Muzakarah Umno-PAS pulih imej PM yang dilihat lemah – Dr Mujahid

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa menganggap manipulasi media yang terancang menjadikan isu muzakarah Umno-PAS sebagai menutup isu-isu lain yang mendesak kerajaan.

Katanya, isu Muzakarah Umno-PAS dijadikan sebagai landasan untuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memulihkan imejnya yang dilihat lemah dan tidak mampu menguasai keadaan yang ada hari ini.

Abdullah terdesak untuk memanipulasi isu muzakarah dengan ‘membocorkan’ maklumat-maklumat pertemuan seolah-olah hubungan telah sampai ke tahap yang serius antara kedua parti, katanya.

Sedangkan pertemuan antara parti-parti politik adalah perkara lumrah, ujarnya yang juga ahli Parlimen Parit Buntar semasa mengulas isu tersebut semalam.

” DAP bertemu dengan PM untuk kepentingan Pulalu Pinang, Anwar Ibrahim bertemu PM dalam kemelut yang berlaku hari ini, maka apa istimewanya PAS bertemu dengan PM? Melainkan ia disensasikan untuk kepentingan survival PM.

“Isu muzakarah ini mempunyai serampang dua mata, pada waktu yang sama PM menonjolkan kehebatannya, pada waktu yang sama muzakarah ini diharapkan akan memberi kesan buruk terhadap hubungan sesama parti komponen dalam Pakatan Rakyat,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan nasional PAS Pusat.

Tambahnya, pengundi bukan Melayu turut menjadi sasaran kebocoran mengenai pertemuan itu dengan niat supaya golongan ini memberi tanggapan serong terhadap PAS.

Sehubungnan itu Mujahid menyeru agar rakyat melihat isu ini dengan perspektif perpaduan yang sebenar, iaitu perpaduan harus diasaskan atas keikhlasan dan bukan kerana kepentingan politik.

Dalam hal ini katanya, ia akan dinilai oleh orang ramai sebagai sesuatu yang terdesak sedangkan PAS tidak berada dalam keadaan terdesak.
Teruskan membaca

Pemuda PAS menentang perkongsian kuasa Umno-PAS – Salahuddin

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menegaskan menjadi dasar umum dan pendekatan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan apa jua bentuk perbicangan, dialog mahupun muzakarah dengan mana-mana pihak sebagai membuktikan PAS adalah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan demi kepentingan negara, rakyat dan khususnya perjuangan Islam dalam negara ini.

Salahuddin dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini, ketetapan dan ketegasan tersebut dibuat setelah mengadakan perbincangan selama tiga jam setengah dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja Dewan Pemuda Pas Pusat malam tadi.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Sabki Yusuf; Exco Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Kamaruzzaman Mohamad.

Jelas Salahuddin, di samping sikap keterbukaan itu, Dewan Pemuda PAS menentang sebarang usaha sekiranya muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokuskan kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan Umno.

Tambahnya, melalui mesyuarat tersebut, Dewan Pemuda PAS juga membuat ketetapan komited kepada Pakatan Rakyat yang sedang terjalin.

Salahuddin menegaskan, Pakatan Rakyat merupakan satu-satunya wadah untuk menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Katanya, Dewan Pemuda PAS juga akan menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk memecah belah serta menimbulkan fitnah dan hasutan terhadap Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu katanya, sekiranya berlaku muzakarah antara PAS dan Umno, ia tidak akan berakhir dengan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat serta menyertai atau berkongsi kuasa dengan Barisan Nasional.

“Oleh itu rakyat seharusnya faham bahawa muzakarah yang digembar gemburkan jika menjurus kepada perbincangan perkongsian kuasa serta agenda untuk meninggalkan Pakatan Rakyat, menjurus kepada kerjasama politik ia merupakan perkara yang tidak benar sama sekali.

