20 November 2008:
Ahli Parlimen Gombak membahaskan peruntukam Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat pada 20 November 2008.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin merujuk dalam perbahasan di peringkat Jawatankuasa ini Butiran 010100 -Pentadbiran dan juga 09001 – Pembelian Ruang Niaga. Tuan Pengerusi, satu ketika dahulu UDA merupakan salah satu agensi yang diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Pada tahun 1971, UDA ditubuhkan dan memberi tumpuan untuk pelaburan dan juga pembangunan hartanah dan memberikan fokus yang utama terhadap perancang bandar. Pada tahun 1999, UDA disenaraikan di Bursa Saham Malaysia. Saya hendak tumpukan kepada satu perkara yang menimbulkan kebimbangan saya tentang apakah kedudukan UDA pada hari ini?
Setelah disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia pada tahun 1999 dan bertukar wajah menjadi UDA Holdings Sdn. Bhd., tumpuan saya ialah ingin mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri tentang peranan yang dimainkan oleh UDA dalam membentuk usahawan. Apakah tumpuan UDA pada hari ini masih lagi terhadap pelaburan dan pembangunan hartanah?
Tuan Pengerusi saya bangkitkan perkara ini kerana dalam tempoh dua bulan pada tahun ini semenjak Ogos 2008 sehingga Oktober 2008. Sejumlah lebih daripada RM500 ribu dibelanjakan oleh UDA bukan untuk pembangunan usahawan tetapi yang membimbangkan saya ianya menjurus kepada gerak kerja dan aktiviti UMNO itu sendiri. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri…
Seorang Ahli: Menyampuk.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Nanti saya belum habis lagi saya ada dokumen dengan saya. Apakah perbelanjaan yang melebihi RM500 ribu ini, saya bukan buat tuduhan saya ingin penjelasan, ada kaitan dengan pemilihan UMNO dalam bulan Mac 2009 atau ianya bertujuan selain daripada apa yang ingin saya bangkitkan.
Sebagai contoh Tuan Pengerusi pada 26 Ogos 2008 borang pembayaran nombor C000488 dibayar kepada Program Aidilfitri Parlimen Tanjong Karang sejumlah RM350,000. Itu yang pertama, borang pembayaran nombor C001770 bertarikh 9 Oktober 2008 pembayaran untuk Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri MECD sejumlah RM78,000.
Ketiga borang pembayaran C00050 bertarikh 23 Ogos 2008 dibayar kepada GPMS sejumlah RM150,000. Ini di antara dokumen bukti sahih yang dapat saya kemukakan sudah pun mencecah angka lebih setengah juta ringgit yang dikeluarkan oleh UDA Holdings Berhad. Saya tidak nampak perbelanjaan yang begitu besar untuk membantu pembangunan usahawan dalam negara kita.
Sebab itu mungkin Yang Berhormat Menteri tidak sedar perkara ini berlaku dan saya kira Dewan ini bertanggungjawab untuk mendapat penjelasan bagaimana perbelanjaan yang agak besar disalurkan kepada gerak kerja dan aktiviti yang lebih kepada bersifat politik UMNO dan Barisan Nasional.
Yang kedua Yang Berhormat Tuan Pengerusi tentang butiran yang saya sebutkan tadi 09001. Ramai peniaga-peniaga bumiputera yang telah menyewa ruang niaga ataupun kompleks termasuk Kompleks Pertama Jalan Tuanku Abdul Rahman dalam satu tempoh yang agak lama sudah 30 tahun. Mereka dikehendaki menyewa ruang-ruang tersebut untuk menjalankan perniagaan bagi membantu usahawan bumiputera dalam bidang-bidang yang tertentu.
Malangnya setelah 30 tahun mereka menyewa ruang-ruang niaga tersebut termasuk di Kompleks Pertama, mereka merasa agak kecewa kerana pihak kementerian khususnya UDA tidak membenarkan mereka untuk memiliki ataupun membeli ruang niaga berkenaan.
