Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) berkata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaannya akan dikecam sepanjang zaman jika terus berdegil dengan pendiriannya yang enggan menghalang syarikat-syarikat strategik di negara ini dijual kepada kepentingan luar negara terutama dari Singapura setelah ‘dimilikperibadikan’.Ketika menjawab soalan Salahuddin di Dewan Rakyat mengenai langkah kerajaan untuk menghalang Maxis Communication Berhad dijual kepada kepentingan luar negara terutama dari Singapua setelah dimilikperibadikan, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan mengenakan peraturan yang boleh menghalang sesebuah syarikat daripada diambil alih.
Menurut Abdullah, jika peraturan dikenakan, ia akan mengurangkan minat syarikat-syarikat lain memohon untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan pelabur asing kurang berminat untuk melabur di negara ini.
“Dalam keghairahan untuk dilihat dan dipuji sebagai kerajaan yang bersifat pro-perniagaan, kerajaan Abdullah ternyata tidak memberikan keutamaan yang sewajarnya kepada soal keselamatan negara walaupun syarikat-syarikat strategik di negara ini akhirnya akan dikuasai oleh pihak luar terutama yang sentiasa dicurigai sebagai mempunyai niat jahat terhadap negara ini.
“Kerajaan memperjudikan keselamatan negara dengan sikapnya yang fanatik untuk mempertuhankan pasaran.
“Tidak perlu cakap lagi mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pembunuhan berperingkatnya dengan fasa pertama bermula di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Jika keselamatan negara pun tidak menjadi perkiraan utama, tidak perlu cakap lagi mengenai tanah perkuburan DEB di WPI ,” kata Salahuddin.
Kerajaan Abdullah, katanya lagi, begitu takut kepada imaginasinya mengenai tanggapan pasaran sehingga membiarkan begitu sahaja apa jua aktiviti korporat walaupun akhirnya akan mengancam keselamatan negara.
Salahuddin juga menyifatkan jawapan Menteri Kewangan kepada satu lagi soalannya memperjelaskan lagi sifat fanatik untuk mempertuhankan pasaran yang memperlekehkan soal keselamatan negara.
Dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan untuk menghalang beberapa syarikat yang strategik untuk keselamatan dan kepentingan negara serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk syarikat-syarikat yang dikuasai Permodalan Nasional Berhad (PNB) apabila dikuasai Synergy Drive dari dimilikperibadikan dan seterusnya berkemungkinan terlepas kepada kepentingan asing terutama Singapura.
“Kemajuan negara sepatutnya diasaskan kepada pertimbangan yang pelbagai dan saling kait-mengait. Negara ini tidak akan maju dengan sikap fanatik untuk memperhambakan diri kepada pasaran malah mungkin akan mengundang bencana” katanya.
Mengulas jawapan Perdana Menteri kepada soalannya hari ini mengenai Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri antara Malaysia dan Singapura bagi memantau perlaksanaan dan memperhalusi sebarang cadangan berhubung kerjasama pembangunan di WPI, Salahuddin menyifatkan jawapan itu tidak meredakan kebimbangan rakyat tentang kedaulatan negara ini dengan penubuhan jawatankuasa itu.
Filed under: Luar Dewan, Soalan dewan | Leave a comment »