Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya akan menyentuh beberapa perkara tentang Maksud B.41 di bawah Butiran 010300 – Pengurusan Kewangan. Bajet yang dipohon ialah sebanyak RM223 juta disebut dalam belanjawan bagi tahun hadapan.
Tuan Pengerusi, saya ingin mendapat penjelasan dari pihak kementerian tentang yuran sekolah yang telah dijanjikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sewaktu dalam bajet ini, iaitu pihak kerajaan akan memastikan bahawa yuran-yuran sekolah ini akan dihapuskan. Ibu bapa telah mendapat surat untuk persekolahan anak mereka tahun hadapan dan menyaksikan bahawa sebenarnya jumlah yuran yang diberikan ataupun yang ditiadakan atau yang dikatakan percuma itu cuma empat ringgit lebih bagi sekolah rendah dan tidak sampai RM10 bagi sekolah menengah.
Yuran-yuran lain masih kekal dan secara purata anak-anak kita yang akan mendaftar tahun hadapan akan membayar bagi sekolah rendah hampir RM200 dan di sekolah menengah, di sekolah berasrama penuh hampir mencapai RM300 hingga RM400.
Jadi adakah maksud bajet ini kerajaan akan hapuskan yuran-yuran ini? Yuran PIBG, MSSD, yuran peralatan sukan, buku-buku kerja dan seumpamanya. Saya harap mendapat penjelasan daripada pihak kementerian dan ibu bapa khususnya masyarakat di luar bandar amat keliru tentang penjelasan yuran percuma ini.
Keduanya, Butiran 020700 – Pendidikan Guru yang juga memperuntukkan jumlah hampir RM1 bilion. Di sini suka saya untuk bertanya pada pihak kementerian, kenapa terjadinya satu kecenderungan hari ini, satu tendency dengan izin belia-belia atau pelajar-pelajar lelaki sangat kurang minatnya untuk menyertai profesion perguruan ini?
Hari ini hampir pasti dengan penuh penghormatan saya pada golongan wanita bahawa principal atau guru-guru besar sama ada di sekolah menengah ataupun di sekolah rendah rataratanya majoriti hari ini termasuk guru-guru disiplin adalah di kalangan guru-guru wanita. Jadi ini satu tendency kalau tidak ada suatu perancangan masa depan, saya cukup bimbang belia-belia di kalangan lelaki ini tidak langsung berminat dalam profesion perguruan ini yang sudah tentu menjejaskan masa depan pendidikan dalam negara kita.
Seterusnya Tuan Pengerusi, tentang Butiran 040100 – Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. Saya ingin bertanya dan mungkin Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh menjawab pada hari ini secara tegas. Apakah sebenarnya dasar kementerian pada hari ini terhadap pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ini.
Saya mendapat maklumat dalaman bahawa semacam telah ada keputusan bahawa kementerian akan menarik balik sepenuhnya dasar ini, yang pada suatu waktu dulu dibahaskan dalam Dewan yang mulia ini pegawai-pegawai dan pakar-pakar pendidikan telah pun memberikan pandangan, Dewan Bahasa dan Pustaka memberikan pandangan, tokoh-tokoh pendidikan memberikan pandangan malah terlalu silap sebenarnya untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris itu.
Sekarang ianya telah menjadi satu liabiliti kepada kementerian, kepada guru-guru dan ibu bapa khususnya anak-anak kita yang belajar di peringkat luar bandar. Saya difahamkan hampir RM5 bilion telah dibelanjakan, telah dihabiskan, kononnya untuk mempertingkatkan pembelajaran bahasa Inggeris, melatih guru-guru, membeli komputer-komputer dan setelah RM5 bilion dihabiskan, apa pencapaian kita yang ada pada hari ini?
Saya rasa kita jangan malu. Ini satu kesilapan, kita memperakuinya satu kesilapan bahawa kita telah tersilap bahawa bukan
caranya untuk kita mendapat, untuk kita menguasai bahasa Inggeris dengan memberikan bebanan kepada anak-anak di kampung, guru-guru yang terpaksa, dipaksa belajar bahasa Inggeris.
Mana mungkin ya kita dapat untuk mencapai penguasaan ini. Saya bersetuju kita perlu menguasai bahasa, kita boleh menguasai banyak bahasa tetapi bukannya mengagungkan dan mendaulatkan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain tetapi bahasa kita sendiri. Jadi saya mengharapkan satu penjelasan di Dewan yang mulia ini. Adakah kementerian bersedia untuk sepenuhnya membatalkan serta merta pengajaran sains dan matematik ini di dalam bahasa Inggeris.
Akhir sekali Tuan Pengerusi, tentang Dewan Bahasa dan Pustaka, saya bersetuju dengan rakan-rakan yang lain, kita melihat Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini semacam kehilangan taring, tetapi sebelum kita menuduh secara total kepada pihak Dewan Bahasa dan
Pustaka, apakah sebenarnya the root of the problem? Dengan izin.
Apakah sebenarnya yang sedang menimpa Dewan Bahasa dan Pustaka sehingga mereka yang ada pada hari ini tidak kelihatan berwibawanya ataupun Dewan Bahasa yang ada pada hari ini kelihatan tidak lagi berupaya menjadi suatu badan, suatu ejen ataupun suatu organisasi yang akan terus menerus memastikan martabat Bahasa Melayu ini pada masa akan datang terus dihormati.
Jadi apa, what was wrong? Dengan izin. Adakah sebab banyak campur tangan politik, birokrasinya? Adakah lantikan-lantikan pihak atasan Dewan Bahasa itulah yang menyebabkan kakitangan yang ada pada hari ini kehilangan minat, kecenderungan, mereka kehilangan minat untuk membangunkan Dewan Bahasa?
Jadi ini mesti diperbetulkan, sebelum kita menuduh secara total Dewan Bahasa itu lemah dan mandom tetapi apa yang sebenarnya berlaku? Kalau dulu Dewan Bahasa boleh berdiri, banyak jasanya, keagungan dalam memartabatkan bahasa kita sehingga tertubuhnya UKM, terbukti Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu, bahasa dunia tetapi hari ini kenapa Dewan Bahasa menjadi seperti ini? Mesti ada dengan izin culprits reshuffle oleh siapa?
Siapa sebenarnya yang menjadi penyangaknya, penjahatnya? Yang menyebabkan berlakunya masalah dalaman dalam pengurusan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tuan Pengerusi: Cukuplah.
Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi.
(Ucapan peringkat Jawatankuasa (Kementerian Pelajaran) pada 29 November 2007)
Difailkan dalam: ADR Kubang Kerian

apa jawapan atas soalan-soalan di atas? Maaf, saya tak mengikuti sesi ini
Tak perlu ajar 2 subjek tu dlm bi.Sepatutnya kita balik ke pangkal jalan,cara pengajaran bi harus dipertingkatkan,kalau dapat A dlm bi sekalipun belum tentu pelajar itu tahu bertutur bi,nak bertutur perlu ada keberanian,tidak malu kalau salah dan sentiasa memperbaiki diri. Saya bercakap melalui pengalaman.Saya bukan penutur bi yg fasih, sekolah kg aje .Saya pernah kerja di sykt kewangan milik Australia dan non-bumi selama 17 thn.