Dokumen Harapan Anak Muda Malaysia

Jati Diri Perkasa Negara Sejahtera

LATAR BELAKANG

Kita baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Rakyat umumnya mengetahui bagaimana kemerdekaan kita diperjuangkan dengan keringat dan darah oleh perwira-perwira negara. Kita membangun setapak demi setapak sehingga apa yang kita ada hari ini. Sebagai generasi muda, satu persoalan yang amat penting ialah bagaimana kita akan menghadapi cabaran mengisi 50 tahun kedua yang bakal terbeban di bahu kita.

Dalam proses pembinaan negara bangsa (nation building), penglibatan generasi muda amat penting dan bermakna. Golongan muda bukan hanya bakal mewarisi tanah air mereka, malah akan menentukan masa depan bangsa dan negara.

Hakikat tersebut telah lama disedari oleh semua tamadun sehingga lahir ungkapan “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”. Malangnya, potensi dan peluang anak muda Malaysia tidak digilap sepenuhnya hingga mereka hilang keupayaan dan kematangan dalam memimpin diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Generasi muda sepatutnya bukan hanya disogok dengan pembangunan, tetapi mesti dilibat sama dalam merancang, mengatur dan membangunkan negara, sehingga mereka berupaya menjadi peneraju bertaraf dunia. Isunya sekarang apakah suasana, sistem dan budaya yang ada pada hari ini menghasilkan generasi pelapis yang berwibawa?

Generasi muda yang berwibawa harus punya pegangan hidup yang teguh, keyakinan yang kental, misi dan visi yang jelas serta bijak mengatur langkah gagah. Generasi muda juga perlu memiliki kekuatan diri, kebolehupayaan dan rasa bertanggungjawab kepada negara. Jati diri inilah yang bakal membentuk kecemerlangan masa depan bangsa dan negara.

LIMA ASAS JATIDIRI ANAK MUDA MALAYSIA

1. Pegangan Hidup Yang Kukuh
· Anak muda yang teguh beragama dan mendukung nilai-nilai murni sejagat.
· Anak muda yang mempunyai idealisme dan prinsip sebagai kompas hidup;
· Anak muda yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat dan negara;
· Anak muda yang mempunyai semangat patriotisme, menghayati Rukun Negara dan bersedia mempertahankan negara tercinta.

2. Kebijaksanaan Dalam Meneraju Kehidupan
· Anak muda yang cintakan ilmu dan maklumat;
· Anak muda yang mampu menganalisa suasana dan berupaya menyelesaikan masalah negara;
· Anak muda yang rasional dan tidak boleh diperdaya oleh tipu helah dan propaganda.

3. Memiliki Keazaman dan Kuasa Politik
· Anak muda yang sedar kebolehupayaan dan hak mereka sebagai rakyat;
· Anak muda yang memiliki keazaman dan terlibat secara konstruktif dalam proses pembinaan negara;
· Anak muda yang sentiasa mempertahankan hak dan kebebasan daripada dinafikan seperti hak bersuara, hak berhimpun, berpersatuan dan lain-lain.

4. Menegakkan Perpaduan
· Anak muda yang memahami dan menjiwai kepelbagaian dalam masyarakat;
· Anak muda yang saling menghormati antara satu sama lain;
· Anak muda yang cintakan perpaduan, meraikan perbezaan dan menyatukan kekuatan dalam persamaan;
· Anak muda yang menolak dasar politik perkauman dalam negara.

5. Memperjuangkan Kebebasan dan Ketenteraman
· Anak muda yang cintakan hidup dalam dunia yang aman, ekonomi yang mapan dan keselamatan yang tidak terancam;
· Anak muda yang tidak dikongkong oleh sistem hidup yang dikuasai oleh cengkaman birokrasi politik demi membangunkan potensi;
· Anak muda yang mencintai kelestarian alam sekitar yang bersih dan seimbang.

