Kecelaruan dalam Pengajian Tinggi Negara – Salahuddin

Tuan Yang Dipertua,
Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mempunyai peranan yang amat penting dalam pembangunan negara, dan penerusan kemandirian negara di dalam era global yang serba mencabar kini. Walaupun bilangan IPT di negara ini masih belum mencapai angka (nisbah universiti kepada rakyat) yang setanding dengan negara maju, inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan dalam menambah bilangan IPT adalah satu langkah yang baik. Di waktu yang sama, penekanan kepada kualiti pendidikan adalah satu aspek yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali.

Beberapa senario negatif yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi adalah:

1. Menurunnya “employability” para graduan yang dikaitkan dengan kemahiran insaniah yang rendah, seperti kelemahan berkomunikasi, rendahnya keyakinan diri, gerun dalam menyampaikan pendapat, dan budaya pemikiran yang sempit.Yang paling menakutkan ialah hasil kajian sebuah akhbar mendapati pelajar IPT menganggap rasuah sebagai suatu perkara lumrah dan 60% mengatakan akan melakukan rasuah jika perlu. Fenomena ini sudah tentu berkait langsung dengan sekitaran pendidikan negara yang berbudaya jumud. Di IPT, AUKU dan akujanji mengikat keupayaan pelajar untuk lebih berani dalam meneroka ilmu dan menyampaikan idea dan perasaan mereka.

2. Ketidak-seimbangan perancangan pihak kerajaan dalam keghairahan memasyhurkan pendidikan tinggi negara. Pengishtiharan universiti penyelidikan adalah satu langkah yang boleh dipuji, tetapi perancangan dan pelaksanaannya kelihatan kurang cermat. Maklum-balas yang diperolehi dari ramai ahli akademik di universiti berkenaan (UM,UPM,UKM dan USM), menunjukkan ketidak-puasan hati serta kegelisahan di kalangan mereka. Mereka dikenakan dengan pelbagai bebanan baru dalam bentuk puluhan KPI yang mesti dicapai tanpa penyediaan prasarana sokongan yang mencukupi. Pensyarah memikul tanggungjawab penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan, di samping penambahan beban pengajaran serta pentadbiran.

3. Di waktu yang sama, pengambilan pensyarah baru dan kakitangan sokongan masih lagi tertakluk kepada dasar lama JPA yang menjadikan pengajaran sebagai asas utama pengambilan kakitangan. Dalam keadaan begini, pensyarah rata-ratanya memilih untuk memberi perhatian kepada penyelidikan yang lebih diberatkan dalam kriteria kenaikan pangkat. Pengajaran pula dilakukan secar ala kadar yang menyebabkan mutu pengajaran rendah.

4. Kegagalan pihak kerajaan dalam meningkatkan kadar pengkomersilan produk hasil penyelidikan tempatan. UPM mendahului dalam pengkomersilan dengan 7 produk sahaja, manakala UKM dan UM belum berjaya mengkomersilkan sebarang produk, walaupun begitu banyak pingat yang dimenangi saban tahun oleh penyelidik kita. Di sebalik pelbagai skim geran yang dibangunkan kerajaan seperti CRDF, TechnoFund dan skim Cradle dan produk yang diselidiki, kadar pengkomersilan masih di tahap rendah. Antara punca yang dkenalpasti ialah:

a. Masa yang sangat terhad dalam proses pengkomersialan produk oleh para penyelidik, kerana bebanan kerja yang lain yang berat.
b. Tiadanya keseriusan di pihak industri dalam meningkatkan lagi produk ke peringkat sedia-pasar (commercial-ready)
c. Tiadanya “track-record” oleh produk berkenaan yang menimbulkan keraguan di pasaran terutamanya produk berteknologi baru
d. Tiadanya komitmen termasuk di kalangan syarikat GLC dalam membantu mengaplikasi kan produk berkenaan
e. Tiadanya polisi yang jelas yang dilaksanakan secara tegas oleh pihak kerajaan bagi memastikan produk dan teknologi tempatan diguna-pakai

Tuan Yang Dipertua,
Berdasarkan kepada senario di atas, maka saya mencadangkan agar KPT:

1. Menyemak semula AUKU ke arah membentuk budaya pendidikan yang menghasilkan pelajar yang mempunyai lebih kebebasan berfikir, keberanian mengeluarkan pandangan secara beretika, dan keyakinan diri yang tinggi, yang dapat meningkatkan “employability”mereka dan daya-saing negara.
2. Memastikan elemen kerohanian berlandaskan kepercayaan agama diintegrasikan di dalam kurikulum, bukannya diasing-asingkan seperti sekarang, bagi meningkatkan nilai dan kemahiran insaniah para pelajar
3. Memberi autonomi Pentadbiran dan Pengurusan kepada universiti penyelidikan agar mereka dapat membangunkan prasarana yang seimbang dalam meningkatkan kualiti penyelidikan dan juga pengajaran. Antaranya ialah dalam urusan pengambilan pensyarah dan kakitangan sokongan.
4. Membangunkan skim yang sesuai bagi membenarkan penyelidik yang berjaya dalam pembangunan produk agar tidak dibebankan dengan tugasan lain dalam tempoh tertentu bagi memastikan meningkatnya pengkomersilan produk tempatan
5. Membangunkan dasar yang jelas dan melaksanakannya secara tegas bagi memastikan sekurang-kurangnya pihak GLC mengguna-pakai hasil penyelidikan tempatan bagi memberi “track record” kepada produk berkenaan.
——–
Ucapan penangguhan YB Salahuddin Ayub pada 25 Jun 2008

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.