Maka saya ingin memohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, apakah perancangan kementerian untuk memastikan golongan usahawan bumiputera ini yang telah menyewa ruang-ruang niaga agak lama dan mampu untuk berdikari dan memiliki ruang-ruang perniagaan ini dapat diberikan kelonggaran bagi mereka membeli unit-unit yang berkenaan. Terima kasih Tuan Pengerusi.
Sesi Penggulungan oleh Menteri
Ahli Parlimen Gombak mencelah penggulungan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri. Saya menyambut baiklah jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri dan saya pun tidak berhasrat untuk berburuk sangka. Cuma saya pohon penjelasan ini.
Yang Berhormat Menteri mulakan tadi dengan soal peruntukan RM150,000 itu keperluannya untuk zakat. Kalau itu keperluannya, saya tidak bangkitkan. Sebenarnya saya ada satu lagi borang pembayaran memang khusus untuk sumbangkan zakat yang dikeluarkan oleh UDA. Akan tetapi saya tidak bangkitkan tadi. Nombornya C000508. Oleh kerana tujuannya untuk zakat, maka saya tidak mengambil pendirian untuk membangkitkan perkara ini dalam perbahasan tadi.
Akan tetapi yang saya bangkitkan tiga BP tadi ialah program dan aktiviti yang menjurus ke arah lebih kepada politik kepartian. Apa yang saya ingin tahu ialah apakah hubungan UDA Holdings dengan gerak kerja yang telah saya bangkitkan di awal tadi. Memang sumbangan zakat ialah RM150,000. Itu BP yang lain. Akan tetapi tiga BP yang saya bangkitkan tadi bukan ada kaitan dengan zakat.
Yang kedua soal ruang niaga di Kompleks Pertama, Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat Menteri nyatakan tentang exit policy tadi. Cuma kalau saya boleh berikan sedikit pandangan dan bantuan kepada kementerian. Kalaupun seseorang peniaga itu telah sewa lama iaitu 30 tahun ditapak dan bangunan yang sama, bagi saya kita harus ambil sikap yang positif.
Bermakna dia punya ketaatan kepada UDA itu tidak berbelah bagi untuk membantu usahawan yang berkenaan. Kita boleh tangani masalah kalau yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Menteri takut terlepas tangan kepada bukan bumiputera, apakah mungkin kementerian boleh mencadangkan supaya UDA menjual unit itu kepada usahawan bumiputera dengan bersyarat.
Maknanya kalau mereka ingin menjual kepada orang lain, ia mestilah kepada bumiputera juga. Terima kasih.
Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Terima kasih Yang Berhormat. Apa Yang Berhormat cadangkan itu sebenarnya memang kita sudah bincang. Kita sudah bincang supaya kalau hendak jual mesti kepada bumiputera.
Akan tetapi bila kita lihat konsep shopping complex dia ada bangunan-bangunan yang lain kita boleh jual macam kedai. Ini dalam shopping complex. Kita dapati memang kebanyakan shopping complex dia tak jual. Dia hanya sewakan. Katalah kalau kita hendak buat contoh macam Kompleks Pertama, kalau Yang Berhormat pergi tengok sempit depan itu. Bila sudah jadi hak dia bangunan besar itu kita punya, tetapi ruangan-ruangan dalam itu kita sudah jual dengan orang.
Jadi kalau kita hendak buat sesuatu peraturan, sesuatu promosi kita sudah tak boleh usik ruangan dia. Kita kata kalau hendak jual kiosk mesti menggunakan syarat-syarat tertentu, tapi dia kata UDA tak boleh kacau. Ini sudah kedai dia.
Jadi sebab itu yang sudah lepas kita biarkan, tetapi yang akan datang ini kita kena ikut bagaimana cara shopping complex buat. Kalau kita sewa maka mudah untuk pengurusan UDA sebagai contoh pengurusan MARA kah untuk kita membuat apa-apa juga promosi, apa-apa juga ubahsuai, rebranding, dan make up whateverlah yang kita hendak buat.
