Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. 050400 – HUKM RM276 juta. Saya ingin dapat penjelasan daripada Kementerian Pengajian Tinggi. Ada laporan mengatakan bahawasanya seorang warganegara daripada Australia yang dahulunya warganegara Malaysia iaitu Profesor Dr. Tan Hock Lim telah diambil oleh HUKM untuk dijadikan pensyarah di bahagian pediatrik surgeri kerana kejayaan beliau mengadakan keyhole surgeri iaitu sejenis pioneer dalam pembedahan dengan ganjaran sebanyak RM8 juta untuk masa empat tahun.
Jadi sebanyak RM276 juta ini adakah termasuk ganjaran RM8 juta untuk 48 bulan ini diperuntukkan untuk beliau kerana khabarnya daripada rakan-rakan di HUKM mengatakan mereka terpaksa mengubahsuai dewan bedah sebanyak RM90 juta hanya untuk menerima kedatangan pakar bedah keyhole surgeri ini, seorang warganegara Australia.
Ramai sahabat yang berada di Riyadh mengatakan jika sekiranya ganjaran sebanyak RM168,000 sebulan ini juga memungkinkan mereka juga bersedia untuk kembali bertugas di HUKM jika ganjaran sebegitu banyak untuk satu bulan.
Apakah berita ini merupakan satu berita yang baik untuk mereka-mereka yang bertugas di luar negara dengan ganjaran yang sebegitu banyak? Ini kerana kita tahu prosedur ini merupakan satu prosedur yang agak baik terutama sekali di kalangan kanak-kanak, kerana ia merupakan satu prosedur yang tidak memerlukan satu pembedahan yang major, pembedahan yang besar.
Jadi saya rasa, ini satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh kementerian dan saya ingin mendapat penjelasan apakah ini merupakan satu dasar untuk kita di masa akan datang?
Kita melaburkan sebanyak yang mungkin wang yang ada untuk mendapatkan satu perkara atau satu prosedur yang cukup baik untuk masyarakat kita. Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua.
Difailkan dalam: ADR Pendang
