Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [Pendang] minta Menteri Pelajaran menyatakan tindakan kerajaan kepada ‘Laporan Murad’ setakat ini di dalam menghadapi kemelut yang melanda sekolah agama yang sedang menghadapi masalah untuk meneruskan kesinambungan
pendidikan agama di sekolah mereka. Apakah bentuk bantuan yang telah dan sedang dihulurkan untuk memantapkan lagi pendidikan agama ini.
Timbalan Menteri Pelajaran [Dato' Hon Choon Kim]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tindakan telah pun diambil hasil cadangan utama laporan Jawatankuasa Khas Tan Sri Murad 2003. Antaranya mendaftarkan Sekolah Agama Rakyat dan
Sekolah Agama Negeri di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada semua sekolah terbabit dan seterusnya menawarkan kepada sekolah berkenaan untuk menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Sehingga Jun 2007, sebanyak 119 buah sekolah telah berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sekolah-sekolah agama yang telah mendaftar dengan kementerian adalah layak untuk mendapat peruntukan sama seperti sekolah bantuan kerajaan yang lain seperti termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996. Antara bantuan yang diberikan iaitu:
(i) bantuan fizikal sekolah;
(ii) perjawatan guru dan staf sokongan;
(iii) aset;
(iv) per kapita pelajaran; dan
(v) bantuan buku teks. Terima kasih.
Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [Pendang]: Terima kasih Timbalan Menteri di atas jawapan. Laporan Murad sebenarnya dibentuk setelah kejadian yang menyayat hati iaitu kebakaran sekolah yang kita panggil “Pondok Pak Ya” di daerah Jerai.
Setelah itu, banyak sekolah-sekolah agama rakyat diambil alih sama ada kerajaan negeri ataupun pusat dan di negeri Kedah khususnya saya mahu khusus di negeri Kedah, banyak sekolah-sekolah agama di daerah-daerah diambil dan dijadikan sebagai sekolah negeri iaitu Maktab Mahmud, tapi apa yang menjadi hakikatnya adalah seramai 108 orang guru yang ada di sekolah-sekolah di daerah ini, hanya 25 orang sahaja guru tetap lembaga, 12 orang guru yang diserapkan ke Kementerian Pelajaran, yang selebihnya 71 orang adalah guru-guru sandaran yang kebanyakan mereka ini kelulusan daripada Universiti Timur Tengah.
Ramai di antara mereka yang terpaksa berhenti dan masuk dalam sekolah rendah iaitu dalam bidang J-QAF. Jadi saya rasa ini satu brain drain kepada sekolah-sekolah di peringkat menengah ini kerana mereka berkelulusan luar negara dan di peringkat Ijazah yang terpaksa berhenti kerana masih dalam guru sandaran.
Apakah kementerian berhasrat untuk menyerapkan guru sandaran ini supaya lembaga ataupun kementerian? Terima kasih.
Dato’ Hon Choon Kim: Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih. Memang hasrat Kementerian Pelajaran ialah untuk menyerapkan guru-guru yang telah mengajar Sekolah Agama Rakyat atau Negeri supaya dijadikan sebagai guru kerajaan. Walau bagaimanapun, apabila langkah untuk menyerapkan mereka untuk masuk ke perkhidmatan, sudah tentu ada syarat-syarat tertentu. Kalau mereka masih belum sampai, masih belum penuhi syarat, Kementerian Pelajaran akan memberikan masa dan juga latihan supaya pada akhirnya mereka akan diserapkan dalam perkhidmatan sebagai guru kerajaan. Terima kasih.
(4 Disember 2007)
Difailkan dalam: ADR Pendang
