Isu Pulau Batu Putih: PAS kemuka usul di Dewan Rakyat

PAS akan mengusulkan isu Pulau Batu Puteh yang terlepas kepada Singapura di Dewan Rakyat melalui Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, kata Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Kata Timbalan Presiden PAS, PAS kesal dengan kelemahan hujah yang disampaikan oleh pasukan pembela Malaysia menyebabkan Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Singapura.

Sambil menyifatkan kelemahan itu suatu yang tidak boleh diterima, beliau berkata PAS menyedari keputusan itu telahpun dibuat namun PAS kesal dengan kelemahan yang sepatutnya tidak berlaku itu.

“Berbanding kumpulan pembelaan Singapura, bahan-bahan yang dibawa Malaysia tak kuat untuk pertahankan tanah milik negara kita.

“Kita kesali tindakan itu tetapi perkara ini dah berlaku, dan kita minta penjelasan dibuat atas kelemahan itu kerana ia akan melibatkan nasib nelayan-nelayan Johor yang menangkap ikan di situ,” kataya.

Bagi Ahli Parlimen Bachok itu, kelemahan penghujahan pihak kerajaan Malaysia dalam membela hak itu juga menunjukkan kelamahan Umno dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Justeru PAS akan mengemukakan satu usul di bawah perkara 18 (1) dan surat pemberitahuan akan disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Amin Mulia hari ini.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.