan dengan kedua-duanya tidak berbangkit sama sekali.

Mengikut Butiran 4(E) senarai Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Sivil hanya mempunyai bidang kuasa untuk menentukan pentadbiran probet dan harta pusaka manakala Mahkamah Syariah pula mempunyai bidang kuasa untuk menentukan hukum syarak mengenai sesuatu harta sama ada sama ada tergolong dalam harta pusaka , ahli-ahli waris yang berhak dan kadar bahagian masing-masing yang berhak.

Sebagaimana yang diperuntukkan dalam Butiran 1 senarai negeri. Terdahulu pada 1993, Mahkamah Persekutuan dalam kes Majlis
Agama Islam Pulau Pinang vs Sheikh Zulkifli bin Sheikh Nattar dan dua lagi telah memutuskan bahawa untuk menentukan suatu harta itu ialah harta wakaf atau tidak ialah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan adalah jelas bahawa tidak ada keperluan bagi kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: [ Bangun ]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Masa cukup.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.