Pesta Sukan Rakyat eratkan silaturrahim

Dalam kesibukan menghadiri sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini, Ahli Parlimen Rantau Panjang Abdul Fatah Harun sempat merasmikan Pesta Sukan Rakyat yang melibatkan 24 pasukan daripada tiga buah kampong di Pusat Tarbiyah Islamiyah Rantau Panjang.

Hampir 1,000 peserta yang melibat 24 pasukan dari DUN Meranti (10), DUN Gual Periok (9) dan DUN Bukit Tuku (4) telah memeriahkan Pesta Sukan Rakyat yang telah dimulakan pada sabtu lalu (23 Jun) sehingga kemuncaknya pada 31 Ogos akan datang.

Pesta Sukan rakyat ini dilaksanakan selama sebulan sehingga 31 Ogos setiap tahun.

Akktiviti ini diadakan sebagai salahsatu cara untuk mengisi masa golongan belia daripada terjebak dengan gejala tidak sihat disamping menganjurkan aktiviti kesihatan serta dapat mengeratkan hubungan erat silaturrahim dalam pasukan dan antara pasukan, kata Abdul Fatah.

Pastikan negara dapat manfaat sistem pengukuran

Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Pengkalan Chepa) berkata, Rang Undang-Undang Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 sepatutnya memberi manfaat kepada Malaysia yang kini terbabit dengan beberapa tuntutan persempadanan antarabangsa.

Beliau berkata, dengan adanya rang undang-undang tersebut, beberapa tuntutan seperti isu Pulau Batu Putih, Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) dan sempadan Malaysia Thailand di Sungai Golok, Kelantan sepatutnya menyebelahi negara ini.

Beliau berkata, lebih penting lagi beberapa isu persempadanan membabitkan kepulauan dan kawasan di Malaysia dengan negara jiran dapat diselesaikan melalui penguatkuasaan rang undang-undang tersebut.

‘‘Saya ingin tahu adakah akta ini boleh memihak kepada Malaysia seperti tuntutan Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura, ukuran sempadan antara Malaysia dengan Thailand di Sungai Golok dan juga pembangunan JDS yang terdapatnya simpanan 13 trilion kaki padu gas dan minyak.

‘‘Kita nak tahu mana satu kawasan untuk Malaysia, Thailand dan Vietnam,” kata beliau pada sesi perbahasan rang undang-undang tersebut pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, pada sesi penggulungan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, sukatan persempadanan yang digunakan berhubung tuntutan Pulau Batu Putih ditentukan oleh Wisma Putra.

Beliau berkata, bagaimanapun biasanya dalam kes-kes tuntutan membabitkan sempadan, sukatan yang digunakan mengikut kaedah dan piawaian antarabangsa.

‘‘Tetapi kita akan bagi nasihat teknikal dengan Wisma Putra,” kata beliau.

Kerajaan tidak iktiraf CTOS – M Kayveas

Kerajaan tidak pernah mengiktiraf Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) untuk menyalurkan maklumat kewangan individu kepada institusi perbankan atau pihak lain bagi tujuan rujukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas menegaskan, kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan lesen kepada CTOS untuk bertindak sebagai badan carian apatah lagi menyimpan maklumat peribadi orang ramai.

Beliau berkata, kerajaan juga memandang serius tindakan bank, institusi kewangan atau badan lain di negara ini yang menggunakan khidmat CTOS sebagai carian untuk mendapatkan maklumat peribadi pelanggan serta orang ramai.

‘‘Apa hak mereka untuk menyimpan maklumat peribadi orang ramai, siapa bagi kebenaran,’’ katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan sesetengah pihak yang mendakwa disenarai hitam dalam sistem CTOS setelah menghadapi masalah kewangan seperti gagal menjelaskan bayaran ansuran atau melunaskan pinjaman.

Malah, agensi itu juga gagal untuk mengeluarkan nama peminjam walaupun telah melangsaikan tunggakan pinjaman, selain memaparkan maklumat kewangan remeh yang menjejaskan kewibawaan kredit seseorang.

Sehubungan itu, Kayveas berkata, kerajaan sedang mengumpul maklumat daripada orang ramai terhadap CTOS sebelum tindakan diambil.

Beliau juga memberitahu hampir satu pertiga ahli-ahli Parlimen mempunyai rekod di CTOS.

JK Peringkat Menteri Malaysia-Singapura bagi memudah pelaksanaan pembangunan WPI?

Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa bersama peringkat Menteri antara Malaysia-Singapura untuk mempertingkatkan kerjasama bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor khususnya yang melibatkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Dr Mohd Hayati bin Othman (Pendang).

“Jawatankuasa Khas Peringkat Menteri ini telah dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura dalam pertemuan tidak rasmi antara kedua Perdana Menteri di Langkawi 15 Mei 2007,” katanya.

Dr Mohd Hayati dalam soalan asalnya minta Perdana Menteri menyatakan fungsi Jawatankuasa Pemantau Peringkat Menteri Malaysia-Singapura di dalam membangun WPI.

