TPM ditimpa suasana tidak kondusif … apabila ada akuan bersumpah..

Mahfuz Omar (PAS- Pokok Sena) mempersoalkan keperluan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak tampil untuk memberikan penerangan ke atas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, sedangkan penjelasan telah diberikan oleh Perdana Menteri.

Sewaktu perbahasan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan di Dewan Rakyat semalam, beliau menyatakan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia sebelum ini tidak pernah selepas daripada Perdana Menteri membuat perbentangan, terdapat pula penerangankhas daripada Timbalan Perdana Menteri

“Pertama adakah itu menunjukkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri? Yang kedua, adakah Timbalan Perdana Menteri adamasalah? Satu suasana yang tidak kondusif yang sedang menyelubungi hidup beliau apabila ada pengakuan-pengakuan bersumpah yang dibuat terhadap isteri beliau yang dibuat oleh Raja Petra yang mengaku mempunyai bukti bahawa isteri beliau berada pada tempat dan menyaksikan letupan ke atas Atlantuya,” katanya yang menyebabkan dewan menjadi riuh.

Walaupun ditegur oleh Timbalan Yang di-Pertua, Dato’ Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana masa perbahasan untuknya telah tamat, Mahfuz tetap meneruskan ucapan beliau.

“Ini sampai sekarang sedang berlegar dalam kepala saya, dalam pemikiran saya, kenapa? Saya sebut hari itu, adakah penerangan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu tidak jelas, tidak cukup yang menyebabkan Timbalan Perdana Menteri perlu datang. Sedangkan sebelum ini belum pernah ada. Tiba-tiba pada 30 Jun yang lalu bahawa datang Timbalan Perdana Menteri untuk memberikan penerangan.

“Sebab itu saya katakan bahawa dan penerangan yang diberikan itu pula penerangan yang menunjukkan bahawa bukan salah orang lain yang menyebabkan Melayu terpinggir. Saya bersetuju bahawa bukan kerana orang lain, bukan kerana bangsa lain. 50 tahun Melayu terpinggir kerana siapa? Kerana UMNO!,” katanya yang disambut ketukan meja.

Tegasnya, beliau tetap menyatakan bahawa kaum Melayu lebih terpinggir daripada kaum India. Beliau juga tidak bersetuju terdapat pihak yang membangkitkan masalah kontrak sosial.

“Apa yang kita hendak salahkan kepada orang yang hendak membincangkan mengenai kontrak sosial. Setakat dia membincang kontrak sosial, tetapi UMNO, Barisan Nasional telah buat sesuatu untuk menghakiskan kepentingan orang Melayu dalam negara kita,”katanya.

Kata-kata Mahfuz itu sekali lagi disambut dengan ketukan meja Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Mahfuz menegaskan adakah Majlis Peguam hendak disalahkan kerana membincangkan sama ada persoalan kontrak sosial relevan atau tidak. Ini kerana katanya, sedangkan Perdana Menteri sudah menyatakan hasrat untuk menghapuskan Dasar-dasar Ekonomi Baru dalam pelaksanaan Wilayah Pembangunan Iskandar.

“Takkan kita hendak salahkan Bagan(merujuk kepada Lim Guan Eng) bila dia naik jadi ketua menteri, Melayu Pulau Pinang terpinggir. 50 tahun UMNO buat apa? Duk cangak, nganga sahaja,”katanya yang disahut ketawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Jelasnya, perkara tersebut bukan isu perkauman, tetapi sesuatu yang tidak adil apabila pemimpin diberikan kuasa untuk memerintah, tetapi tidak melaksanakan pembangunan untuk seluruh rakyat.

Jelasnya, sikap menyalahkan orang lain apabila tampuk pimpinan bertukar adalah sesuatu yang tidak adil baginya.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.