Dato’ Kamarudin minta Polis ambil tindakan disiplin terhadap pegawai yang memalukan tetamu Ahli Parlimen

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berkenaan dengan tindakan disiplin terhadap anggota polis, semalam Tuan Yang di-Pertua, anggota polis telah masuk ke kawasan Parlimen kita dan mereka antara lain telah menangkap beberapa orang tetamu-tetamu kita.

Salah seorang yang mereka tangkap ialah Dato’ Haji Musatafa Ali, tetamu saya dan tetamu Kubang Kerian dan oleh sebab mereka tetamu kami, mereka juga tetamu Tuan Yang di- Pertua di Dewan yang mulia kita ini. Beliau telah datang awal-awal pagi dan menghadiri sebagai tetamu kita, pelawat kita di mesyuarat kita semalam.

Pada tengah harinya di pintu utama Dewan Parlimen kita ini, beliau telah ditahan oleh pihak polis. Jelas tindakan ini salah dan saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri jika kerajaan berhasrat untuk melakukan sesuatu dengan izin internal enquiry ataupun kalau didapati bersalah mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai-pegawai polis yang terlibat itu.

Dato’ Mohd. Johari bin Baharum: Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya benda ini kita dah bahas panjang lebar semalam tetapi walau bagaimanapun untuk pengetahuan Yang Berhormat, sesiapa sahaja yang mempunyai kesalahan, kita tidak boleh menggunakan Parlimen ini sebagai tempat perlindungan. Kita tidak kira sama ada tetamu sesiapa pun. Siapa-siapa yang melakukan kesalahan di mana-mana tidak boleh menggunakan Parlimen ini sebagai tempat untuk bersembunyi dan sebagainya.

Berkenaan dengan hal ini, pihak polis telah membuat siasatan dan mungkin perkaraperkara yang dilakukan oleh Dato’ Mustafa Ali itu kita tidak tahu oleh Yang Berhormat sendiri. Polis tahu apa yang mereka buat dan polis telah memanggil beliau. Saya difahamkan bahawa beliau telah dilepaskan semalam. Jadi saya rasa benda ini tidak ada apa-apa lagilah.
(12 Dis. 2007)

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.