Umno dedahkan sikap tidak hormati Institusi Raja

Umno masih kalut dalam isu pemilihan Menteri Besar Terengganu mendedahkan sikap sebenar Umno yang langsung tidak menghormati institusi raja, kata Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar.

Harakahdaily dipetik, Beliau kesal dengan sikap yang ditunjukkan Umno terutamanya apabila Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor membuat kenyataan terbuka untuk memecat keahlian Adun Kijal, Dato’ Ahmad Said.

Ia ditambah lagi dengan kegilaan Umno Terengganu yang dikepalai bekas Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Rosol Wahid yang bertindak memprotes secara terang watikah yang diperkenan oleh Pemangku Sultan Terengganu melalui Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), ujarnya.

Sambil menyifatkan ia satu penghinaan kepada institusi beraja, beliau juga menyatakan tindakan Umno ini sebenarnya menunjukkan perpecahan yang dialami parti itu selepas kekalahan besar dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Beliau turut kesal dengan kenyataan terbuka Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terhadap isu lantikan Menteri Besar Terengganu.

Katanya, Gani tidak sepatutnya membuat kenyataan terbuka sebaliknya beliau perlu bertemu secara tertutup dengan Sultan bagi menyampaikan pandangan.

Dengan membuat kenyataan secara terbuka ini ia satu yang memalukan selain mendedahkan tindakan campur tangan politik membabitkan Peguam Negara, katanya.

Anggota Exco Kerajaan Selangor Angkat Sumpah

Sementara itu, di Klang (Selangor) Sepuluh Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, empat daripadanya wanita, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini, Isnin hari ini.

Mereka terdiri daripada empat orang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga orang dari PAS dan tiga orang dari DAP.

Empat anggota exco daripada PKR adalah Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar, daripada DAP ialah Theresa Kok, Ronnie Liu dan Ean Yong Hien Wah, manakala daripada PAS ialah Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, Dr Halimah Ali dan Iskandar Abdul Samad.
Continue reading

Barisan Pak Lah – Kabinet cacamerba menongkah kehendak rakyat

Oleh Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kegagalan Kerajaan BN menamakan tokoh-tokoh berwibawa dan bersih untuk menganggotai Kabinet kerajaan semalam. Kabinet yang penuh dengan individu yang bermasalah ini bukan sahaja tidak menggambarkan sikap serius BN dalam memahami mesej rakyat dalam pilihan raya lepas yang tidak mahu pemimpin korup memerintah negara.

Bagi DPP Pusat, Kabinet yang dibentuk semalam adalah satu Kabinet yang cacamerba dan menongkah kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang adil, cekap dan bersih.

Kabinet yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang sentiasa ‘mengantuk’ dan Timbalan Perdana Menteri yang ‘dibersihkan’ oleh ketuanya di luar mahkamah langsung menggembirakan rakyat. Perdana Menteri sendiri mempunyai beberapa skandal yang dipersoalkan oleh rakyat seperti isu Khairy Jamaluddin, kekayaan Kamaluddin Abdullah dan penglibatan Patrick ‘Badawi’ Lim.

Sedangkan timbalannya pula masih dipersaoalkan dengan isu Altantuya, komisyen kapal selam dan komisyen helikopter yang mencecah RM1 bilion. Menteri-menteri lain seperti Muhyiddin Yassin, Zaid Ibrahim, Nazri Aziz, Azalina Othman, Rais Yatim, Noh Omar, Hishamuddin Hussein, Muhammad Taib dan Shafie Afdhal adalah antara yang disebut-sebut oleh rakyat kerana pelbagai skandal sama ada seks, rasuah, tidak cekap, anti Islam dan lain-lain termasuk melarikan berkilo-kilo wang tunai ke luar negara.