TUJUH HARAPAN PERUBAHAN
Politik
1. Memperjuangkan kerajaan yang lebih beramanah, adil, bersih dan kompeten.
2. Memperkenalkan modul pendidikan politik dalam sistem pendidikan negara.
3. Menyuburkan idealisma dan aktivisma anak muda dalam persatuan samada di kampus mahupun di luar.
4. Memberi lebih ruang demokrasi kepada kepimpinan kepada anak muda dan persatuan belia.
Continue reading

Negara Berkebajikan PAS: Najib Cuba Kelirukan Rakyat

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyelar perbuatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang cuba memberikan gambaran salah tentang Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS, sedangkan beliau sendiri kelihatan tidak memahami maksud Negara Berkebajikan. Adalah sesuatu yang dangkal apabila seorang pemimpin cuba memberitahu rakyat bahawa Negara Berkebajikan akan menyebabkan Malaysia akan bangkrap, tetapi amalan kronisme, nepotisme dan rasuah yang diamalkan oleh Kerajaan BN tidak pula dikaitkan dengan kemungkinan tersebut.

Negara Berkebajikan bukanlah bermaksud semua penganggur akan dibayar atau mendapat imbuhan, subsidi dan welfare seperti yang difahami dari konsep Negara Kebajikan di Barat. Ada perbezaan antara Negara Berkebajikan dengan Negara Kebajikan (Welfare State). Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS ialah negara yang mengutama kebajikan rakyat melebihi kebajikan pemimpin, keluarga pemimpin dan kroni pemimpin. Kerajaan Berkebajikan akan sentiasa bersedia untuk membail out rakyat supaya dapat hidup selesa dan tidak dibebani oleh kos hidup tinggi yang diwujudkan sendiri oleh kerajaan. Pada hari ini kerajaan sengaja menaikkan cukai, membiarkan peningkatan inflasi, menaikkan tol dan harga bahan api untuk kepentingan kroni mereka. Kerajaan BN tahu syarikat konsesi tol telah mengaut untung besar ekoran pertambahan kenderaan, tetapi terus menaikkan tol bagi mengisi kantung kroni mereka.

Adalah sesuatu yang sangat amat dangkal bagi Timbalan Perdana Menteri untuk mengaitkan tawaran PAS ini dengan kebangrapan negara. Jika rakyat diberi layanan yang sempurna untuk keselesaan minimum hidup mereka, kerajaan hanya perlu menghabiskan beberapa juta sahaja. Lihat bagaimana Kelantan yang diwar-warkan sebagai miskin boleh menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat seperti projek Jihad Ternak, Takaful Armalah, Takaful Khairat Kematian untuk warga emas, Ladang Rakyat, bantuan perubatan untuk pesakit kronik dan sebagainya. Ia langsung tidak menjejaskan negara, tetapi memberi manfaat besar kepada rakyat. Jika ia boleh menjejaskan negara sehingga bangkrap, sudah tentu negeri semiskin Kelantan sudah lama bangkrap.

Tetapi yang anehnya, pada hari ini rakyat bercakap di mana-mana tentang keborosan Kerajaan BN dalam membelanjakan wang rakyat melalui projek-projek mega dan megah. Rakyat tidak mendapat apa-apa manfaat untuk hidup mereka apabila berbilion wang Petronas dipaksa untuk membina menara berkembar selain hanya boleh berbangga dan berseronok kerana ia adalah yang tertinggi di dunia. Ini belum diambil kira tentang pembaziran, penyelewengan, rasuah, salah laku, kronisme, nepotisme dan lain-lain amalan negatif dalam pentadbiran kewangan negara. Najib patut memberitahu rakyat berapakah kebocoran wang rakyat yang berlaku apabila pembelian kapal selam dibeli melalui kroni beliau. Berapa pula wang rakyat habis kerana projek angkasa lepas dan berapa lagi habis untuk menggantikan Nuri. Mengapa ia tidak dilabelkan sebagai punca kebangkrapan negara?