Sebab itu pandangan Yang Berhormat itu memang betul. Memang kita ada bincang, tetapi kita juga bersetuju kalau Yang Berhormat sendiri pergi tengok kedai yang disewa 30 tahun begitulah keadaannya. Sejak saya jadi Pegawai Pembangunan MARA sampai sekarang begitulah kedainya tak ada perubahan langsung. Jadi sekarang ini kita telah pun buat dasar yang baru. Kita minta dia boleh sewa lama dan dia boleh cantikkan kedai dia. Dia boleh buat renovation untuk menarik minat biar macam-macam, tetapi UDA akan kecualikan sewanya.
Kalau kata dia keluarkan RM10,000 untuk dia buat kedainya cantik balik supaya bersaing dengan kedai-kedai yang lain, maka RM10,000 itu boleh dikecualikan. Dianggap sebagai telah pun membayar sewa. Ini kita hendak bagi galakan supaya mereka bersaing.
Sewaktu saya berdialog dengan mereka, kalau kita ambil contoh macam peneroka asal di FELDA. Bagaimana perasaan kita bila kita tengok di FELDA peneroka asal ada yang sudah buat rumah batu, ada buat banglo sudah, tetapi ada juga peneroka yang masih lagi gunakan rumah yang lama. Itulah teknologi yang kita hendak buat bagaimana cara bumiputera berniaga di Kompleks Pertama kalau dibandingkan dengan peniaga-peniaga yang bukan bumiputera yang telah membeli sendiri.
Tuan Pengerusi, saya tak nafikan bahawa pengurusan UDA memang agak lemah. Memang lampunya tak ada. Kalau pergi food court saya sendiri tengok tikus besar daripada kucing pun ada, memang kotor, memang tidak tersusun. Jadi sebab itu UDA, kita telah minta supaya dibetulkan balik dan dalam perbincangan UDA food court itu telah pun mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya untuk dibuatkan satu food court, kalau tak silap saya empat tingkat hendak dibuat baru.
Jadi sebab itu UDA bagi alasan, dia kata dia tidak mengeluarkan modal yang banyak untuk menaik taraf food court yang ada, kerana mereka akan membuat food court yang baru dan mereka akan susun balik. Ini kalau kita pergi Kompleks Pertama untuk makan, tingkat tiga ada tempat makan, tingkat satu pun tempat makan semua tempat ada makan. Jadi ini akan disusun balik dan terima kasih pandangan Yang Berhormat mengenai dakwaan Yang Berhormat kata, ini pun perkara baru ini.
Saya berterima kasih, sebab itu saya berharap Yang Berhormat bagi balik itu kepada saya, saya akan tengok dan saya pun terkejut bila Yang Berhormat kata syarikat lain, kebajikan lain. Ini di luar pengetahuan saya. Kalau mereka bayar di luar pengetahuan sayalah.
Kemudian mengenai premis perniagaan yang banyak dibangkit oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain. Memang kita akui bahawa premis-premis perniagaan MARA, arked-arked MARA yang dibangkitkan memang agak ketinggalan dan dalam perangkaan kita ada 1,000 lebih kosong, kerana itu MARA telah pun menubuhkan jawatankuasa premis mereka untuk kita memastikan bahawa premis-premis MARA ini tidak ketinggalan.
Kalau kata banyak yang kosong, mengapa kosong. Kajian mesti dibuat. Sebab itu kita juga telah pun minta supaya kadar sewa premis perniagaan ini boleh diluluskan di peringkat negeri sahaja. Ini untuk memudahkan kerana bila kita tanya dengan PUNB, dengan peniaga dia kata sewa mahal, sebab itu dia tidak mampu untuk bertahan, dia keluar. Kosong tak ada orang meniaga.
Selama ini kelulusan untuk menurunkan sewa dibawa kepada ibu pejabat. Sekarang ini kita kata cukup di peringkat negeri sahaja dan kalau kadar sewa itu patut diturun, mesti diturunkan. Yang kedua kita juga minta supaya mana-mana premis perniagaan kalau sudah macam tertinggal, saya turun sendiri di Bukit Mertajam saya tahu dan beberapa tempat yang disebut tadi memang kita akui.
Difailkan dalam: ADR Gombak, Dewan Rakyat, Ucapan
