20 November 2008:
Ahli Parlimen Titiwangsa membahaskan peruntukam Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat pada 20 November 2008.
Teks penuh:
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya mengambil peluang ini untuk mendapat penjelasan tentang beberapa butiran. Pertama, adalah Butiran 090001 – Program Pembelian Ruang Niaga. Jadi kita telah lama atau familiar dengan Arked MARA yang telah memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil untuk meniaga terutama di pusat-pusat bandar.
Jadi, kita mahu tahu apakah perancangan kementerian untuk dari segi menaik taraf Arked-arked MARA ini supaya menjadi pusat peniagaan yang lebih besar dan lebih berkualiti ataupun berdaya maju berbanding dengan keadaan sekarang.
Kemudian, yang keduanya juga saya ingin bertanya sama ada kerajaan ataupun kementerian ada mempunyai perancangan dari segi penjaja-penjaja kecil terutama penjaja-penjaja yang menjual makanan kerana macam di Kuala Lumpur ini sendiri menjadi satu permasalahan yang besar penjaja-penjaja yang berselerak di seluruh Kuala Lumpur tanpa satu perancangan untuk memastikan mereka ini mendapat pembelaan. Mereka adalah peniaga-peniaga yang bermodal kecil dan mereka terpaksa meniaga dalam keadaan itu kerana mereka tidak ada kemampuan.
Jadi, apakah boleh saya di sini ataupun saya di sini saya ingin mencadangkan supaya konsep Arked MARA ini diperluaskan kepada penjaja-penjaja makanan di mana mungkin MARA membeli, kementerian membeli bangunan-bangunan kedai swasta kemudian ditempatkan penjaja-penjaja makanan ini supaya mereka ada tempat yang sesuai untuk berniaga, bekalan air bersih dan juga ada satu kumpulan ataupun konsortium di kalangan mereka sendiri untuk mengendalikan kalau boleh kita katakan food court centre ini. Jadi ini adalah cadangan saya.
Keduanya, Butiran 00614 – Bangunan Peniagaan. Seperti yang dikatakan sebahagian daripada Ahli-ahli Yang Berhormat di mana bangunan-bangunan perniagaan MARA ini tidak di senggara dengan baik. Sebagai contoh satu bangunan MARA di Jalan Gurney dalam kawasan Parlimen Titiwangsa. Sudah siap, keadaannya sangat cantik tetapi tiga tahun siap tidak ada lagi penghuni, tidak ada lagi aktiviti dan tidak ada satu perniagaan pun berjalan di sana.
Jadi, saya ingin mendapat penjelasan kenapakah perkara ini berlaku dan apakah agaknya sebenarnya perancangan pihak kementerian terhadap bangunan ini? Kemudian, seterusnya Butiran 09506 – Program Proud and Exit Policy. Saya agak baru mengetahui tentang program ini, saya ingin tahu apakah objektif program ini, siapakah kumpulan sasarannya dan setakat ini sudah sejauh mana perjalanan dan kejayaan pada program ini?
Kemudian, seterusnya Butiran 09509 – Program Kualiti Makanan. Adakah termasuk Program Kualiti Makanan ini untuk kita menggalakkan peniaga-peniaga, pengusaha-pengusaha mengeluarkan makanan-makanan ringan yang berkualiti tinggi. Meskipun mungkin makanan dalam bentuk makanan tradisional tetapi berkualiti tinggi.
Apa yang ada sekarang ini, adalah makanan-makanan sampah ataupun junk food yang begitu berleluasa yang dimakan oleh anak anak kita dijual di tepi-tepi sekolah walaupun ini di luar sikit daripada kementerian Yang Berhormat Menteri, tetapi saya kira perlu ada satu perancangan ataupun satu program untuk menggantikan junk food ini dengan makanan tradisional ataupun makanan yang berkualiti, yang murah dan mudah didapati.
Kemudian, yang terakhir saya ingin juga menyentuh tentang dana TEKUN ini. Ramai telah menyentuh tentang dana TEKUN, saya juga mengambil kesempatan ini bahawa dana ini memang memberi manfaat kepada rakyat. Tetapi apa yang menjadi masalah seperti telah dibangkitkan beberapa orang sahabat saya daripada Pakatan Rakyat dan juga yang terbaru mungkin daripada Yang Berhormat Pendang mengatakan sebelum hendak mengambil borang pinjaman TEKUN ini kena isi borang UMNO. Ya, sering kali juga dinafikan oleh pihak Menteri tetapi sekiranya berlaku dan sebenarnya telah berlaku dan pada masa akan datang kalau sekiranya berlaku, apakah tindakan yang perlu dibuat oleh mereka yang ingin memohon dana TEKUN ini?
Siapakah yang mesti mereka hubungi untuk mengadukan, apakah nombor hotline dan sebagainya. Jadi saya rasa setakat itu sahaja, terima kasih Tuan Pengerusi.
Difailkan dalam: ADR Titiwangsa, Dewan Rakyat, Ucapan