“Rakyat seharusnya yakin dengan kepimpinan PAS serta perjuangan PAS hari ini. Kita sebenarnya sedang menerima mandat rakyat selepas Pilihan raya lalu dan telah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri. Ini merupakan amanah dan tangggung jawab yang kita tunaikan dengan penuh kesedaran. Kita mempunyai prinsip dan pegangan yang cukup kuat tanpa ada pemikiran lain untuk lari atau mengkhianati daripada Pakatan Rakyat ,”tegasnya.

Dalam pada itu, Salahuddin menegaskan sekiranya terdapat sebarang permasalahan dalam Pakatan Rakyat, perkara tersebut akan diselesaikan dengan baik.

Khalid setuju muzakarah dihentikan

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang merupakan antara tiga pemimpin tertinggi parti itu yang menyertai muzakarah pertama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini mahu muzakarah itu segera dihentikan.

Khalid bersetuju dan senada dengan pendapat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa muzakarah tersebut hanya akan memporak-perandakan parti.

“Saya bersetuju dengan pendapat Nik Aziz. Memang ada usaha untuk memujuk Pas menyertai UMNO,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau antara tiga pemimpin Pas selain Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Mustafa Ali yang terlibat dalam muzakarah yang didedahkan oleh Perdana Menteri kelmarin.

Khalid juga mendakwa muzakarah itu merupakan gimik UMNO semata-mata untuk menjatuhkan Pas yang merupakan anggota Pakatan Rakyat.

Khalid, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor turut mendedahkan apa yang berlaku dalam pertemuan pertama yang berlangsung sejurus selepas pilihan raya ke-12 pada 8 Mac lalu.

Semalam, dalam kenyataan kepada Sinar Harian, beliau berkata, pertemuan dengan Abdullah selepas pilihan raya umum lalu bukan bertujuan membincangkan isu kepentingan Melayu dan Islam semata-mata.

Malah katanya, isu tersebut hanya perkara sampingan yang dibincangkan kerana tumpuan utama adalah menjurus kepada tawaran penyertaan Pas dalam Barisan Nasional (BN) termasuk harapan Abdullah untuk menubuhkan kerajaan bersama di Selangor.

Sebelum ini Sinar Harian juga turut menyiarkan kenyataan tegas Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, yang meminta sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara Pas dan UMNO perlu dihentikan dengan segera kerana bimbang akan berlakunya perpecahan dalam parti.

Nik Aziz menyatakan demikian sehari selepas Abdullah, yang juga Perdana Menteri mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan dengan tiga pemimpin Pas sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik pertemuan itu.

Dalam pertemuan tersebut, menurut Khalid, selain beliau, Pas diwakili Nasharudin dan Mustafa.

UMNO pula diwakili oleh Abdullah dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Dr Mohammad Khir juga mendedahkan formula dan isu perbincangan dalam pertemuan tersebut menerusi blognya.

Muzakarah Umno-PAS pada pandangan Salahuddin Ayub

ISU mengenai muzakarah UMNO dan Pas timbul lagi. Segalanya bermula apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk duduk semeja berbincang dengan UMNO dalam soal memperjuangkan hak kepentingan Melayu dan umat Islam di negara ini.

Kesediaan Pas itu semakin mendapat perhatian apabila Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa dalam soal Melayu dan Islam, UMNO bersedia bersama-sama berbincang dengan Pas.

Tetapi persoalannya, apakah hasrat murni itu akan mencapai kejayaan? Adakah kali ini muzakarah berkenaan akan menjadi kenyataan atau ia sekali lagi hanya tinggal impian?

Untuk menghuraikan semua persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR menemui dua pemimpin muda dalam UMNO dan Pas iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

Apa pandangan Yang Berhormat (YB) berhubung usaha untuk mengadakan muzakarah antara Pas dan UMNO?

SALAHUDDIN: Muzakarah ini pada prinsipnya bukanlah satu mukadimah kepada perkongsian kuasa politik Pas dan UMNO. Ia mestilah memfokuskan kepada agenda kepentingan rakyat jika kita benar-benar ikhlas untuk bermuzakarah.

