Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2), dengan ini diberikan notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.
“Bahawa Dewan yang mulia ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan isu mengenai badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan berkaitan surat akuan bersumpah dan juga laporan polis”
YB Tan Sri Yang Dipertua,
Kemelut politik negara yang semakin tenat dan perlu kepada tindakan segera kerana rakyat amat bimbang dan gusar terhadap suasana perebutan kuasa serta lontaran fitnah dan tuduhan yang melibatkan kredibiliti pihak-pihak paling tertinggi dalam negara ini. Ini disusuli dengan beberapa akuan bersumpah dan juga laporan polis yang telah dibuat.
Bermula pada 18 Jun 2008 yang mana surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri kepada YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Di ikuti pula dengan laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat.
Dato’ Seri Anwar pula membuat laporan polis pada 1 Julai 2008 terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail, Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998.
Keadaan semakin panas dengan surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya bertarikh 4 Julai 2008 yang menarik balik tuduhannya.
Oleh yang demikian, Parlimen seharusnya dipertegaskan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam aduan-aduan tersebut.
Saya juga memohon mencadangkan agar Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bercuti dari jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja.
——————–
YB Salahuddin akan membaca usul ini pada jam 11.30 pagi esok 8 Julai 2008.
Difailkan dalam: ADR Kubang Kerian, Usul