Kita gembira melihat beberapa menteri rasuah dan tauke judi digugurkan, selain beberapa menteri yang disentap sendiri oleh rakyat. Tetapi, Pak Lah masih mahu melantik saki-baki menteri yang terjebak dengan pelbagai skandal untuk menganggotai Kabinet baru ini. Apa yang jelas, Kabinet ini amat cacamerba kerana tidak lagi mewakili pemimpin-pemimpin utama parti, tetapi lebih kepada mengukuhkan kedudukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Beberapa menteri dari team timbalannya digugurkan, mungkin kerana mahu mengurangkan tekanan, selain melain begitu ramai anggota Kabinet dari Sabah dan Sarawak sebagai strategi untuk mengelakkan pemimpin dari Malaysia Timur menyertai pakatan pembangkang sedangkan Kedah, Melaka dan Perlis tidak mendapat menteri. Adakah Kabinet ini hanya untuk mengukuhkan kedudukan Pak Lah yang semakin tercabar, atau untuk membangunkan negara?

Perlantikan menteri dari kalangan bukan orang politik seperti Datuk Amirsham A Aziz dan beberapa Ahli Dewan Negara seperti Muhammad Taib dan Zaid Ibrahim juga menunjukkan bahawa BN sudah ketandusan pemimpin berwibawa. Kerajaan BN terpaksa melantik semula tokoh yang pernah didakwa di mahkamah kerana membawa wang keluar negara.

Ketua Penerangan Umno itu hanya dibebaskan daripada kesalahan tidak mengisytiharkan wang yang dibawa, bukannya dibersihkan daripada dakwaan rakyat tentang di mana wang sebanyak itu diperolehi. Zaid Ibrahim yang terkenal kerana sikap anti Islam termasuk menyekat perlaksanaan hudud melalui proses mahkamah dibawa menganggotai Kabinet Hadhari selepas tokoh ulamak Umno, Abdullah Mohd Zain digugurkan.

Seperti juga krisis kepemimpinan yang berlaku di Perlis dan Terengganu, Kabinet Pak Lah juga tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahlinya sendiri. Penarikan diri dua orang Timbalan Menteri selepas pengumuman oleh Perdana Menteri menjelaskan kekalutan ini. Lebih kusut lagi apabila seorang bekas menteri meletakkan semua jawatan parti apabila beliau tidak dilantik sebagai menteri. Ini adalah bantahan terbuka mereka terhadap Kabinet cacamerba ini.

Ia juga adalah lanjutan daripada desakan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir supaya Pak Lah meletakkan jawatan. Radzi Sheikh Ahmad yang selama ini dikenali sebagai orang kuat Pak Lah digugurkan, mungkin kerana tidak cemerlang atau Pak Lah telah mendapat pengganti dari Johor Bahru.

Apa yang diperhatikan oleh rakyat ialah barisan Kabinet baru ini masih tidak dapat melepaskan diri mereka daripada amalan-amalan buruk dalam pentadbiran awam seperti kronisme, nepotisme dan rasuah. Ia jelas tidak mewakili aspirasi rakyat untuk sebuah kerajaan yang bersih dan adil.

Lebih ketara lagi bahawa Kabinet ini tidak mendapat sokongan padu daripada pimpinan tertinggi Umno sendiri, selain terpaksa berhempas pulas untuk mengelakkan beberapa parti komponen BN meninggalkan pakatan tersebut. Kabinet cacamerba ini boleh dikatakan sebagai Kabinet untuk mempertahankan survival politik Pak Lah sama ada daripada tumbangnya Kerajaan BN atau tercabarnya beliau oleh timbalannya.

Salahuddin kunjungi MB Perak baru

Pertemuan dan kunjungan hormat Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan rombongan ke Pejabat YAB. Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, sebagai Menteri Besar Perak ke-10 pada 18 Mac 2008.

