Soalan Jawab Lisan Ahli Parlimen PAS 25 Jun 2007

Soalan No. 32 – Tuan Haji Abdul Fatah Bin Haji Harun [ Rantau Panjang ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA menyatakan apakah tindakan ke atas pengilang dan pemborong yang enggan menjual minyak masak pada kadar tidak melebihi harga siling.

Soalan ke 35 – Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk menghalang beberapa syarikat yang strategik untuk keselamatan dan kepentingan negara serta syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) termasuk syarikat-syarikat yang dikuasai Permodalan Nasional Berhad (PNB) apabila dikuasai Synergy Drive dari dimilik peribadikan dan seterusnya berkemungkinan terlepas kepada kepentingan asing terutama Singapura.

Soalan ke 39 – Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [ Pendang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah fungsi Jawatankuasa Pemantau Peringkat Menteri Malaysia Singapura di dalam membangunkan WPI.

Soalan ke 44 – Dato’ Kamarudin Bin Jaffar [ Tumpat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah keperluan menubuhkan Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri (JMC) Malaysia-Singapura yang telah dipersetujui oleh kedua-dua Perdana Menteri untuk menasihati Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (LPWI).

Soalan ke 47 – Tuan Haji Ismail Bin Noh [ Pasir Mas ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah Kerajaan sedar bahawa banyak ajaran sesat tidak dapat / berjaya dipulihkan langkah susulan yang diambil oleh Kerajaan mengenai hal tersebut.

Kesemua soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen PAS secara lisan hari ini tidak akan sempat dijawab oleh kerajaan mungkin memandangkan masa yang diperuntukkan hanya satu setengah jam. Masa yang diperuntukkan untuk sesi soal jawab hanya sempat kerajaan menjawab 5 hingga 10 soalan sahaja.

Bagaimanapun Salahuddin Ayub hari ini akan mengemukakan satu usul tergempar di bawah Perturan Mesyuarat 18 yang membabitkan Isu Penganugerahan gelaran ‘Sir’ oleh Kerajaan British kepada Salman Rushdie.

Peraturan 18 Dewan Rakyat ini adalah mengenai perkara tertentu yang berkehendak disegerakan dan berkepentingan orangramai yang akan dinilai oleh Speaker Dewan Rakyat.

Kesemua soalan jawab lisan dan rang undang-undang yang akan dibahaskan pada hari ini (25 Jun 2007) boleh dilihat dalam aturan mesyuarat berikut.