12 Mac 2009 – Sesi soalan jawab lisan
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri yang sudi menjawab soalan dari Parit Buntar.
Saya timbulkan soalan tambahan saya ialah oleh kerana disebut secara terang bahawa kontrak sosial tadi tidak dizahirkan dalam bentuk Perlembagaan kecuali apa yang ada ialah kandungannya. Apa yang saya ingin tambahkan soalan untuk diminta penjelasan ialah oleh kerana keadaan itu tidak dizahirkan, maka berlaku satu persepsi bahawa kontrak sosial itu tidak binding atau tidak diikat.
Ia hanyalah satu fakta sejarah yang telah berlaku dan terkandung dalam Perlembagaan. Saya timbulkan soalan ini sebagai minta penjelasan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan saya ialah ada pihak-pihak tertentu yang menggunakan istilah ini dengan fahaman yang kabur lalu menjustifikasikan tindakan-tindakan politik perkauman yang sempit, sehingga menimbulkan ketegangan kaum dengan kenyataan-kenyataan dan dengan perkaraperkara yang boleh menjejaskan perpaduan kaum lalu menggunakan istilah kontrak sosial.
Saya pun tidak faham, apakah kontrak sosial itu bermakna boleh justifikasi kita hendak menyerang mana-mana kaum yang lain dengan ucapan-ucapan yang provokasi seperti mana yang pernah ditimbulkan dalam salah satu perhimpunan agung sebuah parti politik Melayu yang besar ini. Mereka telah menyebut kata-kata yang boleh menjejaskan perhubungan kaum dan apa tindakan atau apa stand bagi memastikan bahawa orang-orang ini tidak boleh dengan senang mengucapkan kata-kata perkauman lalu…
Beberapa Ahli: Kita Melayu. Hoi, kita Melayu!
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Apa? Apa ini? [Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, jangan panjang Ahli Yang Berhormat. Jangan panjang soalan tambahan.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Saya tidak memanjangkan.
Tuan Yang di-Pertua: Baru pagi tadi saya ingatkan.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Tuan Yang di-Pertua, mereka mengganggu ucapan saya.
Tuan Yang di-Pertua: Biasalah itu, Yang Berhormat. [Dewan riuh]
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Soalan saya…
Seorang Ahli: Bodoh! Buat ucapan itu yang orang ganggu.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Saya dengar ada orang kata “bodoh” tadi. Tolong bangun. Bangun.
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Saya minta bangun, bangun.
Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat. Tolong, Ahli Yang Berhormat kemukakan soalan.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Tidak. Dia mengucapkan “bodoh” kepada saya. Saya minta bangun siapa yang bercakap kalau anak jantan. Berani, sekarang bangun! [Dewan riuh]
Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Saya bukan Melayukah?
Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat.
Dato’ Haji Lilah Yasin [Jempol]: Mana ada kuasa dia, Tuan Yang di-Pertua. Tidak ada kuasa dia ini.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, sila teruskan, sila teruskan.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Soalan saya senang. Mengapa terasa? Saya kata parti politik yang bercakap. Saya tidak sebut mana-mana parti politik.
Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat, duduk dulu Yang Berhormat.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Jadi saya minta penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri bagaimana keadaan ini boleh diselesaikan supaya tidak timbul…
Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat. Okey, duduk dulu Yang Berhormat.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Pengecut. Siapa kata bodoh tadi jumpa saya dekat luar.
Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat, duduk dulu Yang Berhormat Parit Buntar, duduk dulu. Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat!
Semua Ahli: Ya!
Tuan Yang di-Pertua: Sudah hampir setahun kita bersidang. Kadang-kadang ada perkataan-perkataan yang langsung tidak diterima oleh akal fikiran saya tetapi saya kena bersabar. Kadang-kadang saya bagi laluan begitu sahaja. Oleh kerana membenarkan perbahasan berjalan dengan licin.
Namun, apabila berlaku seperti apa yang berlaku tadi, itu makanya saya kadang-kadang bersikap strict. Akan tetapi saya kadang-kadang dituduh bercakap banyak. Konon Speaker yang paling banyak bercakap, tetapi ingatkan kepada diri sendiri itu bahawa tanggungjawab Speaker bukan sahaja memastikan bahawa perbahasan berjalan dengan lancar, tetapi menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat juga. Jadi janganlah mengeluarkan hujah yang akan mengundang reaksi negatif.
Jangan! Lain kali Ahli-ahli Yang Berhormat, saya tegaskan di sini saya tidak bagi warning lagi satu, dua atau tiga. Siapa yang mengeluarkan hujah yang melanggar peraturan mesyuarat, terus, lantas saya akan arah untuk keluar. Ingat? [Tepuk]
Datuk Siringan Gubat [Ranau]: Enamlah itu, Tuan Yang di-Pertua. Enam.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Ranau, saya mahu Yang Berhormat Ranau keluar sekarang ini selama sampai pukul 2.30 petang Yang Berhormat Ranau, keluar.
Datuk Siringan Gubat [Ranau]: Boleh mohon maafkah, Tuan Yang di-Pertua? [Dewan riuh] [Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Ranau, keluar sampai pukul 2.30 petang.
Terima kasih. Terima kasih. Keluar. Balik pukul 2.30 petang.
Datuk Siringan Gubat [Ranau]: Terima kasihlah, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Datuk Siringan Gubat [Ranau]: [Keluar meninggalkan Dewan]
Tuan Yang di-Pertua: Ada lagi Ahli-ahli Yang Berhormat yang mahu berehat sekejap? [Ketawa] Cukup, Yang Berhormat Parit Buntar. Sila Yang Berhormat Timbalan Menteri jawab.