PM Pak Lah patut ikuti jejak Presiden MCA dan Gerakan

Oleh Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menghargai sikap pemimpin Cina dalam komponen BN iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Pemangku Presiden Gerak, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang sanggup melepaskan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab di atas kekalahan BN dalam pilihan raya baru-baru ini. Dr Koh Tsu Koon awal-awal lagi telah menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Pemangku Presiden Gerakan dan Ong Ka Ting pula menolak untuk dilantik ke Kabinet.

Amalan ini menjadi kebiasaan di negara maju di mana pemimpin mengambil tanggungjawab di atas kelemahan parti atau kerajaan.

Malangnya di Malaysia, walaupun pelbagai isu, skandal dan penyelwengan yang didedahkan, pemimpin-pemimpin Umno/BN enggan untuk meletakkan jawatan. Hanya bersandarkan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ mereka ‘menebalkan muka’ untuk terus memegang jawatan walaupun secara moralnya mereka sudah bersalah.

Sikap tidak bertanggungjawab ini disokong pula oleh penguasaan mereka ke atas institusi seperti polis, BPR, hakim dan mahkamah sehingga kesalahan mereka tidak dapat dibuktikan. Lihatlah bagaimana permainan mereka dalam membeli para hakim dalam isu pita video Lingam yang sama sekali meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan tersebut.

Trend tidak mahu mengaku salah ini telah menghinggapi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tetap ‘berdegil’ untuk terus menjadi ketua kerajaan walaupun rakyat telah menolak BN. Mesej dari rakyat dengan menafikan kuasa majoriti 2/3 dan menyerahkan lima negeri kepada pembangkang dibuat ‘lembu kenyang’ sahaja oleh Pak Lah.

Apa yang penting bagi Pak Lah ialah dia mesti terus berkuasa untuk membolehkan kroni dan anak menantunya terus merampas kekayaan negara dan menindas rakyat seluruhnya. Seolah-olah inilah peluang terakhir untuk Pak Lah mengaut apa sahaja harta kekayaan negara sebelum rakyat menolak mereka secara total dalam pilihan raya akan datang.

DPP Pusat menyokong desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir supaya Pak Lah bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya ke-12 baru-baru ini dan seterusnya meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri. Rakyat telah menolak kepemimpinan Pak Lah, termasuk dasar Islam Hadhari dan projek-projek koridor meganya.

Rakyat juga telah menolak dasar-dasar zalim BN termasuk dasar ekonomi yang memihak kepada kroni dan anak menantu sehingga membebankan rakyat. Keadaan ini menunjukkan bahawa BN pimpinan Pak Lah sudah tidak relevan dan beliau perlu meletakkan jawatan atau menyerahkan semula mandat kepada rakyat.

————
Salahuddin juga Ketua DEwan pemuda PAS Pusat

Wan Azizah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia 2008-2011

Salah satu keputusan bersejarah bagi tahun 2008, para pemimpin Parti KeADILan Rakyat (PKR), PAS dan DAP bersetuju untuk membentuk satu barisan yang lebih padu bagi memenuhi tuntutan sebuah ‘kerajaan menunggu’ di peringkat Pusat dan negeri-negeri.

Sehubungan itu, parti-parti terbabit juga sebulat suara bersetuju mencadangkan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia sehinggalah Ketua Umum KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim layak bertanding untuk kerusi Parlimen.

Berikut disiarkan kenyataan penuh tiga perenggan pemimpin-pemimpin parti terbabit:

Adalah diumumkan bahawa kami Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Ustaz Abdul Hadi Awang pagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersetuju dalam satu pertemuan pada malam 18 Mac 2008 bahawa hasrat rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini perlulah dihormati dan dilaksanakan oleh kami dan parti-parti kami.

Kami bersetuju bahawa kerjasama yang lebih erat perlu dipertimbangkan dengan serius dengan mengambil kira hasrat rakyat untuk mewujudkan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang baru dan boleh membawa perubahan-perubahan besar kepada rakyat.

