Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya hanya berhajat untuk bercakap ringkas sahaja dalam perbahasan Rang Undang-undang Kewangan 2007 ini. Saya yakin sahabat saya Yang Berhormat Kepong akan memberikan ulasan
yang mendalam tentang keseluruhan fasal-fasal yang ada dalam rang undang-undang ini.
Saya merujuk khusus kepada fasal 12 iaitu meminda seksyen 46 Akta Ibu berkaitan dengan fees dengan izin, kita tidak perlu dengan izin sebab naskhah teks ini pun dalam bahasa Inggeris dan dah bertahun-tahun Tuan Yang di-Pertua saya menegur kerajaan kenapa rang undang-undang kita masih lagi dalam bahasa Inggeris, negara kita sudah 50 tahun merdeka dan kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan khususnya Jabatan Peguam Negara lebih berminat pergi ke mahkamah-mahkamah rendah atas kes-kes jaminan terhadap orang-orang yang melakukan kesalahan-kesalahan yang amat kecil tetapi tidak menumpukan langsung untuk meminda rang undang-undang, undang-undang yang sedia ada supaya bahasa Inggeris itu digantikan dengan bahasa negara kita.
Nak dipanggil bahasa Malaysia, panggillah tetapi kalau sepatutnya kalau Gerik ada bersama dia akan membantahnya dan sepatutnya harus dinamakan bahasa Melayu.
Tuan Yang di-Pertua, pindaan ini memberikan kepada individu peluang untuk menuntut potongan cukai sejumlah maksimum RM5,000 daripada cukainya untuk tujuan sebagaimana yang tertulis dalam rang undang-undang ini,
“(f) fees expended in that basis year by that individual on himself for -
(i) any course of study up to tertiary level, other than a degree at Masters or Doctorate level, undertaken for the purpose of
acquiring law, accounting, Islamic financing, technical, vocational, industrial, scientific or technological skills or qualification; or
(ii) any course of study for a degree at Masters or Doctorate level undertaken for the purpose of acquiring any skills or
qualification.”
Saya bersetuju Tuan Yang di-Pertua pada dasarnya supaya peluang untuk menambahkan ilmu dan peluang untuk memperoleh pendidikan diberikan kepada rakyat kita. Cara untuk menyokong usaha ini ialah dengan memberi peluang supaya cukai mereka itu
dipotong atau dikurangkan untuk tujuan begitu. Jadi ini saya fikir satu usaha yang baik, tinggal lagi yang saya persoalkan ialah dua perkara.
Yang pertamanya, RM5,000 ini adalah suatu jumlah yang sangat kecil berbanding dengan kos pendidikan negara kita yang amat tinggi sekarang. Saya dengan itu mendesak pihak kementerian supaya menimbangkan kaedah-kaedah dan cara-cara lain supaya kos ini dapat dikurangkan. Sama ada mengekalkan potongan RM5,000 ini dan dicampurkan dengan dasardasar, insentif-insentif kerajaan kepada institusi-institusi pendidikan tinggi itu untuk memberi insentif kepada mereka jika mereka mengadakan kursus-kursus untuk orang-orang yang berkedudukan sedemikian dan sebagainya. Ianya akan membantu melalui insentif-insentif
tambahan kepada institusi-institusi khususnya IPTS-IPTS tersebut.
Jadi saya ingin mencadangkan supaya tindakan itu diambil dan saya menyeru supaya masyarakat kita mengambil peluang untuk menggunakan peluang untuk mendapatkan pendidikan sama ada yang tidak mempunyai ijazah-ijazah langsung ataupun orang yang sedang bekerja sama ada di syarikat-syarikat swasta ataupun di jabatan-jabatan kerajaan.
Saya amat yakin jika anggota masyarakat kita, jika pegawai-pegawai kerajaan kita mempunyai pendidikan yang tinggi, mereka akan menjadi pegawai-pegawai yang lebih baik, yang lebih berhemah, tidak menahan menangkap orang sewenang-wenangnya hanya kerana mereka pegawai polis di mana-mana tempat sekalipun tetapi akan menggunakan ilmu yang mereka perolehi dan dapati
itu dengan cara yang lebih baik dan dapat menjadi manusia yang lebih sempurna, insya-Allah.
Seterusnya ialah di fasal 12 juga iaitu tentang potongan, “(k) an amount limited to a maximum of three thousands ringgit deposited in that basis year by that individual for his child into the Skim Pendidikan Nasional account established under the Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Act 1997 [Act 566]”.
Tuan Yang di-Pertua, ini potongan maksimum RM3,000, rasanya tiap-tiap tahun untuk tujuan pendidikan anak-anak kita. Satu lagi dasar yang saya rasa perlu kita sokong tapi saya ingin sekali lagi bertanya apakah pendirian kerajaan dan Kementerian Pendidikan Pelajaran tentang pendidikan anak-anak kita. Dahulunya zaman saya dan ramai di sini kita berpeluang untuk mendapat biasiswa-biasiswa sama ada mengikut dasar-dasar, ciri-ciri, perkara-perkara Perlembagaan yang tertentu kita dapat biasiswa ataupun atas merit kita, kita akan dapat biasiswa.
Sama ada pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan tertiary dengan izin universiti. Ini kita telah nak menginstitusikan untuk selama-lamanya seolah-olah bahawa kerajaan tidak ada lagi dasar untuk memberi biasiswa kepada anak-anak negara kita ini.
Jadi ini saya fikir perlu difikirkan dan ditimbangkan oleh pihak kerajaan supaya ia tidak seharusnya digunakan untuk menjadikan kerajaan tidak bertanggungjawab memberikan pendidikan percuma yang sebenar-benarnya bukan sahaja potong yuran sekolah yang RM4.50 setahun ataupun sekolah menengah RM9.00 setahun. Itu tidak ada kesan kepada rakyat dan rakyat ingin merayakan pesta pendidikan percuma bermula tahun 2008 tetapi dengan potongan hanya RM4.50 ia tidak berbentuk apa-apa perayaan kepada rakyat. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
(12 Dis. 2007)
Difailkan dalam: ADR Tumpat