Rakyat patut sedar bahawa apa yang ditawarkan oleh PAS adalah sesuatu yang realistik dan tidak akan menjejaskan kepentingan negara. Kita jangan melihat tawaran PAS dalam kerangka amalan buruk Kerajaan BN. Duit negara telah mengalami kebocoran akibat tadbir urus yang lemah dan salah laku pemimpin. PAS telah membuktikan di Kelantan bagaimana bersih dan telusnya pentadbiran kerajaan sehingga kerajaan yang miskin berupaya menjaga kebajikan rakyat. PAS amat percaya jika wang rakyat diuruskan dengan ikhlas, amanah dan penuh keimanan kepada Allah, maka tidak ada masalah bagi kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat sebaik mungkin. PAS berhasrat memindahkan amalan menjaga kepentingan kroni dengan wang negara kepada memanfaatkan kekayaan negara untuk rakyat.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Generasi Muda Perlu Tolak BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius seruan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mahu generasi muda menyokong BN untuk kelangsungan pembangunan negara. Bagi DPP Pusat, seruan dangkal Ketua Pemuda Umno ini jelas memperlihatkan kebimbangan mereka terhadap kebangkitan generasi muda yang mulai meluat dengan dasar-dasar BN yang menindas rakyat. Lagipun, tidak ada satu sebab yang munasabah untuk generasi muda perlu mengekalkan BN setelah sebahagian kepentingan rakyat digadai oleh pemimpin BN demi kepentingan politik sempit mereka.

Cerita tentang kebobrokan pemimpin BN dalam menghancurkan masa depan negara sudah begitu banyak diperkatakan dan telah difahami oleh generasi muda. Mereka telah melihat bagaimana dasar-dasar BN telah meruntuhkan jati diri golongan muda melalui aktiviti-aktiviti tidak sihat yang dianjurkan sendiri oleh Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, pemimpin BN terlibat dalam pelbagai skandal penyelewengan, salah laku, rasuah, seks haram dan lain-lain yang memberikan contoh buruk kepada generasi muda. Sedangkan golongan agama yang cuba membimbing generasi muda ‘digam’ bagi memastikan golongan muda terus terpinggir daripada kehidupan beragama serta dilalaikan dengan hiburan melampau.

Alasan Ketua Pemuda Umno bahawa Kerajaan BN telah berusaha melabur dalam pembangunan modal insan dan pendidikan adalah satu pembohongan. Memang semua kerajaan bertanggungjawab menyediakan pendidikan untuk rakyat. Cuma Kerajaan BN sahaja yang membohongi rakyat, terutama generasi muda bahawa Malaysia mengamalkan pendidikan percuma, sedangkan bayaran yang dikenakan melebihi yuran biasa. Di universiti, golongan mahasiswa yang bakal mewarisi kepemimpinan negara disekat pembinaan dan latihan kepemimpinan mereka melalui campur tangan politik BN. Putera dan Puteri Umno berkeliaran di kampus-kampus mempengaruhi mahasiswa, tetapi kebebasan mahasiswa tersekat oleh AUKU yang digubal oleh Kerajaan BN.

DPP Pusat berpandangan bahawa sudah cukup untuk generasi muda melihat satu demi satu hak dan kebebasan rakyat dinodai oleh Kerajaan BN. Kini bukan sahaja keruntuhan moral, rasuah dan penyelewengan yang berlaku di kalangan pemimpin BN, bahkan mereka juga telah menyelewengkan harta rakyat dengan mengagihkan kekayaan Negara kepada kroni dan anak menantu mereka. Dalam masa yang sama, hak-hak yang dijamin kepada generasi muda seperti biasiswa, tanah rezab Melayu, peranan bahasa kebangsaan, kebebasan bersuara dan berhimpun, kebebasan mengamalkan agama dan sebagainya juga telah dicabul dan tergadai. Pilihan raya ini adalah peluang terbaik untuk generasi muda menebus semula semua hak rakyat yang digadai oleh BN dengan menolak mereka dalam pilihan raya ini.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Sekat Mahasiswa Terlibat Pilihan Raya: Mustapa Lupa Diri

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius ugutan yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad yang melarang mahasiswa terlibat dalam kempen pilihan raya umum ini. Bagi DPP Pusat, ugutan ini merupakan satu sekatan ke atas kebebasan mahisiswa untuk berfikir, bercakap dan bertindak dalam membina jati diri mereka, sekali gus untuk mengelakkan golongan muda berpendidikan tinggi tidak menyokong BN. Ironisnya, di sebalik tegahan untuk mahasiswa terlibat itu, Mustapa sendiri memperalatkan mahasiswa untuk kepentingan politik BN.