Kami juga bersetuju mencadangkan YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat, iaitu parti pembangkang terbesar di Parlimen ke-12, sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang baru, sehingga Dato Seri Anwar Ibrahim layak bertanding untuk kerusi Parlimen

Anwar Ibrahim
Lim Kit Siang
Ustaz Abdul Hadi Awang

Ahli Parlimen PAS bagi Penggal 2008 – 2012

Pada Pilihanraya ke 12, PAS menang di 23 kawasan Parlimen daripada 66 kawasan. Sembilan di Kelantan, Satu di Terengganu, Dua di Perak, Satu di Wilayah Persekutu Kuala Lumpur, Enam di Kedah dan Empat di Selangor.

1. Dato Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menang di Marang mengalahkan Calon BN, Ahmad Ramzi bin Mohamad dengan majoriti 2,747. Tuan Guru Abdul Hadi memperolehi 33,435 undi manakala Ahmad Ramzi memperolehi 30,688 undi.

2. Haji Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS menang di Bachok mengalahkan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Dr Awang Adek Hussin dengan majoriti 2901 undi. Ustaz Nasharudin memperolehi 28,835 undi manakala Dr Awang Adek memperoleh 25,934 undi.

3. Dato’ Kamarudin Jaffar, Setiausaha Agung PAS, menang buat penggal ketiga di Tumpat mengalahkan Calon BN, Dr Asyraf Wajdi bin Dusuki dengan majoriti 9,377. Dato’ Kamarudin memperoleh 36,714 undi manakala Asyrah memperoleh 27,337 undi.

4. Salahuddin Haji Ayub, Ketua Dewan pemuda PAS Pusat menewaskan pencabarnya dari BN, Abdul Ghani bin Mamat dengan majoriti 10,642 undi. Salahuddin memperoleh 27,179 undi manakala Abdul Ghani memperoleh 16,537 undi.

5. Mahfuz Haji Omar, Ketua Penerangan PAS Pusat juga turut menang di Pokok Sena menewaskan Calon BN, Abdul Rahman Ibrahim dengan majoriti 5731 undi. Mahfuz memperolehi 29,687 undi manakala Abdul Rahman memperolehi 23,956 undi.

6. Dr Mohd Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS Pusat beralih angin ke Kuala Krai, Kelantan menewaskan Calon BN Che Musa bin Che Omar dengan majoriti 4,984 undi. Dr Hatta memperolehi 23,562 undi manakala Che Musa memperolehi 18,578 undi.

7. Dato Ab Halim bin Ab Rahman turut mengekalkan kerusinya buat kali kedua di Pengkalan Chepa apabila menewaskan calon BN, Rahim Mohd Zain dengan majoriti 11,311 undi apabila Dato’ Abdul Halim memperolehi 26,763 undi manakala Rahim memperolehi 15,452 undi.

8. Dr Dzulkifli Ahmad selaku Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat juga turut menang di Parlimen Kuala Selangor apabila mnewaskan Calon BN, Jahaya bin Ibrahim dengan majoriti 862 undi. Dr Dzulkifli memerolehi 18,796 undi manakala Jahaya memperolehi 17,934 undi.

9. Dr Lo’ Lo’ Haji Mohd Ghazali pula berjaya menewaskan Calon BN di Titiwangsa, Datuk Aziz Jamaludin bin Haji Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi. Dr Lo’ Lo’ memperolehi 17,857 undi manakala Datuk Aziz memperolehi 15,885 undi.

10. Dr Hjh Siti Mariah bt Mahmud juga turut menang di Kota Raja, Selangor apabila menewaskan S.Vigneswaran a/l M.Sanasee dengan majiriti 20, 751 undi. Dr Siti Mariah Merolehi 38,630 undi manakala S.Vigneswaran memperolehi 17,879 undi.

11. Mujahid Haji Yusof Rawa, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat menang di Parit Buntar Perak apabila menewaskan Abdul Rahman Suliman dengan majoriti 7,551 undi. Mujahid memperolehi 21,221 undi manakala Abdul Rahman 13,670 undi.

