Dr Hayati: Malaysia Kitchen promosi makanan luar?

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Pengerusi, hanya tiga Butiran. Butiran 60000 – PEMPENA-Program MalaysiaKitchen saya ingin mendapat penjelasan daripada kementerian berhubungan dengan MalaysiaKitchen ini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan MalaysiaKitchen yang akan dipromosikan?

Apabila kita sebut kitchen ini maknanya makan dan juga masaklah. Apakah jenis-jenis masakan yang dipromosikan di sini dan apakah masakan-masakan ini merupakan masakan tradisional daripada Malaysia ataupun campuran daripada lain-lain negara?

Oleh kerana di Malaysia sendiri pun sekarang ini kita dapati banyak restoran-restoran dan juga tempat-tempat makan, dibawa masuk makanan daripada luar untuk dihidangkan kepada rakyat Malaysia. Itu yang pertama.

Kedua juga tentang Butiran 020800 – Program Peningkatan Kemudahan Homestay. Saya ingin dapat sekurang-kurangnya senarai homestay di negeri Kedah ataupun bandar-bandar besar dalam negara kita ini, kerana ini merupakan satu yang penting. Kalau kita sebut homestay ini maknanya sekurang-kurangnya mereka pergi dan juga tinggal di tempat tersebut.

Tujuan pertama adalah untuk melihat suasana kehidupan di tempat tersebut supaya mereka mendapat gambaran yang lebih jelas tentang masyarakat mereka di sini. Tidak gunalah kalau kita buat homestay hanya untuk tidur dan makan sahaja.

Sekurang-kurangnya mereka mempunyai masa tertentu untuk melawat sesuatu kawasan. Misalnya di tempat saya apabila tiba musim penanaman padi. Mereka boleh melihat suasana bagaimana penanaman padi dilakukan dan juga masa untuk menuai padi, kerana saya pernah berjumpa dengan rakan-rakan Arab dan mereka bertanya bagaimana pokok beras tersebut?

Mereka hendak lihat pokok beras. Jadi kita terpaksa kalau boleh lihat bagaimana ianya pokok beras itu ditanam dan juga mendapatkan hasil, ini memberi ruang dan peluang kepada pelancongan di negara kita. Sehubungan dengan itu, satu lagi saya hendak tahu sama ada hectourism ini mempunyai kerjasama dengan Kementerian Pelancongan ataupun tidak?

Bila kita sebut tourism ini sudah tentulah ia termasuk dalam pelancongan tetapi apabila saya semak dalam senarai butiran tidak mempunyai hectourism. Di dalam Kementerian Kesihatan pun tidak mempunyai senarai hectourism, kerana hectourism bukan sahaja kita mempromosikan rawatan moden kepada pelancong-pelancong tetapi juga kita boleh mempromosikan rawatan-rawatan perubatan tradisional yang wujud dalam negara kita daripada urutan, daripada berbekam dan juga banyak lagi tradisional bangsa-bangsa lain selain daripada Melayu yang wujud, yang boleh kita promosikan kepada masyarakat luar ataupun pelancong melalui homestay yang kita ada.

Butiran 030000 – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM). Saya ingin tahu daripada kementerian, setakat manakah program-program untuk mengharumkan nama negara di luar negara ini boleh membawa pelancong ke dalam negara kita misalnya berbasikal mengelilingi dunia yang dilakukan oleh saudara Mukarrabin.

Begitu juga tentang penerjunan bebas yang dilakukan oleh putera UMNO. Begitu juga dengan pendakian Gunung Everest dan
juga penjelajahan Antartika yang telah dilakukan oleh Datin Sharifah, saya tidak ingat nama dia.

Apakah mereka ini boleh membawa masuk pelancong-pelancong ke dalam negara kita melalui Program Mengharumkan Nama Negara di Luar Negara.

Saya ingin tahu daripada kementerian juga ada satu pelancaran yang telah dibuat oleh Perdana Menteri kita berhubung dengan penerbangan solo mengelilingi tujuh benua. Apakah ini termasuk dalam program di bawah Kementerian Pelancongan kerana beliau telah pun mengumpulkan sejumlah RM11 juta untuk melakukan penerbangan solo mengelilingi tujuh benua ini, tetapi sampai sekarang belum nampak ianya dimulakan lagi. Sekian, terima kasih.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.