Sebenarnya muzakarah bukanlah perkara yang baru bagi Pas. Sebaliknya ia menjadi budaya parti kami dalam membincangkan sesuatu perkara atau isu dengan sesiapa pun.

Sebagai contoh pada tahun 2004, sebagai Ketua Pemuda, saya telah menghantar empat pucuk surat kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membolehkan satu muzakarah atau perbincangan secara terbuka diadakan.

Ia mengandungi beberapa isu yang saya anggap penting untuk dibincangkan sama ada ia melibatkan kepentingan negara, umat Islam dan orang Melayu.

Antara isu itu ialah berkaitan gejala sosial yang rata-rata mangsanya ialah remaja Melayu.

Surat berkenaan juga bagi membincangkan berkaitan kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mencapai matlamat kuota 30 peratus untuk bumiputera. Isu ini saya kutip melalui pandangan yang dilontarkan oleh Prof. Diraja Ungku Aziz dan Prof.Dr.Ismail Salleh.

Pada pandangan saya ketika itu, isu tersebut perlu dibincangkan secara terbuka dan ikhlas melampaui sempadan ideologi politik kerana ia menyentuh mengenai kepentingan Melayu dan umat Islam. Turut dinyatakan dalam surat berkenaan hasrat bagi membincangkan berkaitan isu gejala murtad yang melanda remaja Melayu.

Kesemua isu ini saya ketengahkan dengan menghantar surat rasmi kepada Pemuda UMNO bagi membolehkan muzakarah diadakan. Bagaimanapun kami tidak mendapat maklum balas. Mungkin ketika itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar dalam pilihan raya, maka apa yang dibangkitkan oleh Pemuda Pas tidak dilihat ada sentimen atau kepentingan politik.

Saya menghantar surat berkenaan dengan harapan, biarlah Pemuda Pas dan Pemuda UMNO yang mewakili golongan muda dalam negara duduk berbincang bagi melahirkan keterbukaan, bukan untuk bercakap soal kepentingan politik tetapi isu-isu yang dibangkitkan.

Berdasarkan kepada latar belakang berkenaan, bagi saya budaya mengadakan muzakarah sudah lama sebenarnya ditunjukkan melalui pendekatan Pas. Malah saya sendiri berusaha untuk memastikan Pemuda Pas keluar daripada paradigma yang hanya membangkang atau pandai mengkritik sahaja kepada paradigma baru iaitu bersedia berbincang dan berkongsi pandangan serta melahirkan gagasan-gagasan pemikiran untuk kepentingan negara terutama orang Melayu dan Islam itu sendiri.

Bagaimana pula kali ini, apakah muzakarah yang diperkatakan akan berjaya dilaksanakan?

SALAHUDDIN: Berjaya atau tidak, saya ingin meletakkan parameternya dahulu, sememangnya muzakarah ini tidak harus menjadi satu agenda politik Pas atau UMNO. Tetapi kita membentuk muzakarah itu untuk membantu menyelesaikan perjuangan Islam dan orang Melayu dalam negara kita.

Saya mengharapkan tidak timbul suatu muzakarah yang mampu mencipta persepsi di kalangan rakyat bahawa berlakunya suatu perkongsian kuasa, itu saya tidak mahu. Saya tidak berminat untuk bercakap tentang itu. Apa yang penting, ia bukan satu agenda politik Pas atau UMNO tetapi kedua-dua parti boleh duduk semeja bagi berbincang mengenai memperkasakan kepentingan dan perjuangan Islam serta orang Melayu pada masa akan datang.

