MP PAS Pendang: Bahas peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

20 November 2008:

Ahli Parlimen Pendang membahaskan peruntukam Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat pada 20 November 2008.

Teks penuh:
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Hanya beberapa butiran yang akan saya sentuh. Yang pertama sekali 01502 – Tabung Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN). Saya tidak mahu sentuhlah sebab perkara yang disentuh oleh Yang Berhormat Titiwangsa tadi.

Cuma saya hendak tahu setakat ini berapa peratus kejayaan mereka yang meminjam di TEKUN ini, setakat mana kejayaan mereka, hasil pinjaman yang diberikan oleh TEKUN ini kerana bila kita tahu mereka ini hanya peniaga-peniaga kecil, adakah mereka selepas meminjam, kemudian terpaksa meminjam balik dengan TEKUN ini atau mereka ini sekali pinjam sudah boleh berdikari di atas usaha niaga yang mereka lakukan.

Satu lagi, harapan saya kepada menteri adalah tentang pejabat TEKUN ini. Saya sudah sentuh pada sesi yang lepas iaitu kepada menteri dari Lenggong kalau tidak silap saya, berhubung dengan pejabat ada di Kompleks UMNO. Saya tengok di Selayang pun begitu juga di dalam Kompleks UMNO.

Jadi saya hendak tahu, apakah sebenarnya fungsi TEKUN ini. Adakah mereka ini untuk membantu rakyat atau hanya orang-orang tertentu sahaja kerana kalau duduk di pejabat itu, menteri yang lepas jawab, dia kata sewa murah. Takkan duduk pejabat UMNO, kena sewa juga kot. Saya pun tidak tahulah. Jadi saya harap menteri dapat memberikan penjelasan.

Kemudian yang kedua tentang MRSM. Saya sedih jugalah pada keputusan dua tahun lepas, MRSM Pendang ini dikatakan yang tercorot sekali dalam Malaysia, wallahualam, saya tidak tahu. Selepas tukar dia punya pengetua, menjadi tercorot, sebelum itu baik.

Saya hendak tahu berapa peratusan pelajar-pelajar bukan bumiputera yang masih berada di dalam MRSM. Katanya akan dinaikkan menjadi 15%. Apabila pelajar-pelajar peratusan bukan bumiputera berada di MRSM, setakat mana dapat ia memajukan daya saing pelajar-pelajar bumiputera yang
berada dalam MRSM. Kerana itulah sebab mereka dimasukkan di situ pada awal-awal dahulu lagi.

Yang ketiga tentang Program Keusahawanan Siswa dan Siswazah. Apakah siswa dan siswazah ini dipilih daripada mereka yang masih lagi berada dalam universiti. Maknanya mereka ini berada pada tahun akhir ataupun mereka dilatih sejak mereka dalam universiti, selepas itu mereka akan meneruskan usaha-usaha membantu menjadi seorang usahawan daripada siswa dan siswazah ini atau kah hanya selepas mereka keluar daripada universiti dan tidak mendapat pekerjaan dalam masa-masa tertentu, barulah mereka ini dimasukkan dalam program-program yang dirancang oleh kementerian ini.

Setakat ini usahawan-usahawan yang bagaimanakah siswa dan siswazah ini menceburkan diri. Apakah mereka ini dalam bidang perniagaan sahaja ataupun dalam usahawan-usahawan yang melibatkan mereka sendiri mengusahakan produk-produk yang digunakan oleh orang ramai.

Kemudian tentang Program ICT Bumiputera Entrepreneur. Saya dapati banyak peruntukan yang disediakan tetapi pada tahun 2009 hanya RM500 ribu sahaja kerana ICT ini merupakan sesuatu yang cukup penting dalam dunia pada hari ini. Kalau kita dapat mengadakan satu hab ICT macam mana terdapat di Low Yatt untuk bumiputera, saya rasa ini sesuatu yang cukup membanggakan dan menteri boleh mendapat kredit yang cukup besar dalam hal ini.

Saya tengok di KB Mall, di Kota Bharu memang ada satu hab ICT yang kita kata agak berjaya. Itu di Kota Bharulah. Kalau di negeri-negeri atau tempat-tempat lain boleh diadakan sebegitu, memang cukup membanggakan kita kerana bekalan-bekalan untuk mendapat barangbarang ICT ini agak sukar bagi mereka-mereka yang berada di dalam business ICT ini kerana mereka terpaksa melalui atau menempuh banyak halangan terutama sekali kalau tidak ada kerjasama dengan pihak-pihak yang tertentu yang membekalkan bahan-bahan tersebut.

Kemudian 09001 – Ruang Niaga. Saya sudah sentuh dulu tentang Kompleks MARA di Alor Setar dan juga Kompleks MARA di Pendang. Saya harap kalau sekiranya pihak kementerian hendak membina bangunan-bangunan MARA untuk perniagaan, buatlah bangunan itu sesuai untuk perniagaan. Jangan nampak macam court badminton, selepas itu kita ubah suai menjadi bangunan untuk peniaga.

Juga pejabat MARA di Pendang, bangunan MARA dia tidak guna, tetapi dia terpaksa sewa bangunan yang lain untuk menjadi pejabat MARA. Jadi saya rasa ini sudah tentu akan merugikan pihak MARA sendirilah. Bangunan kita ada, sewa bangunan orang. Jadi bangunan yang kita ada tidak digunakan untuk pejabat kita.

Kemudian pembudayaan keusahawanan untuk pelajar-pelajar sekolah. Ini saya rasa satu usaha yang baik, bagus dan sesuatu kredit boleh juga diberikan kepada menteri yang hendak bertanding ini.

Saya hendak tahu adakah sekolah tajaan MARA sahaja ataupun sekolah yang di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia kerana kalau sekolah di bawah Kementerian Pelajaran mungkin terpaksa mendapat kebenaran daripada menteri berkenaan kerana usahausaha iaga di sekolah ini adalah amat penting untuk kita didik pelajar-pelajar mereka dan adakah mereka ini hanya dididik dari segi teori ataupun praktikal sekali.

Sekolah ada koperasi, adakah mereka ini menjadi anggota koperasi sekolah dan berniaga dalam koperasi-koperasi tersebut kerana kalau sekolah kementerian, MARA hendak ambil alih, saya rasa ini kemungkinan sukar sedikitlah.

Jadi saya harap mendapat penjelasan daripada pihak menteri. Itulah, Tuan Pengerusi, terima kasih.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.