Spekulasi kenaikan gaji dan Kenaikan Harga Barang

Oleh : Salahuddin Ayub, Ketua Whip PAS di Parlimen

Pengumuman spekulasi kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini telah meningkatkan harga barang. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini telah membenarkan kenaikan harga tepung sebanyak 15 sen.

Pihak Kementerian (KPDNHEP) memberikan jaminan akan mengawal kenaikan harga roti canai dan capati tetapi tiada jaminan bahawa saiz dan berat roti canai tidak akan dikurangkan. Kenaikan harga barangan lain seperti harga minyak sawit juga akan menjadi kenyataan.

Tidak lama dulu, kenaikan harga petrol sebanyak RM0.30 seliter telah pun menyebabkan kos pengangkutan meninggat dan kos harga barang juga meningkat. Kenaikan harga barang mentah ini akan mewujudkan untaian kenaikan lain-lain barangan. Kadar tarif air, elektrik dan tol juga telah dinaikkan dengan persetujuan oleh kerajaan.

Sumber Bernama (14/5/2007) pula menjelaskan bahawa harga barangan harian seperti sardin, nescafe dan milo serta lain-lain barangan asas telah naik antara 5-10%. Umpamanya, Milo tin bersaiz 1.5kg yang dicadangkan pengilang ialah RM22.75 berbanding RM21.50 sebelum 15 Mac lalu sementara bagi pek bersaiz 400gm naik dari RM6.06 kepada RM6.40. Susu tin jenama F&N jenis krimer manis 510gm naik 20 sen setin kepada RM2.40 sejak 1 April lalu sementara bagi Nescafe pek bersaiz 100gm naik 20 sen kepada RM6.70.

Pada masa yang sama, pihak pemerintah masih berdolak-dalik dalam mengemukakan alasan untuk tidak mendedahkan kandungan perjanjian konsesi tol dan perjanjian pengswastaan air meskipun telah didesak oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk oleh pihak TI. Tender pemberian kontrak kerajaan pula masih dibuat secara tertutup.  Kegiatan pemborong yang menyorok barang-barang tidak diambil tindakan. Dalam krisis gula tempohari, pihak kementerian nampaknya semacam dipermain-mainkan oleh pihak pemborong. Rakyat sendiri pun sudah muak dengan kegagalan kerajaan untuk membentuk suatu mekanisme berkesan bagi membendung kenaikan harga barangan ini. Momokan ’inflasi sifar’ yang pernah dilaung-laungkan dulu pun nampaknya sudah berkubur tanpa nesan.  Tuan Yang Dipertua,Saya dengan ini menyarankan sebagai suatu langkah jangka pendek suatu tribunal khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk ahli akademik, persatuan pengguna dan ahli parlimen diwujudkan bagi mengkaji, mengawal dan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga songsang.  

Sebagai suatu langkah jangka panjang, pihak pemerintah seharusnya bertindak bagi mewujudkan suatu kerajaan yang boleh berdikari (self-sustained government) dengan memberikan keutamaan kepada sektor makanan, perubatan dan barangan harian.

Kerajaan yang berdikari ini harus mampu menghasilkan barang makanan sendiri tanpa penggantungan kepada negara luar. Bagi membendung kenaikan harga barangan yang terpaksa diimpot seperti gandum dan kacang soya, seharusnya tribunal bebas itu membuat semakan setiap tahun untuk mengesan kos yang meningkat supaya suatu tindakan dapat dibuat bagi menyerapkan kos yang perlu berbanding kenaikan harga sekarang yang dibuat secara mendadak sehingga memberikan kesan kepada pengguna. 

Penubuhan sebuah GLC khusus bagi mengatasi masalah pemborong akan dapat mengatasi monopoli barangan dan sekaligus dapat mengatasi isu kenaikan harga barangan ini. Pemborong sedia ada sekarang ini hendaklah bernaung di bawah GLC ini dan dengan itu GLC dapat mengesan sebarang tindakan menyorok barang dan tindakan spekulator yang bertujuan untuk mendesak kerajaan menaikkan harga barang.

—————–

Ucapan Penangguhan yang dijadualkan pada jam 5.30 petang 21 Jun 2007

Proton kurangkan pengedar sehingga 250 menjelang 2008

Menurut Menteri Kewangan,  sehingga Jun 2007 Proton telah mengurang pengedarnya daripada 400 kepada 360 dan menjelang 2008 pengedarnya berjumlah 250.

“Pengurangan Pengedar proton dilakukan supaya pengedar yang masih beroperasi dapat berniaga dalam suasana yang lebih sihat,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato Kamarudin Jaffar (Tumpat) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Selain dari itu kerajaan melalui Proton menyediakan dana khas bagi program penyatuan pengedar Proton dan pengedar yang besetuju untuk menutup perniagaan mereka secara sukarela.

Bagi pengedar yang menutup secara sukarela, Proton akan memberi pampasan untuk atasi masalah jangka pendek akibat penutupan perniagaan mereka, kata Menteri Kewangan.

Dalam soalan asalnya Dato Kamarudin meminta Menteri Kewangan menyatakan sejauhmana keberkesanan langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah penjual kereta nasional yang mengalami risiko gulung tikar.

245 ribu gagal bayar pinjaman PTPN

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, Jumlah keseluruhan pemimjam PTPTN yang gagal menyelesaikan pinjaman mereka seperti yang sepatutnya adalah seramai 245,446 orang dengan jumlah tunggakan sejumlah RM916.77 juta.

“Daripada jumlah tersebut 78 peratus adalah berbangsa Melayu, 15 peratus Cina, 4 peratus India dan lain-lain 3 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Abdul Halim Ab Rahman (Pengkalan Chepa).

Manakala pegawai dan kakitangan PTPTN adalah 487 orang merangkumi 380 pegawai dan kakitangan tetap, Kakitangan kontrak (40) dan sementaar (67).

Dato’ Ab. Halim dalam soalannya meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah pegawai dan kakitangan PTPTN serta jumlah pemimjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka mengikut kaum sehingga kini.

Hutang Malaysia RM242.2 bilion pada 2006

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan mempunyai hutang dalam dan luar negara berjumlah RM242.2 bilion atau 44.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun lalu berbanding RM228.7 bilion atau 46.2 peratus pada 2005.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, RM217.2 bilion atau 89.7 peratus merupakan hutang dalam negara manakala RM25 bilion atau 10.3 peratus lagi adalah hutang luar negara.

Menurut beliau, kerajaan memastikan semua hutang itu diuruskan secara berhemat dan segala aspek mengenai paras keseluruhan hutang, struktur hutang dan obligasi melunaskan hutang oleh sektor awam dan swasta sentiasa dipantau.

‘‘Sumber hutang dari dalam negara diperoleh daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan institusi keselamatan sosial manakala hutang luar negara pula diperoleh daripada pasaran modal antarabangsa dan pengeluaran pinjaman projek daripada institusi multilateral dan bilateral,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat.

Salahuddin ingin mengetahui nilai sebenar hutang kerajaan dalam dan luar negara serta sumber hutang tersebut.

Perdana Menteri menambah, kerajaan telah membuat bayaran balik hutang dalam negara termasuk kadar faedah pada tahun lalu bernilai RM44.5 bilion iaitu 8.1 peratus daripada KDNK berbanding RM42.8 bilion atau 8.6 peratus pada 2005.

Bagi hutang luar negara pula, bayaran balik hutang adalah berjumlah RM31.3 bilion atau 5.7 peratus daripada KDNK pada 2006 berbanding RM32.8 bilion atau 6.6 peratus daripada KDNK pada 2005, kata beliau.