Dato’ Kamarudin Jaffar (PAS Tumpat) dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pertanyaan berhubung bilangan rakyat Malaysia yang ditahan di negara asing yang terlibat dengan kes jenayah atau pun kes tahanan politik.
Ketika mengemukakan soalan tambahannya, Kamarudin berkata jumlah kes tangkapan warga Malaysia di negara luar (724 orang) seperti yang dinyatakan Menteri Luar Negara, Dato’ Seri Dr Rais Yatim adalah jumlah yang besar.
Beliau juga mencadangkan agar pihak kementerian membantu rakyat Malaysia ini dari sudut bantuan yang boleh diberikan.
Namun dalam soal undang-undang terhadap kesalahan yang dilakukan itu beliau mencadangkan agar mahkamah yang menentukannya.
“Saya juga berminat nak tahu selain kategori tadi jika ada kes yang diumumkan seperti dalam laporan akhbar berhubung kes BSA Tahir yang mana beliau anak kelahiran Sri Lanka ditahan di Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kes berhubung satu syarikat Scomi Engineering Sdn Bhd yang terkenal.
“Beliau ditahan kerana dakwaan pembuatan senjata nuklear oleh Scomi itu.Adakah rakyat Malaysia yang pernah ditahan di Indonesia, Guantanamo Bay atau di Australia berhubung kesalahan jenayah yang berbentuk politi atau pengganas seperti kes BSA Tahir.
“Jika ada adakah pihak Wisma Putra (Kementerian Luar Negara) ambil tindakan tertentu untuk membantu orang-orang ini sebagai tanda prihatin kepada rakyat Malaysia.
Tentang kesalahan yang dilakukan itu katanya, biarlah ia ditentukan di mahkamah antarabangsa atau negara terbabit.
Dengan sinis Kamarudin berkata, “kita lawan di ICJ contohnya dengan bagaimana berjayanya kita dalam kes terhadap Pulau Batu Putih yang terlepas kepada Singapura tetapi ia dianggap sebagai kejayaan kononnya.”
Dr Rais yang bangun bagi menjawab persoalan itu berkata, pihak Wisma Putra sentiasa mendapatkan maklumat mengenai kes tangkapan warga Malaysia di luar negara.
Antaranya kes-kes membabitkan kes pengedaran dadah, kes imigresen dan penyeludupan manusia, katanya.
Sejak tahun 2004 hingga Jun 2008, jumlah tangkapan ialah 724 yang mana kes tangkapan paling besar membabitkan kes pengedaran dadah iaitu seramai 239 kes.
Beliau juga menyatakan nasihat kepada rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara supaya mengetahui tujuan mereka dihantar ke sesebuah negara selain memberi informasi kepada kedutaan berhubung perkara yang berlaku ke atas mereka.
Difailkan dalam: ADR Tumpat
