Kementerian Pelancongan rancang program mengikut keunikan setiap negeri

PERTANYAAN JAWAB LISAN DIJAWAB BERTULIS BAGI SOALAN NO : 20
DARIPADA : DATO’ HAJI WAN ABD RAHIM BIN WAN ABDULLAH (KOTA BHARU)
TARIKH : 27 OKTOBER 2009

DATO’ HAJI WAN ABD RAHIM BIN WAN ABDULLAH (KOTA BHARU) Meminta MENTERI PELANCONGAN menyatakan: Apakah usaha-usaha yang telah dijalankan untuk menyelaraskan program-program pelancongan antara negeri-negeri.

JAWAPAN : Tuan Yang di-Pertua,

Program pelancongan negeri adalah amat penting dalam mempromosikan pelancongan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat antarabangsa. Oleh itu, Kementerian Pelancongan sentiasa berusaha di dalam menyelaraskan program-program pelancongan antara negeri-negeri supaya program-program tersebut dapat dijalankan mengikut jadual yang tidak bertindih, mengikut tema yang sesuai dan dapat dipromosikan di bawah Kempen Pelancongan “Cuti – Cuti 1 Malaysia” yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia. Sebagai contoh bagi menganjurkan acara yang mempunyai tema yang sama, iaitu Pesta Air Malaysia 2009, Kementerian Pelancongan menyelaraskan supaya acara di Negeri Johor diadakan pada bulan awal April 2009, di Langkawi, Kedah pada pertengahan April 2009, dan di Labuan pada awal bulan Mei 2009. Ini bertujuan supaya pelancong-pelancong yang berminat dengan program ini dapat menghadiri acara-acara tersebut di pelbagai destinasi di seluruh negara dalam waktu yang berbeza.

Begitu juga dengan program Citra Rasa, seperti Pesta Nasi Seratus (Kota Baharu), Pesta Makanan Negeri Melaka, Citra Rasa Kuala Lumpur dan Citra Rasa Miri di adakan di dalam waktu yang tidak bertindih di antara negeri – negeri. Bagi Festival LIMA 2009 (Langkawi) pula, Kementerian Pelancongan menyelaras supaya setiap negeri datang ke Langkawi untuk bersama-sama menjayakan acara ini dengan mempamerkan makanan dan kebudayaan negeri masing-masing.

Program ini dirancang dan diselaras sebegini demi mewujudkan kesedaran antara negeri tentang pentingnya keseragaman dan kualiti program yang ditonjolkan kepada pelancong. Jika penyelarasan seperti ini dapat dilaksanakan, perancangan dan promosi penjualan pakej lebih mudah dilaksanakan oleh agensi pelancongan. Sehubungan dengan itu, bagi tujuan penyelarasan, Kementerian Pelancongan menyediakan “Calender of Event” atau Kalendar Acara Pelancongan yang merangkumi semua acara pelancongan di peringkat negeri yang boleh dipromosikan dengan lebih berkesan.

Tuan Yang di-Pertua,
Usaha menyelaraskan program-program pelancongan antara negeri-negeri turut dilaksanakan melalui 10 ikon di setiap negeri yang mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza dengan negeri-negeri yang lain. Antaranya Gunung Ledang di Negeri Johor, Tree Top Walk di Kulim, Kedah dan Taiping Lake Garden di Negeri Perak.

Selain daripada itu, Kementerian Pelancongan Malaysia turut merancang dan melaksana acara-acara di peringkat negeri mengikut keunikan negeri-negeri berkenaan. Acara-acara di peringkat persekutuan juga turut melibatkan penyertaan wakil setiap negeri, selaras dengan usaha mempromosi dan memperkenalkan produk-produk pelancongan sedia ada di negeri-negeri tersebut. Antara acara-acara yang dirancang dan telah dilaksanakan pada tahun 2009 yang turut melibatkan penyertaan wakil-wakil negeri adalah:-

a. Water Festival pada Mac – Mei 2009
b. KL Sunday 1 Malaysia Family Fair mulai 25 Oktober sehingga 27 Disember 2009;
c. Bazar Ramadhan pada 22 Ogos 2009;
d. Jualan Mega (Mega Sale)
e. Fabulous Food Malaysia pada bulan Oktober, November dan Disember 2009;
f. Karnival Pelancongan Pelajar (3P) pada November 2009; dan
g. Tarian Cuti-cuti 1 Malaysia pada 6 Disember 2009.

Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pelancongan Malaysia melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia sentiasa melaksanakan peranan yang strategik dan teratur dalam menyelaraskan semua program-program pelancongan di antara negeri-negeri dari segi:
i) Membantu agensi pelancongan merancang pakej-pakej pelancongan di peringkat negeri
ii) Menyelaraskan aktiviti pemasaran dan promosi produk pelancongan negeri dengan menerbitkan brosur-brosur pelancongan dan ikon negeri
iii) Melaksanakan usaha publisiti untuk merangsang, memaju serta memasarkan produk-produk pelancongan baru dan sedia ada di negeri-negeri
iv) Meningkatkan Kesedaran (Awareness) program-program dan kempen pelancongan di peringkat kebangsaan dan negeri-negeri seperti:
– FAM Trip
– Travel Mart
v) Menyelaraskan (Coordination) program-program dan latihan di peringkat negeri juga turut diterajui oleh Kementerian Pelancongan seperti:

Program Homestay
Kementerian ini juga turut peka dan mengambil inisiatif dalam memajukan dan meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar di dalam industri pelancongan. Usaha ini telah diselaraskan di setiap negeri dan sehingga Ogos 2009, Kementerian Pelancongan Malaysia telah mendaftarkan sejumlah 140 buah homestay di seluruh negara dengan penglibatan 235 buah kampung. Dari jumlah ini, sebanyak 3,279 buah rumah homestay atau pengusaha telah menyertainya dengan menawarkan sebanyak 4,562 buah bilik. Program ini dilaksanakan di seluruh negara dan diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan dari segi pendaftaran, latihan dan promosi. Kementerian Pelancongan telah mewujudkan program homestay yang seimbang di setiap negeri bagi mencapai standard kebersihan serta pakej aktiviti yang dapat memenuhi kehendak para pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menjamin pengalaman pelancongan yang tidak dapat dilupakan. Modul latihan Kursus Asas Homestay adalah diwajibkan kepada semua homestay sebagai syarat pendaftaran. Kursuskursus lanjutan dan pembangunan keupayaan kini sedang dilaksanakan secara berfasa di peringkat negeri bagi meningkatkan keupayaan pengusaha homestay supaya menjadi micro entrepreneurs.

Kementerian Pelancongan juga turut menyelaraskan seminar tahunan dan lawatan integrasi di kalangan pengusaha homestay di seluruh negara supaya para pengusaha dapat berkongsi pengalaman serta amalan terbaik (best practices) yang dipraktikkan oleh pengusaha homestay yang berjaya. Seminar dan lawatan integrasi yang terdekat akan dilaksanakan pada 31 Oktober hingga 3 November 2009 di Homestay Lonek, Negeri Sembilan yang akan disertai oleh 90 orang pengusaha homestay di seluruh negara.

Program Homestay Twinning Program juga telah dilaksanakan sebagai langkah untuk meningkatkan kerjasama serta jambatan persahabatan (building bridges) di antara setiap negeri di Malaysia dengan negeri atau kawasan di negara asing yang turut mengusahakan produk homestay. Beberapa memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara pengusaha homestay setiap negeri dengan kawasan-kawasan di Korea dan Jepun bagi meningkatkan kerjasama promosi, penubuhan laman web serta pakej rombongan pelajar.

Projek Railway Tourism juga merupakan program pelancongan yang mempromosikan Homestay Malaysia yang meliputi beberapa buah negeri. Fasa pertama program ini melibatkan laluan yang bermula dari Singapura hingga ke Kelantan yang bertujuan untuk menggalakkan kedatangan pelancong dari Singapura ke homestay-homestay di Johor, Pahang dan Kelantan menerusi laluan kereta api tersebut. Fasa seterusnya akan melibatkan jalinan kereta api di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Latihan Di Bawah Program Malaysia Welcomes the World
Dari segi latihan pula, Kementerian Pelancongan menyelaras dan memastikan setiap negeri melaksanakan latihan yang efektif dan seimbang kepada frontliners, pengusaha homestay serta pekerja-pekeja yang berkait rapat dengan industri pelancongan. Menerusi program Malaysia Welcomes the World (MWW), kursus-kursus seperti Tourism English, Act Tourism, Eco Host dan Mesra Malaysia telah dan masih dilaksanakan diperingkat negeri sebagai usaha untuk memastikan penyampai perkhidmatan yang cemerlang dan memaparkan imej mesra di kalangan para pelancong di setiap negeri. Dari Januari hingga September 2009, seramai 13,783 orang yang terlibat dengan industri pelancongan telah dilatih dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta. Jumlah yang dilatih mengikut negeri adalah:

Kementerian juga turut mengadakan latihan dan usaha pembangunan keupayaan pengusaha homestay seperti menganjurkan Kursus Asas Homestay, Kursus ‘Homestay Enhancement Training Program’, Kursus Sijil Kemahiran Malaysia: Homestay Tahap 2, Program ‘Malaysia Welcomes The World’ termasuk Kursus Grooming dan Social Ettiquette, penyediaan dan kebersihan makanan dan pengurusan dan perakaunan, latihan refleksologi, serta kursus homestay di luar negara. Latihan-latihan seumpama ini dilihat dapat menjadikan homestay lebih kompetitif dan berdaya maju.

Program Pelancongan Pelajar (3P)
Program Pelancongan Pelajar atau 3P adalah program yang dikhaskan kepada para pelajar sekolah dan ia bertujuan untuk menyemai budaya melancong secara terancang di samping memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang industri pelancongan. Sekaligus ia menyemarakkan promosi pelancongan domestik apabila para pelajar digalakkan untuk melawat ke 10 ikon terpilih bagi setiap negeri. Pelajar juga didedahkan dengan konsep “Think Tourism” dan “Act Tourism”, serta penyelarasan aktiviti bersama Kementerian Pelajaran Malaysia dalam aktiviti seperti Kuiz Pelancongan Pelajar di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, lawatan sambil belajar, ceramah motovasi, seminar kerjaya dan sebagainya. Semua aktiviti yang dianjurkan adalah berkonsepkan 1 Malaysia dengan penglibatan pelajar berbilang kaum.

Dimasa yang sama ia juga membantu untuk “building bridges” bagi pelajar dari negeri-negeri yang berlainan. Sehingga kini sejumlah 670 buah kelab pelancongan pelajar telah didaftarkan di seluruh negara. Pada bulan November 2009, Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menganjurkan Karnival Pelancongan Pelajar di Terengganu dengan penglibatan wakil pelajar sekolah menengah dari setiap negeri.

Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pelancongan sentiasa komited dalam usaha menyelaraskan program-program pelancongan antara negeri-negeri bagi memastikan faedah daripada industri ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 4,527 other followers