12. Siti Zailah bt Mohd Yusuf, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan menang di Rantau Panjang Kelantan menewaskan Calon BN, Mohd Afandi bin Yusof dan calon Bebas Isma Airfath bin Hassanuddin dengan majoriti 4,486 undi. Siti Zailah memperolehi 19,344 undi, CAlon BN memperolehi 14,858 undi manakala calon Bebas hilang deposit memperolehi 330 undi.

13. Dr Mohd Hayati bin Othman menang di Pendang buat kali kedua apabila menewaskan Calon BN, Md Rozai bin Shafian dengan majoriti 4,073 undi. Dr Mohd Hayati memperolehi 27,311 undi manakala Md Rozai memperolehi 23,238 undi.

14. Dato Wan Abd Rahim Wan Abdullah, bekas Speaker DUN Kelantan berjaya di Kota Bharu, Kelantan menewaskan Calon BN, Datuk Mohamad Fatmi bin Che Salleh dengan majoriti 11,288 undi. Dato’ Wan Rahim memperolehi 32,129 undi manakala Datuk Fatmi memperolehi 20,841 undi.

15. Khalid Abdul Samad menang di Shah Alam Selangor menewaskan calon BN yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Aziz Shamsuddindengan majoriti 9,314 undi. Khalid memperolehi 33,356 undi manaka Datul Abdul Aziz memperolehi 24,042 undi.

16. Taib Azamuddin Md Taib menang di Baling menewaskan Ketua Putera Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim dengan majoriti 7,613 undi. Ustaz Taib memperolehi 36,074 undi manakala Abdul Azeez memperolehi 28,461 undi.

17. Dato Ibrahim Ali juga turut menang di Pasir Mas atas tiket PAS dengan majoriti 8,991 undi menewaskan calon BN, Ahmad Rosdi bin Mahmad. Dato Ibrahim memperolehi 28,673 undi manakala Ahmad Rosdi memperolehi 19,682 undi.

18. Dr Che Rosli Che Mat juga turut menang di Hulu Langat, Selangor menewaskan Calon BN, Markiman bin Kobiran dengan majoriti 1,745 undi. Dr Che Rosli memperolehi 36,124 undi manakala Markiman memperolehi 34,379 undi.

19. Muhammad bin Husin juga menang di Parlimen Pasir Puteh dengan menewaskan Calon BN Amran bin Mat Nor dengan kelebihan 3,968 undi. Muhamad Husin memperolehi 28,365 undi manakala calon BN memperolehi 24,397 undi.

20. Roslan bin Shaharum buat kali pertamanya berjaya di Bukit Gantang, Perak menewaskanBendahari Umno Malaysia (calon BN), Abdul Azim bin Mohd Zabidi dan calon Bebas Mohganan A/l P.manikam dengan majoriti 1,566 undi. Calon PAS, Roslan memperolehi 20,015 undi manakala Calon BN memperolehi 18,449 undi dan calon Bebas hilang deposit memperoleh 872 undi.

21. Calon Nasir Bin Zakaria menang di Padang Terap menewaskan calon BN, Ghazali bin Ibrahim dengan majoriti 369 undi. Calon PAS Nasir mendapat 15,003 undi manakala calon BN memperoleh 14,634 undi.

22. Mohd Firdaus bin Jaafar menang di Jerai Kedah menewaskan penyandang sebelum ini calon BN Datuk Badruddin bin Amiruldin dengan kelebihan 2,299 undi. Mohd Firdaus memperolehi 26,510 undi manakala Datuk badruddin memperolehi 24,211 undi.

23. Che Uda bin Che Nik menang di Sik, Kedah menewaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Othman bin Desa dengan kelebihan 481 undi. Calon PAS, Cikgu Che Uda memperoleh 16,864 undi manakala Calon BN memperoleh 16,383 undi.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 4,459 other followers