18 Mac 2009 – Sesi soalan jawab lisan
6. Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah rasional penubuhan Syarikat Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab dalam pelaburan luar negara yang dijalankan FELDA, disebutkan aktiviti atau jenis pelaburannya, prospek pelaburan dan implikasi kewangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato' Haji Hasan bin Malek]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat Machang, Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. ataupun pendeknya FGVH telah ditubuhkan pada 19 Disember 2007 bertujuan menguruskan pelaburan FELDA di luar negara dan melancarkan urusan pentadbiran, operasi serta pematuhan kepada keperluan perundangan.
Di samping itu juga, FGVH ditubuhkan untuk mengurangkan pendedahan FELDA terhadap sebarang risiko tuntutan perundangan dengan memberikan satu lapisan perlindungan tambahan daripada terdedah kepada liabiliti perundangan secara langsung.
FGVH mempunyai tiga buah anak syarikat yang menguruskan pelaburan-pelaburan FELDA di luar negara iaitu:
(i) Felda Global Ventures North Amerika Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat induk bagi pelaburan di dalam kumpulan Twin Reverse Technologies ataupun TRT di Amerika Utara. Yang terlibat dalam pemprosesan fatty acid dan gliserin di Quincy dan pengeluaran bio
diesel, olestra, sefose dan Omega-3 di Cincinnati iaitu di Amerika.
Seorang Ahli: [Menyampuk]
Dato’ Haji Hasan bin Malek: Cincinnati. Di samping itu, TRT juga terlibat dalam pembinaan kilang memproses oil seed crushing dan penapisan minyak sayuran di Bécancour, Quebec, Kanada.
(ii) Felda Global Ventures Indonesia Sdn. Bhd. yang ditubuhkan untuk melaksanakan pelaburan di dalam bidang perladangan kelapa sawit dan aktiviti yang bersesuaian di Indonesia; dan
(iii) Felda Global Ventures Middle East Sdn. Bhd. yang ditubuhkan untuk melaksanakan pelaburan FELDA di Timur Tengah termasuk pajakan bertanah di Arab Saudi.
Secara keseluruhannya, pelaburan luar negara yang sedang dilaksanakan oleh FELDA melalui FGVH ini merupakan pelaburan jangka panjang. Terima kasih.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih jawapan sahabat saya, Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya sempat meneliti laporan tahunan FELDA berhubung dengan Felda Global Ventures yang melibatkan aspek pengambilalihan syarikat-syarikat di negara yang disebut oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi.
Saya dapati bahawa tanggungan liabilitinya jauh lebih besar daripada aset. Bagaimanakah masalah ini hendak diatasi walaupun ia merupakan asas pelaburan jangka panjang?
Pada masa yang sama, saya juga mohon jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk memberikan kepada Dewan rasional kenapakah Felda Holding membuat keputusan untuk menjual dua daripada tujuh kilang tapisan minyak sawitnya kepada Syarikat Alana Group, Mumbai India.
Pada masa yang sama juga syarikat ini menikmati diskaun belian minyak sawit mentah sebanyak USD20 per metrik tan sedangkan FELDA ada dia punya anak syarikat sendiri iaitu Felda Vegetable Oil Product yang cuma diberi subsidi sebanyak RM20 per metrik tan. Dua komponen itu mohon jawapan.
Dato’ Haji Hasan bin Malek: Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Machang. Sukacita saya maklumkan bahawa yang pertama saya hendak sebutkan FELDA ini telah melebarkan sayapnya ke peringkat global ini oleh kerana untuk mempelbagaikan aktivitinya di mana dalam negara kita telah berada dalam keadaan mantap lalu kita keluar ke luar negara.
Pengambilalihan ini adalah bagi membolehkan FELDA terlibat dalam pembangunan minyak sawit seperti oleokimia, bahan asli dan pemakan selain daripada bio diesel. Selain itu juga, pengambilalihan ini merupakan usaha baru FELDA untuk mempelbagaikan aktiviti di peringkat global apatah lagi FELDA adalah pengeluar utama kelapa sawit negara.
Jadi melalui cara ini, hasil sawit FELDA dapat menyusuk masuk ke segenap barang penggunaan ataupun consumer product seperti dalam bidang pemakanan, kosmetik, perubatan, getah dan tekstil. Ini secara umumnya. Oleh kerana itu, disebut tadi soal liabiliti dan sebagainya.
Ini saya ingat ia merupakan satu soalan yang cukup spesifik yang melibatkan angka angka dan sebagainya. Untuk tujuan ini, saya perlukan masa sedikit untuk jawab dan saya akan beri maklumat ini kepada sahabat saya Yang Berhormat Machang.
Yakinlah bahawa apa saja pelaburan yang kita buat baik dalam negara apatah lagi di luar negara yang bersifat global ini dengan jaguh-jaguh besar seperti di TRT di Amerika ini. Kita berkeyakinan bahawa pelaburan yang kita buat ini insya-Allah akan memberikan pulangan yang sangat baik.
Kira-kira penyata kewangannya pun pada waktu ini sedang diaudit dan oleh kerana itu, saya tidak dapat berhasrat untuk mengeluarkan secara detail hasil daripada pengauditan ini.
Ini pun sahabat saya daripada Machang boleh saya berikan sebab kita telus. Apa yang pentingnya pelabur yang kita buat ini, kita buat setelah beberapa kajian atau pun market survey dan sebagainya yang kita buat dan kita yakin ia membawa keuntungan kepada FELDA. Satu lagi memang baguslah, kalau tidak bagus apa guna kita pergi ke luar negara.
Jadi, soal yang satu tadi berkenaan Mumbai, ini di luar pengetahuan saya Yang Berhormat. Saya minta maaf kerana ini merupakan satu perkara yang baru dan juga merupakan satu soalan yang cukup spesifik. Ini pun saya minta izin akan saya beri jawapannya kepada Yang Berhormat dalam keadaan yang cukup tertib, dalam bentuk tulisan. Terima kasih Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tahniah! Tahniah!
Difailkan dalam: ADR Machang
