MP PAS tidak hairan jika usul tidak percaya kepada PM ditolak

PAS tidak hairan jika usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinetnya yang akan dibawa di Dewan Rakyat esok, ditolak.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhak menolak usul yang dibawa Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya tidak hairan kalau usul itu ditolak kerana itu hak Speaker tetapi moralnya Pakatan Rakyat sudah membawa satu perkara besar untuk dibincangkan dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut di KL.

Salahuddin yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, usul itu bukan usul undi tidak percaya, sebaliknya hanya usul biasa di bawah peraturan mesyuarat 18 yang boleh ditolak oleh Speaker.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalu-alukan lebih banyak Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Katanya, beliau tidak mengharapkan suatu perubahan dalam kerajaan, sebaliknya perwakilan bagi suara rakyat didengar di Parlimen.

“Proses itu tidak akan membabitkan sebarang pengundian dan kami tidak akan memfailkan usul itu buat kali kedua sekiranya Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak memberi kebenaran kali ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN), yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, sempena sambutan ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini. Dr Wan Azizah berkata beliau menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Khamis lalu, Ketua Pembangkang Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan notis usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Usul itu diserahkan oleh 14 anggota Parlimen daripada parti pembangkang yang diketuai Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dr Wan Azizah berkata, usul itu mengikut peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) yang berbunyi: “Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepemimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.

Satu Respons

  1. tak pelik pun. mereka kan berkuasa.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.