Permudahkan kemasukan pelajar Luarbandar ke MRSM – MP PAS Bukit Gantang

Roslan Shaharum (PAS-Bukit Gantang) sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini mengemukakan soalan apakah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bercadang mempermudahkan syarat kemasukan pelajar luar bandar dengan kelulusan yang minimum ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menjawab solan tersebut, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Noh Omar menyatakan pihaknya telah memilih 60 peratus pelajar luar bandar dan keutamaan diberi kepada pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

Jelasnya, pelajar yang mendapat keputusan 3A 2B juga akan dipilih untuk memasuki maktab tersebut dengan melihat pendapatan ibu bapa di bawah RM600 sebulan.

Katanya, 50 peratus pelajar yang diterima masuk dengan kelulusan 3A 2B itu telah mendapat keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Tambahnya pelajar luar bandar ini bukan sahaja mendapat kelonggaran untuk memasuki MRSM bahkan mereka juga mendapat mengecualian yuran yang dikenakan RM270 serta kelengkapan belajar bernilai RM1,600.

Terdahulu Roslan dalam soalan asalnya meminta menteri berkenaan menjelaskan kriteria serta dasar pengambilan pelajar ke MRSM.

Menjawab soalan tersebut, jelas Noh seramai 64,341 orang pelajar MRSM merupakan pelajar yang ibu bapanya berpendapatan rendah dan miskin seperti petani, penjaja, nelayan dan peserta Felda.

Katanya, jumlah tersebut meliputi 60 peratus daripada jumlah pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian di MRSM iaitu 107,236 pelajar dari tahun 1972 hingga 2008 dan semua pelajar tersebut mendapat bantuan kewangan daripada Mara

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.