MP PAS Padang Terap minta Isu Selatan Thai dibincang Dewan Rakyat

Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) ketika membentangkan usul itu berkata, insiden pembunuhan kejam 11 penduduk Islam yang sedang menunaikan solat Isyak di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, wilayah Narathiwat pada 9 Jun lalu adalah sesuatu yang mengejutkan.

”Ini adalah kali pertama tragedi yang melibatkan pembunuhan terhadap orang yang sedang bersolat berlaku. Ia tidak selaras dengan ajaran Islam yang melarang perbuatan membunuh ahli rumah ibadat.

”Islam juga menegah perbuatan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan mereka yang tidak terlibat di dalam peperangan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Nasir mencadangkan supaya Malaysia mengambil inisiatif memanggil satu sidang khas ASEAN dengan segera bagi membincangkan pergolakan berkenaan.

”Malaysia juga perlu mendesak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya mengiktirafnya sebagai orang tengah bagi membantu menyelesaikan masalah selatan Thailand,” katanya.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) supaya sidang ditangguhkan bagi membolehkan isu pergolakan selatan Thailand dibincangkan.

Menurut beliau, walaupun isu itu merupakan perkara tertentu dan berkepentingan awam namun ia tidak perlu disegerakan.

Kata Pandikar Amin, sebagai negara jiran yang bersempadan dengan Thailand, Malaysia sentiasa bekerjasama dan mengambil langkah berterusan untuk membantu menyelesaikan masalah di selatan negara itu.

”Dengan yang demikian saya berpuas hati bahawa usul ini tidak perlu untuk disegerakan. Oleh itu, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tinggalkan Jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.