Dalam aspek ini, ia melibatkan ruang lingkup yang besar untuk kita berbincang terutama dalam masalah ekonomi, pendidikan, sosial dan banyak lagi isu kepentingan negara. Ini termasuklah soal kedaulatan, hak orang Melayu dan hak bangsa lain. Semua itu perlu kita jadikan satu agenda untuk menyelesaikannya dan bukan menghantar satu isyarat yang salah kepada rakyat di luar sana seolah-olah muzakarah ini ke arah pembentukan perkongsian kuasa. Kalau itu yang kita hantar maknanya rakyat akan melihat kita tidak ikhlas di dalam muzakarah ini. Saya tidak mahu rakyat terkeliru dan terperangkap. Biarlah melalui muzakarah ini, ia menunjukkan Pas dan UMNO sedia berbincang demi kepentingan rakyat.

Pada pandangan YB dalam memastikan muzakarah ini tidak gagal apakah yang perlu pemimpin UMNO dan Pas lakukan?
Teruskan membaca

Meningkatkan kecekapan pengangkutan awam

Kenaikan harga petrol sebanyak 41 peratus dan diesel 50 peratus mulai 5hb. Jun. 2008 baru lalu telah secara langsung memberi kesan kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah terutamanya dari segi pengangkutan.

Kenaikan harga minyak telah membuka mata orang ramai tentang pentingnya pengangkutan awam. Kadar penggunaan pengangkutan awam di negara ini adalah rendah, hanya 16 peratus berbanding lebih 79 peratus di negara maju.

Kerajaan pula terus menggesa orang ramai menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Persoalannya adakah sistem pengangkutan awam dinegara kita dapat memenuhi keperluan rakyat?

Justru, langkah yang drastik perlu diambil jika Kerajaan ingin meningkatkan penggunaan sistem pengangkutan awam daripada 16 peratus kepada 40 peratus. Setelah 50 tahun barulah Kerajaan bercadang menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam bagi merangka sebuah Pelan Induk Pengangkutan sedangkan sepatutnya negara telah pun mempunyai pelan induk pengangkutan awam yang bersepadu dan komprehensif bagi memastikan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam.
Cadangan saya bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan awam seperti berikut:

• Kerajaan hendaklah membentang dan memantau dari semasa ke semasa rancangan pembangunan semua jenis perkhidmatan pengangkutan awam di Parlimen. Polisi perancangan hendaklah berasaskan lebuhraya tanpa tol.

• Memastikan prasarana dan perkhidmatan yang dibekalkan mesra pengguna dan effisien seperti liputan rel transit diperluaskan. Perkhidmatan pengangkutan awam sewajarnya lah mempunyai jaringan yang lebih menyeluruh.

• Memastikan perkhidmatan bas meliputi ke seluruh lokasi yang bolih dilalui kenderaan termasuk ke bandar-bandar kecil bagi kemudahan rakyat dengan memastikan harga yang berpatutan dan keselamatan yang lebih terjamin. Saya ingin mencadangkan pemandu bas ekpress memandu pada jarak yang lebih dekat. Saya mencadangkan pemandu bertukar di “Check Point” yang lebih sesuai. Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil bagi memastikan bas ekspress tidak bolih berusi lebih 10 tahun.

• Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) hendaklah tidak berorientasikan keuntungan tetapi mementingkan kemudahan pengangkutan awam.

• Memperluaskan rangkaian jalur perkhidmatan keretapi laju ke seluruh negara. KTMB perlu memperluaskan laluan dengan menambah beberapa laluan baru bagi memenuhi keperluan rakyat dan pelancong termasuk ke Terengganu satu-satunya negeri yang belum mempunyai sistem kereta api.

• Memberikan dan memperkenalkan lebih banyak insentif, peruntukan, bantuan dan galakan kepada pemberi khidmat pengangkutan terbaik dan sebaliknya denda yang setimpal kepada pelaku yang cuai dan tidak bertanggungjawab dengan mengkaji pelbagai akta dan skim yang telah diperkenalkan.