DPP Pusat mengakui bahawa mahasiswa terhalang daripada terlibat dalam aktiviti politik termasuk kempen pilihan raya di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tetapi, sebagai satu proses latihan kepemimpinan dan pembinaan modal insan, kerajaan patut membenarkan mahasiswa menentukan sendiri jati diri mereka terutama apabila berpeluang terlibat dalam pilihan raya yang berlaku empat atau lima tahun sekali ini. Kita menerima hakikat mahasiswa tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di luar musim pilihan raya, tetapi untuk pilihan raya umum ini mereka perlu diberi kelonggaran. Jika generasi muda yang sebaya dengan mahasiswa di luar kampus boleh terlibat, maka golongan intelektual kita dihalang? Bukankah sebahagian daripada mahasiswa mempunyai hak mengundi, maka mengapa hak terlibat dalam kempen pilihan raya hendak disekat?

Taktik yang digunakan oleh Kerajaan BN dengan mengenakan ugutan untuk menarik balik biasiswa atau pinjaman pendidikan adalah satu kezaliman. Apakah Kerajaan BN terlalu takut jika mahasiswa terlibat sedangkan mereka sendiri mendakwa begitu yakin untuk menguasai dua pertiga kerusi Parlimen. Ugutan-ugutan seperti tarik biasiswa, dipecat universiti dan dikenakan pelbagai tindakan disiplin yang lain hanya sesuai untuk zaman batu sahaja. Sekarang ini zaman teknologi maklumat di mana segala maklumat politik boleh masuk ke kocek baju mahasiswa. Maka tidak perlu ugutan yang tidak bertamadun ini dibuat oleh seorang menteri. Apakah menteri berfikir bahawa tahap pemikiran mahasiswa setaraf dengan masyarakat hulu atau orang yang tidak berpelajaran.

Jika Menteri Pengajian Tinggi benar-benar ikhlas untuk menghalang mahasiswa terlibat dengan kempen politik kerana bercanggah dengan AUKU, maka mengapa menteri sendiri melakukan sebaliknya. Bukankah Kementerian Pengajian Tinggi telah membenarkan Putera dan Puteri Umno masuk ke kampus dan mengadakan program dengan kepemimpinan mahasiswa. Baru-baru ini pun Menteri Pengajian tinggi sendiri melancarkan program Baktisiswa yang disertai 1,500 mahasiswa di Kelantan sebagai satu strategi politik BN. Apakah Datuk Mustapa terlupa bahawa terdapat ramai mahasiswa dari pelbagai universiti telah didaftarkan oleh agen Menteri Pengajian Tinggi sebagai pengundi di Jeli. Menteri perlu telus dan soal ini dan jangan bersikap munafik bila menjelang pilihan raya. Mahasiswa disekat kebebasan mereka jika menguntungkan pembangkang, tetapi mereka diperalat demi kelangsungan politik sempit BN.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS

Parlimen bubar hari ini, 1 Mac dijangka pengundian

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen di bawah peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Pembubaran itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-12 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pembubaran ini dibuat selepas beliau menghadap dan mendapat restu dari Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktaffi Billah Shah pagi tadi.

Yang di-Pertuan Agong telahpun menandatangani peristiharan pembubaran Parlimen hari ini, dan dengan itu juga negeri-negeri dinasihati membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Perdana Menteri juga menyatakan semalam beliau enggan mengumumkan kemungkinan Parlimen dibubar hari ini kerana belum bertemu Yang di-Pertuan Agong lagi.

Perdana Menteri juga menyatakan, tarikh penamaan calon dan pengundian akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 4,459 other followers