Perdana Menteri berkata lagi, Jawatankuasa ini hanya akan berfungsi sebagai pemudah cara untuk mempercepatkan pelaksanaan keputusan yang dibuat kerajaan berhubung WPI bukan penasihat pembuat dasar.

“Wakil Malaysia dalam Jawatankuasa ini ialah YB Dato Sri Mohd Effendi bin Norwawi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

“Bidang kerjasama Jawatankuasa ini termasuklah usaha mempertingkatkan hubungan pengangkutan antara WPI-Singapura, mempercepatkan urusan Imigresen sertapromosi bersama dalam sektor pelancongan dan alam sekitar,” kata Perdana Menteri.

Selain itu  Jawatankuasa ini berperanan mengenalpasti bidang berpotensi untuk diadakan kerjasama dua hala yang boleh membantu pembangunan WPI dan pelaksanaan aktiviti kerjasama antara agensi tentang syor jawatankuasa khas tersebut.

Dewan Rakyat: Soalan MP PAS 26 Jun 2007

Soalan ke 26 – Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :- (a) bidang kerja serta bidang kuasa Jawatankuasa BersamaPeringkat Menteri (JMC) antara Malaysia dan Singapura bagi memantau pelaksanaan dan diperhalusi sebarang cadangan berhubung kerjasama pembangunan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). ; dan (b) bidang kerja serta bidang kuasa jawatankuasa konsultasi antara kedua-dua negara bagi memudahkan aliran pelaburan serta kerjasama pelancongan dan persekitaran di WPI.

Soalan ke 29 – Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [ Pendang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah peranan JAKIM di dalam menjadikan Al Quran, Assunnah, Ijmak Ulama dan Qias sebagai sumber hukum dalam negara sesuai dengan dakwaan Malaysia Negara Islam yang mengamalkan Ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Soalan ke 51 – Haji Abdul Fatah Bin Haji Harun [ Rantau Panjang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sejauh mana perkembangan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap kontraktor yang membina Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, bernilai RM270 juta selepas berlaku beberapa kerosakan, termasuk kebocoran paip di bangunan tersebut.

Soalan ke 52 – Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI KESELAMATAN DALAM NEGERI menyatakan pendedahan media massa mengenai perlakuan jenayah di Malaysia di tahap menakutkan dan apakah langkah-langkah pencegahannya.

Pada kebiasaannya soalan yang dkemukakan ini sepatutnya dijawab secara lisan tetapi masa yang diberikan selama satu setengah jam tidak dapat menjawab semua persoalan  yang dikemukakan, Maka kerajaan akan jawab secara bertulis. Jawapan ini akan diberi dalam masa seminggu.- Editor

Penganugerahan darjah “knighthood” kepada Salman Rushdie, provokasi merbahaya – Salahuddin

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2)

Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) mohon mencadangkan “Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan Dewan yang mulia ini merundingkan isu penganugerahan darjah “knighthood” kepada Salman Rushdie oleh kerajaan Britain.

Tuan Yang Dipertua, Tindakan Kerajaan Britain menganugerhkan darjah kebesaran yang membawa gelaran “Sir” kepada Salman Rushdie adalah merupakan satu tindakan provokasi yang sangat merbahaya dan bakal memberikan ancaman kemarahan daripada dunia Islam keseluruhannya. Tindakan ini juga adalah merupakan satu penghinaan secara terbuka yang dilakukan atas nama sebuah kerajaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W.

Salman Rushdie ialah seorang penulis buku “Satanic Versus” (surah Syaitan) yang 20 tahun dahulu mencetuskan kemarahan Umat Islam sedunia diatas sikap biadap beliau yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Beliau menghina Nabi SAW dan keluarganya yang mulia dan kerajaan Britain telah memberikan perlindungan politik, keselamatan dan layanan istimewa kepada beliau.

Parlimen Malaysia seharusnya mempertegaskan pendirian diatas isu yang sangat kritikal dan merbahaya ini. Malaysia sebagai Pengerusi OIC hendaklah menyatakan pendirian bagi mewakili negara-negara umat Islam yang sangat tersinggung terhadap perbuatan Kerajaan Britain ini yang tidak langsung menghormati perasaan dan maruah Islam.

Kerajaan Britain juga telah menunjukkan secara terbuka permusuhan terhadap Islam. Tindakan ini juga sangat bertentangan dengan usaha-usaha murni bagi membina jambatan antara tamadun dan agama demi kebaikan dan perpaduan yang sangat digalakkan oleh Islam.

Penghormatan yang diberikan kepada Salman Rushdie ini telah mengesahkan prasangka selama ini yang negara barat seperti Britain memang menjadi penaja dan penaung kepada mana-mana individu dan pertubuhan yang memang berniat untuk melakukan kerja-kerja terancang bagi menghina Islam dan menyuburkan lagi permusuhan antara agama di dunia ini.

Saya mohon mencadangkan,

Salahuddin Ayub.

——————–

Usul yang dijadual dibentangkan pada jam 11.30 pagi 25 Jun 2007 bagaimanapun ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat dalam kamarnya di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (5).