• Meningkatkan kemudahan di lebuh raya dan memastikan ianya selamat dalam semua aspek termasuklah menggantikan tanda arah (Road signage) yang mengelirukan dan bolih menyebabkan kemalangan. Kerajaan hendaklah membuat semakan tanda arah ini setiap 2 tahun termasuk lah kadar kelajuan kerana banyak jalan yang telah dinaiktaraf tetapi masih lagi dengan had laju yang lama.

————
Ucapan penangguhan pada 16 Julai 2008

Umno tawar PAS sertai BN – Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas Pilihraya Umum ke-12 lalu bukan bertujuan membincangkan isu kepentingan Melayu dan Islam semata-mata.

Katanya, isu tersebut hanya perkara sampingan yang dibincangkan kerana tumpuan utama adalah menjurus kepada tawaran penyertaan Pas dalam Barisan Nasional (BN) termasuk harapan Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan bersama di Selangor.

Mengaku bersama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Mustafa Ali hadir pada pertemuan yang diatur pihak ketiga itu, Khalid berkata perbincangan tersebut tidak menyimpan apa-apa niat termasuk usaha bersatu dengan UMNO.

“Asalnya pertemuan tersebut akan melibatkan Presiden, Timbalan dan Pesuruhjaya Pas Selangor tetapi kita memutuskan Presiden diganti oleh Datuk Mustafa Ali dan ana (saya) menggantikan Dr Hassan bagi mengelakkan berlaku pertembungan kepentingan.

“Kita ke sana (bertemu PM) bertujuan untuk membeli masa (buying time) agar kerajaan Pakatan Rakyat (PR) selamat dibentuk dalam situasi politik ketika itu (selepas pilihanraya) yang dilihat sedikit kucar kacir dan Tan Sri Abdul Khalid belum angkat sumpah sebagai Menteri Besar, kita pergi hanya untuk dengar apa yang ditawarkan kerajaan BN.

“Kita hanya kata ‘ya’ dan ‘ya’ tanpa sebarang keputusan terhadap perkara yang dibangkitkan termasuklah kesediaan melantik Dr Hassan sebagai Menteri Besar sekiranya Pas sedia bekerjasama dengan mereka (UMNO) untuk membentuk kerajaan di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor itu memberitahu, mereka hadir ke pertemuan itu sekadar menghormati jemputan biarpun pada peringkat awal beliau secara peribadi tidak bersetuju.

“Memang isu Melayu dan Islam ada dibincangkan apatah lagi bila banyak kerusi di Selangor dimenangi DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi yang pasti tidak ada perbincangan antara kami (pemimpin Pas) pergi berjumpa dengan UMNO semata untuk bekerjasama dengan mereka. Kita sekadar memenuhi janji dan mendengar apa tawaran mereka,” tegasnya yang mendakwa ketika pertemuan tersebut diadakan, surat sokongan terhadap Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor telah dikeluarkan Pas.

Bagi Khalid, pengakuan Presiden UMNO itu sebagai ‘agenda setting’ untuk menimbulkan sangsi dalam kalangan anggota Pakatan Rakyat kononnya Pas memang akan bersama UMNO di saat ‘khabar angin’ itu tersebar meluas selepas Presiden Pas menyatakan secara terbuka dalam wawancara di Harakah, dua minggu lepas.

“Saya menyimpulkan ada tiga perkra yang dapat dikutip dari pendedahan Pak Lah (iaitu) satu, Pak Lah tidak ikhlas dalam isu ini, kedua: ada usaha melaga-lagakan Pas, DAP dan PKR dan ketiga mengelirukan hasrat ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk meyertai PR kerana beranggapan perkara (Pas bersatu dengan UMNO) akan berlaku dan merugikan mereka sekiranya lompat parti,” katanya.

Ditanya adalah perbincangan sama (kepentingan Melayu dan Islam) berlaku di antar Pas dan pemimpin Melayu dalam PKR, Khalid menegaskan soal keistimewaan Melayu dan Islam sebagai agam rasmi difahami dan dipatuhi komponen PR iaitu DAP dan PKR.