Tuan Teng Boon Soon: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, itulah sebabnya kerajaan banyak membelanjakan wang dan kementerian banyak berusaha mengadakan pelbagai program termasuk Kempen Berbudi Bahasa dan kita akan teruskan.
Nampaknya kempen ini perlu diteruskan dengan peringkat yang lebih kuat lagi. Untuk menjawab soalan Yang Berhormat Parit Buntar, sebenarnya kementerian merasa amat kesal kerana terdapat pihak-pihak yang tertentu termasuk ahli-ahli politik yang mempermainkan isu kontrak sosial kerana agenda politik tertentu.
Akan tetapi padahalnya, kontrak sosial itu memang wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan. Pemimpin-pemimpin dari Parti Perikatan pada masa itu termasuk UMNO, MCA dan MIC telah duduk bersama membincangkan tentang kontrak sosial ini dan ini adalah dalam sejarah negara. Ia juga telah menjadi asas kita menggubal Perlembagaan Persekutuan yang kita sama-sama mengamalkan pada hari ini. Untuk memastikan pemimpin-pemimpin akar umbi dan rakyat jelata benar-benar memahami kontrak sosial ataupun prinsip Perlembagaan Persekutuan, kementerian ini sudah mengadakan Program Ceramah Kenegaraan mengenai Perlembagaan Persekutuan mulai tahun ini. Tiga tempat program ini telah diadakan iaitu di Perlis, Kedah dan Penang. Perlis pada 6 Mac, Kedah pada 7 Mac dan Penang pada 8 Mac. Penceramahnya ialah seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan yang paling berpengalaman iaitu Yang Berbahagia Datuk Mohd. Nor Abdullah.
Kumpulan sasaran untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini, iaitu termasuk semua ketua jabatan kerajaan di peringkat negeri dan juga pemimpin-pemimpin NGO termasuk pemimpin-pemimpin belia dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat termasuk rukun tetangga, JKKK, persatuan-persatuan penduduk, pemimpin-pemimpin agama dan akhir sekali pemimpin pemimpin pelajar sekolah menengah. Jadi, kementerian ini berharap dengan usaha tambahan ini untuk menjelaskan konsep kontrak sosial akan membantu rakyat kita memahami tentang latar belakang sejarah kontrak sosial itu dan juga prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan. Terima kasih.
Soalan asal No. 14 – Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyatakan apakah pentakrifan kontrak sosial serta bagaimanakah ia dizahirkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan apakah usaha memastikan mana-mana pihak tidak menggunakan isu ini bagi menjelaskan keharmonian hubungan rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan [Tuan Teng Boon Soon]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan tahun 1957, tetapi dari perspektif lain kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.
Seiring dengan kehendak tersebut kesemua pemimpin yang mewakili kaum-kaum di Malaya pada waktu itu telah berbincang untuk mencapai persetujuan bersama bagi membentuk masyarakat yang bermuafakat dalam negara yang berbilang kaum ini. Rundingan antara pemimpin ini dilihat sebagai kontrak sosial yang kemudiannya melahirkan Perlembagaan sebagai asas kepada kemerdekaan Malaya pada waktu tersebut. Hasil rundingan ini telah wujud beberapa perkara yang telah dipersetujui bersama. Perkara-perkara tersebut adalah hal-hal yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu, kewarganegaraan, bahasa, agama, dan Institusi Raja-Raja.
Kontrak sosial juga dirujuk sebagai racial bargaining ataupun gentlemen agreement dengan izin di mana ia hanyalah bersifat tidak bertulis. Kontrak sosial ini juga tidak dizahirkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini disebabkan kerana ia hanyalah sekadar rundingan dan permuafakatan. Justeru itu, kontrak sosial dapat dilihat sebagai rundingan yang lebih bertujuan untuk mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni.
Dalam usaha mengekalkan perpaduan dan integrasi nasional serta mewujudkan satu negara yang stabil dan harmoni Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukunegara telah dijadikan dokumen rujukan perbincangan demi perpaduan rakyat Malaysia. Bagi memastikan mana-mana pihak tidak menggunakan isu ini bagi menjejaskan keharmonian hubungan rakyat di negara ini. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melalui agensinya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah berusaha mewujudkan Pendidikan Perlembagaan melalui Kelab Rukunegara di mana sasarannya adalah lebih ke arah generasi muda dan ia telah ditubuhkan di IPT dan sekolah-sekolah rendah serta menengah di seluruh Malaysia. Sehingga kini telah wujud 10 Kelab Rukunegara di IPTA, IPTS dan 1,180 Kelab Rukunegara di sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.
Melalui penubuhan Kelab Rukun Negara di IPTA dan IPTS serta sekolah-sekolah secara tidak langsung dapat menyedarkan generasi muda mengenai prinsip-prinsip Rukunegara serta dapat mewujudkan keharmonian hubungan rakyat Malaysia. Dapat disimpulkan di sini bahawa tiada takrifan yang khusus mengenai kontrak sosial. Kontrak sosial hanyalah sekadar rundingan dan permuafakatan bagi membentuk masyarakat yang bermuafakat dalam negara yang berbilang kaum di negara ini.
Istilah ini tidak dizahirkan atau ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan tapi padahalnya kandungan sosial kontrak telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Misalnya fasal 152 mengenai bahasa, fasal 153 mengenai kedudukan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, fasal 3 mengenai agama bagi persekutuan, fasal berkaitan Institusi Raja juga termaktub dalam persekutuan dan juga fasal 14, 15, dan 16 mengenai kerakyatan. Sekian, terima kasih.
Difailkan dalam: ADR Parit Buntar
