MP PAS Bachok: Kes buli memberikan imej yang buruk kepada sistem pendidikan …

3 Mac 2009 – Sesi soalan jawab lisan

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Sekolah tambahan saya ada dua aspek iaitu aspek prasarana dan juga pengisian.

Saya ingin tahu dari segi prasarana ini apa yang telah dibuat untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan kepada sekolah-sekolah harian ini kerana kita ada menerima semacam kompelin daripada guru-guru tentang purata pelajar di dalam sebuah bilik darjah, katanya ada yang sampai 40 orang. Suasana yang tidak kondusif untuk kita melahirkan pelajar-pelajar yang
dapat belajar dalam suasana yang ceria dan sebagainya.

Aspek kedua soalan saya ialah berkaitan dengan pengisian. Mutakhir ini semakin banyak kita lihat kes-kes buli. Yang terakhir dalam laporan media hari ini ialah di Kuantan. Kes yang berlaku di Sarawak pun masih belum selesai dibuat siasatan, berlaku pula di Kuantan dan tidak pelik akan berlaku lagi kes yang serupa itu.

Apa tindakan kerajaan untuk menghadapi ataupun menangani isu yang semakin serius ini kerana kita lihat ianya memberikan imej yang cukup buruk kepada kaedah sistem pendidikan kita dan juga pembentukan masa depan anakanak kita di sekolah. Terima kasih.

Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Terima kasih Yang Berhormat dari Bachok. Pertamanya saya hendak mengingatkan semua di dalam Dewan yang mulia ini, jumlah pelajar yang berada di bawah jagaan Kementerian Pelajaran melebihi 5 juta pelajar dan bukan semuanya merupakan buli ataupun terlibat dengan kes tidak berdisiplin. Isu kita berhubung kait
dengan disiplin pelajar dan guru juga merupakan satu perkara yang perlu kita terus tanganinya dan tidak ada noktah dan tidak ada penyelesaian yang muktamad.

Dalam hal ini satu jawatankuasa khas yang saya wujudkan dua tahun dahulu melihat khusus kepada isu ini sedang dan telah pun diinstitusikan di dalam kementerian kita supaya bila wujud kes-kes seperti ini, ianya dapat disiasat, dikaji, diteliti kerana semua orang tahu bahawa saya dalam hal kes-kes disiplin ini tidak kompromi langsung, tetapi ianya harus disiasat secara
adil supaya tidak ada mana-mana pihak yang dianiayai dalam siasatan yang dibuat untuk keskes tertentu.

Berhubung kait dengan prasarana sekolah pula, seperti Yang Berhormat tahu PIPP kita mempunyai dua pendekatan. Satu, pendekatan ialah untuk melonjakkan sekolah-sekolah yang sudah pun cemerlang kepada tahap yang lebih tinggi seperti sekolah kluster, sekolah bestari dan sekolah khas tadi, tetapi pada masa yang sama usaha kita untuk menyamaratakan padang dan akses pendidikan kepada semua merupakan pendekatan yang paling utama kerana dalam kita hendak melonjakkan beberapa sekolah yang sudah pun cemerlang, sekolah-sekolah yang tidak mempunyai air, api, kemudahan asas dan perlu dinaik taraf, saya harap dapat kita selesaikan sebanyak mungkin menjelang tahun 2010 iaitu akhirnya tempoh PIPP kita. Itulah harapan saya tetapi kekangan kita hari ini ialah kesan daripada krisis ekonomi dunia sedikit sebanyak
tempiasnya akan juga dirasai oleh kita dan itu akan perlu diambil kira dalam kita memberi keutamaan atau reprioritize, dengan izin, pendekatan kita di bawah PIPP, insya-Allah.

Soalan asal No. 1 – Dato’ Dr. Mohamad Shahrum bin Osman [ Lipis ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan sejauh mana ciri-ciri sekolah menengah harian perlu dinaik taraf menyamai sekolah berasrama penuh bagi membolehkan lebih ramai pelajar mengikut pembelajaran yang lebih bermutu di peringkat menengah.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.