“Perkara itu sudah diterima dan dipatuhi daa PR dan tidak timbul isu kedua-dua hak itu diperlekehkan termasuk usaha mencabarnya,” tegasnya lagi.

Memartabatkan Pusat Asasi UIAM – Senator Mumtaz

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ditubuhkan atas mandat negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bermula dengan dua fakulti, Kulliyah Undang-undang dan Kulliyah Ekonomi pada 1983 dengan pengambilan 153 pelajar di kampus Lembah Pantai dan Seksyen 17, Petaling Jaya, kini mempunyai 14 fakulti dengan 20,000 pelajar termasuk 3,000 pelajar luar negara dari 90 negara. UIAM baru-baru ini menyambut jubli Perak pada 20 Mei 2008 telah berjaya melahirkan lebih 30,000 lulusan berwibawa.

Peranan dan sumbangan UIAM kepada dunia pendidikan, umat Islam khasnya dan manusia sejagat amnya tidak dapat dinafikan. Olih sebab itu lah isu memartabatkan Pusat Asasi UIAM dibawa ke dewan yang mulia ini. Pusat Asasi UIAM bertukar nama dari Pusat Matrikulasi UIAM mulai awal 2007 bertujuan mewujudkan keseragaman nama dengan pusat asasi lain di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ia dipersetjui Kementerian Pengajian Tinggi.

Pada masa ini UIA mempunyai kampus induk di Gombak, Kampus cawangan di Kuantan untuk Kulliyah Perubatan, Farmasi dan Sains Bersekutu, Kampus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamdun (ISTAC) di Kuala Lumpur, Institut Pendidikan dan Pusat Asasi di Petaling Jaya dan Nilai, Negeri Sembilan.
Penempatan sebahagian pelajar Pusat Asasi UIAM ke Nilai, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan mulai sesi akademik 2007/2008 inilah yang dipersoalkan.

• Selama 25 tahun penubuhannya, kenapa UIAM masih tidak mempunyai kampus utama bagi Pusat Asasi UIAM yang tetap? Kini UIAM terpaksa menyewa bangunan dan rumah kedai di Kampus Satelit di Nilai, Negeri Sembilan. Berapakah sewanya sebulan? Apakah status cadangan UIAM membina kampus tetap di Janda Baik, Pahang? Pusat Asasi UIAM dijangka menerima 10,000 pelajar menjelang 2010. Apakah langkah yang diambil bagi mengatasi kebanjiran pelajar ini?

• Ramai ibu bapa yang mempersoalkan kewajaran pemilihan kampus satelit di Nilai yang amat tidak sesuai dengan status universiti bertaraf antarabangsa. Pembukaan kampus ini bukan sahaja menyusahkan kepada pensyarah dan kakitangannya tetapi juga pelajar yang mengharapkan suasana pembelajaran yang kondusif.

• UIAM kehilangan pensyarah yang berkaliber disebabkan ketidaktentuan mengenai status kampus tetap Pusat Asasi UIAM. Penghijrahan keluar pensyarah UIAM yang telah berpengalaman lima hingga enam tahun secara berterusan adalah merugikan UIAM sendiri.

• Skim gaji pensyarah Pusat Asasi UIAM dikatakan lebih rendah dari skim gaji guru kerajaan (DG 41). Skim gaji yang lebih kompetitif adalah perlu. Bilakah kali terakhir semakkan gaji keseluruhan pensyarah UIAM dibuat?

Sempena 25 tahun UIAM, UIAM akan terus melahirkan lulusan berwibawa. Justru, langkah proaktif perlu diambil demi memastikan kecemerlangan UIAM yang disayangi sebagai : “Taman Ilmu dan Budi”(Garden of Knowledge and Virtue).
——————
Ucapan penangguhan di Dewan Negara pada 15 Julai 2008

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 4,527 other followers