Dato Kamarudin cadangkan anggota JK Khas Integriti tidak dikalangan Anggota Kabinet

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya berdiri juga untuk bercakap dalam usul berkaitan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Integriti ini. Pandangan yang kita dengar daripada Yang Berhormat bagi Tanjong dan Yang Berhormat bagi Tuaran, saya setujui dan banyak persamaan pandangan saya dengan pandanganpandangan
yang kita dengar tadi.

Pertamanya, saya juga menyokong pada prinsipnya cadangan-cadangan supaya Pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini seharusnya daripada kalangan bukan anggota Kabinet tetapi daripada Ahli-ahli Back-Benchers dan pembangkang.

Walaupun demikian, saya juga tidak begitu menganggap circumstances, dengan izin, peletakan jawatan Yang Berhormat Ranau dalam beberapa bulan yang lalu untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas ini adalah amat membimbangkan kerana ianya mencabar kedudukan dan integriti Parlimen sendiri di mana kuasa Jawatankuasa ini dihadkan dengan keputusan-keputusan dan
kuasa-kuasa pihak-pihak yang lain yang di luar daripada Jawatankuasa dan Parlimen.

Walau bagaimanapun, pelantikan daripada kalangan anggota Parlimen biasa amat kita sokong dan setujui. Saya juga menyokong cadangan supaya banyak lagi Jawatankuasajawatankuasa Pilihan Khas diwujudkan dan sebagaimana kita dengar sebentar tadi,
Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas yang sedia ada termasuk integriti dan PLKN selepas ini, dianggap seperti Jawatankuasa-jawatankuasa yang mempunyai jangka masa tempohnya sepanjang satu-satu penggal Parlimen dan dihidupkan, dimulakan semula di Parlimen seterusnya.

Saya ingin cadangkan sebagaimana kita dengar sebentar tadi, Jawatankuasajawatankuasa Pilihan Khas ini misalnya dalam bidang pertahanan, dalam bidang hubungan luar, hubungan antarabangsa. Saya di Jakarta minggu lepas, Tuan Yang di-Pertua, melalui jalan di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia dan saya melihat bahawa ada dua pagar yang ‘menyelamatkan’ kedutaan kita, satu pagar asal saya yang sedikit rendah dan nampaknya ada pagar yang baru yang begitu tinggi seolah-olah sama dengan Kedutaan Amerika dan Kedutaan Britain di Kuala Lumpur dan sebagainya, walhal kita dengan Indonesia ini mempunyai hubungan
yang rapat dalam ASEAN.

Hubungan yang dianggap sebagai satu rumpun dan sebagainya tetapi keadaan hubungan kita jelas sekali dengan Indonesia amat buruk sehinggakan lagu-lagu rakyat pun dipersoalkan, sehinggakan tarian-tarian rakyat pun dipersoalkan.

Alangkah baiknya kalau ada ‘Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antarabangsa’ dan kita di kalangan Ahli-ahli Parlimen bersama-sama dengan anggota DPR Indonesia, misalnya boleh mempunyai hubungan yang akrab. Ini sedikit sebanyak mengurangkan masalah-masalah hubungan seperti ini selain daripada tugas ‘Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Luar’
misalnya, membincangkan hal-hal yang lain berkaitan dengan hal ehwal hubungan luar negara kita.

Begitu juga mungkin perlu diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas tentang kehakiman misalnya. Baru hari ini dalam akhbar, kita dimaklumkan bahawa Ketua Hakim Negara dilantik, Ketua Presiden Mahkamah Rayuan dilantik, alangkah baiknya sebelum proses ini sampai kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, ianya juga dibincangkan dalam satu ‘Jawatankuasa Pilihan Kehakiman’ supaya integriti sistem kehakiman, integriti hakim-hakim yang akan dicalonkan dan dicadangkan itu adalah orang-orang yang benarbenar dapat difahami dan dipersetujui oleh wakil-wakil rakyat melalui Parlimen ini.

Jadi saya fikir ini adalah perkara-perkara yang penting dan saya menyeru pihak kerajaan supaya mengambil pandangan-pandangan di atas hal-hal seperti itu. Terima kasih.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.