20 November 2008:
Ahli Parlimen Baling membahaskan peruntukam Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat pada 20 November 2008.
Teks penuh:
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terlebih dahulu sebelum saya menyentuh butiran-butiran ini untuk mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri yang merupakan salah seorang Menteri yang selalu datang ke Dewan untuk jawab sendiri soalan-soalan… [Tepuk]
Pertama sekali mengenai dengan Butiran P.26 01502 – Tabung Ekonomi UsahaNiaga iaitu TEKUN. Oleh kerana Baling adalah merupakan salah sebuah daerah yang luar bandar, selain daripada daerah-daerah yang lain, maka sebenarnya TEKUN memainkan peranan yang penting di daerah-daerah yang seumpama ini.
Apa yang kita lihat mungkin di peringkat kementerian tidak ada masalah dalam mengendalikan Tabung Ekonomi Usaha Niaga atau TEKUN ini tetapi kadang-kadang kita dapati rungutan-rungutan di peringkat bawahan dan kadang-kadang itu pegawai-pegawai di peringkat daerah atau peringkat bawahan mungkin ada berlebih-lebih sangat, terutama sekali dalam mempertimbangkan permohonan yang diminta atau yang dipohon oleh pengusaha-pengusaha yang sesuai dan berkelayakan untuk memohon
bantuan daripada TEKUN ini.
Ini kerana sebenarnya di peringkat bawahan, terutama pengusaha-pengusaha kita ini mereka sebenarnya tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Yang ada ahli itu, ahlilah, yang tidak ada ahli itu pun ramai kerana mereka lebih menumpukan usaha niaga mereka, tetapi apabila mereka hendak pergi dapatkan borang, sebahagian besar daripada mereka, pihak di peringkat daerah minta nombor ahli, ahli UMNO kah dan sebagainya, jadi ini menjadikan keadaan yang terbantut.
Sebenarnya bagi saya, saya tidak bercakap di Dewan yang mulia ini untuk di atas maksud kepartian semata-mata tetapi lebih kepada melaksanakan usaha TEKUN ini bagi merealisasikan pengusaha-pengusaha kita ini mendapat pertolongan dan peruntukan yang sewajarnya sebagaimana yang telah disediakan.
Begitu juga di bawah P.26 01504 iaitu Jaminan Usahawan Kecil ini sendiri. Jadi saya rasa peruntukan atau jaminan usaha kecil ini sendiri adalah sesuatu yang boleh menjana dan membangunkan peringkat grassroots kita iaitu bagi kaum bumiputera, terutama sekali di kawasan-kawasan atau daerah-daerah luar bandar melalui jaminan usahawan kecil inilah boleh kita membina mereka ke arah suatu keadaan yang lebih maju.
Oleh itu maka kita harapkan supaya pihak kementerian dapat memberi peruntukan yang lebih supaya tabung TEKUN ini dan juga jaminan usahawan kecil ini mendapat bimbingan yang sewajarnya ke arah peningkatan usaha mereka.
Menyentuh mengenai dengan P.26 00602 – MRSM, saya ingin mengucapkan penghargaan, terima kasih banyak kepada pihak kementerian kerana MRSM di Baling sudah mula dibina dan kita harap akan dapat disiapkan dalam masa yang agak terdekat.
Saya bagi pihak rakyat Baling, khususnya, mengharapkan kementerian terutama sekali Yang Berhormat Menteri memberi keutamaan supaya MRSM di Baling ini diberi keutamaan kepada anak-anak miskin yang mempunyai kelayakan untuk mendapat tempat di MRSM ini. Saya percaya dengan terbinanya MRSM di Baling akan menempah satu sejarah baru bagi daerah Baling kerana inilah merupakan satu-satunya institusi yang bertaraf kolej macam ini yang ada di Baling di mana di Baling sebelum ini hanyalah di peringat pengajian menengah sahaja.
Kemudian itu berhubung dengan P.26 09515 iaitu Program Perunding Halal. Saya tertarik dengan 09515 ini dengan harapan supaya Program Halal ini dapat dibangunkan dengan lebih jaya lagi. Boleh jadi tidak keterlaluan kalau pada pandangan saya, ia kita jadikan satu tumpuan atau satu kursus khas di dalam MRSM itu sendiri misalnya, supaya kursus-kursus ini dapat diperlengkap untuk menampung keperluan tenaga dalam hab halal negara kita pada masa yang akan datang.
Saya teringat dan tertarik dengan pandangan yang telah diberi oleh Yang Berhormat Batu Pahat dalam sesi soal jawab tadi supaya kita tidak boleh mengharapkan kepada HDC sahaja yang mengendalikan ini, tetapi kita mesti ada sesuatu kemampuan piawai untuk memastikan bahawa halal hab ini berjalan dengan baik.
Oleh itu sekiranya pihak kementerian dan pihak kerajaan berhasrat menuju ke arah itu, maka kita perlu mempunyai suatu persiapanpersiapan dan persediaan untuk menampung tenaga bagi mengendalikan urusan-urusan ini.
Saya rasa Yang Berhormat menteri telah pun sedia maklum dan saya rasa saya pun sebelum ini pernah juga berbual dengan Yang Berhormat menteri mengenai dengan usaha yang telah dan yang sedang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia berusaha untuk membangunkan standard piawai yang diberi ringkasnya ISI.
Jadi dalam persoalan makanan, ISI adalah suatu usaha piawai yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia. Jadi kita mengharapkan melalui Butiran 09515 ini, pihak kementerian boleh mengambil suatu inisiatif supaya apa yang diusahakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia ini termasuk dalam main screen kerajaan sendiri. Biarlah Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mampu untuk memasarkan ISI ini ke seluruh dunia Islam.
Saya yakin imej dan nama baik negara dapat dipertingkatkan lagi di dunia Islam apabila kita dapat pasarkan standard piawai ISI. Saya rasa sudah sampai masa dan ketika sekarang ini kita bertegas ke arah itu kerana kita nampak ada pihak-pihak yang cuba menyalahgunakan kedudukan ini sehinggakan mereka tidak segan silu seolah-olah makanan dan pemakanan Islam ini sendiri boleh dipermainkan dan dipermudahkan begitu sahaja sebagaimana yang kita sedia maklum maknanya.
Jadi apabila kita piawai ini ada, ataupun kekuatan ini ada diperkukuhkan lagi dengan persiapan kita dalam kursus-kursus yang boleh diaturkan dalam MRSM misalnya, maka kita telah cukup bersedia ke arah menjadikan Malaysia salah sebuah negara yang terjamin halal habnya dalam dunia Islam. Itu sahaja, terima kasih.
Difailkan dalam: ADR Baling, Dewan Rakyat, Ucapan
