Pandangan Islam terhadap Alam Sekitar (2)

Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Pasir Mas. Saya hendak tanya sedikit. Ceramah dan ulasan Yang Berhormat cukup baik. Berapa kekerapan kita cuba untuk jelaskan kepada rakyat Kelantan sebab saya amat dukacita kalau saya tengok Pasir Puteh, saya tidak pergi kawasan Yang Berhormat. Pasir Puteh sendiri, longkang-longkang dan parit-parit tidak terkawal.

Walaupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi duit yang banyak untuk bersihkan, tetapi tidak terdidik dengan roh, spirit of Islam seperti apa yang dicakapkan oleh Yang Berhormat.
Tuan Lim Hock Seng [Bagan]: Penang lagi teruk.

Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Saya kira semua mesti mengambil bahagian, baik Pasir Puteh, Pasir Mas dan lain-lain tempat supaya negara kita ini indah. [Membaca sepotong ayat al-Quran], “Allah S.W.T itu indah dan Allah suka kepada yang indah.” Allah itu indah, Dia suka kepada yang indah. Apa sahaja yang indah ini disukai oleh Allah S.W.T. Kerana itulah kita bertaharah, kita bersuci, ambil air sembahyang dan sebagainya, kerana apa? Kerana kita melihat sesuatu yang indah.

Rumah tangga umat Islam misalnya. Saya lihat bukan lain di Kelantanlah, biarlah saya letakkan benda ini kerana Tok Guru Nik Aziz pernah mengatakan bahawa satu ketika dahulu rakyat suka membuang sampah. Tidak suka ambil sampah buang. Kita suka buang sampah kerana kita merasakan ada orang yang mengutip sampah. Padahal kita tidak terasa buang sampah itu berdosa sebenarnya.

Kita kena letak dalam hati kita ini bahawa berdosa kita membuang sampah. Tadi saya datang ke Parlimen sekejap tadi. Depan saya ada beberapa buah motor car depannya. Bagaimana dia terlalu senang dia menghisap rokok dan dia membuang puting rokok melalui jendela kereta dia. Itu satu kes. Kes yang lain saya melihat ada, depan saya juga sewaktu saya datang dari Pasir Mas ke Kuala Lumpur sampai di pertengahan jalan dia makan, kemudian dia baling sampah melalui tingkap keretanya.

Bagaimana sikap kurang bertanggungjawab ini Tuan Yang di-Pertua. Sikap tidak bertanggungjawab ini ada pada kalangan orang kita. Kalangan orang Melayu, kalangan orang Cina, kalangan orang India dan berbagai-bagai lagi yang bersikap sedemikian. Kita tanamkan semangat ini dan biarkan kepada yang lain, yang lain ini kalau kita kira ambil bahagian.

Saya sebagai penganut dan sebagai da’ie insya-Allah, saya mengajak supaya kebersihan ini bermula daripada rumah tangga Islam itu sendiri tetapi malangnya kerana kita diajar begitu. Kita diajar, bila kita dan anak-anak kita makan, kita buang sisa-sisa makanan begitu saja, kerana apa? Kerana ada emak yang akan mengambil, ada isteri yang akan mengutip sisa-sisa makanan, kemudian buang. Kita tidak rasa bahawa kalau kita tolong, kalau kita buat kita boleh dapat pahala.

Pada petang ini saya mengajak Ahli-ahli Dewan dan persekitaran saya ini supaya kita merasakan boleh dapat pahala. Kita mempunyai ‘Kiraman Katibin’ Kita mempunyai malaikat yang sentiasa menulis segala apa yang kita lakukan ini. Kerana itulah di waktu Nabi S.A.W melihat seorang kanak-kanak atau beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain dengan kanak-anak burung. Nabi tidak marah, Nabi tidak jerkah, serkah ke apa ke tetapi apa yang Nabi buat ialah irji’ha, hantar balik kepada sarangnya kerana ibunya sedang mencarinya.

Ini satu didikan yang halus. Hantarkan dia ke sarang dia kerana ibunya sedang mencari dia. Maka kanak-kanak ini terasa ibunya sedang mencari dia sebagai mana ibu kamu mencari kamu sekarang ini. Itu biji-biji tarbiah yang disebut ataupun didikan yang ditanam.

Jadi kita juga mesti tanam kepada anak-anak kita waktu makan masing-masing simpan makanan. Saya sekali berkesempatan ke Amerika Syarikat. Saya orang kampung. Bila saya pergi ke sana kita makan. Bila kita makan, sampah-sampah ini kita buang begitu saja. Sehingga dilihat sebagai kelihatan perli. Maknanya kamu tidak jaga kebersihan. Langsung saya bertindak dengan mengutip sisa-sisa makanan, kemudian buang sendiri. Ertinya dia mula daripada rumah dia, daripada sekolah dia.

Katanya di Jepun seorang pelajar makan coklat, dia diajar supaya kulit coklat itu disimpan dalam saku dia. Kita datang ke sekolah kebangsaan kita, pelajar kita makan ketupat. Tidak diajar begitu. Makan ketupat kemudian kulit ketupat itu dibuang di mana-mana kerana bagi dia ada lagi orang yang akan mengambil ataupun tukang-tukang sapu akan menyapu.

Yang kedua pula, saya sambung sikit lagi. Bagaimana Islam mengatasi ataupun melihat benda-benda ini yang kita katakan bencana alam. Tadi disebut banjir besar. Banjir besar di negara kita dan sebagainya sebagai bencana alam. Saya bersetuju banjir itu disebabkan oleh kita. Mungkin kerana longkang kita tidak baik ataupun mungkin kerana hujan yang terlalu banyak tetapi Rasulullah, Nabi kita waktu Baginda melihat hujan, Nabi berdoa. Nabi kata “Ya Allah turunkan hujan” [bercakap dalam bahasa Arab] Hujan yang segar, hujan yang subur, hujan yang dapat melahirkan buah-buah yang bagus-bagus dan jangan turunkan hujan yang menjadi bala bencana kepada kami”.

Sekarang ini roh ini sudah tidak ada. Roh, doa ini sudah tidak ada di kalangan orang Islam. Sama ada tidak tahu ke ataupun tidak baca ataupun tidak dengar ke tetapi saya kira kuliah-kuliah dalam televisyen misalnya sudah cukup memberikan kesedaran. Boleh kita mengambil bahawa kalau kita pohon hujan ini kita menadah tangan dan berdoa “Ya Allah turunkan hujan yang segar, yang baik dan jangankan hujan menjadi bala kepada kami”. Kerana itulah saya sebutkan tadi perkara-perkara ini mesti kita tekankan kepada masyarakat kita.

Di antaranya pendidikan kepada masyarakat, mendidik masyarakat supaya kasih sayang kepada alam tabii yang ada di sekitar kita. Kita mesti melihat ia adalah sebagai kekasih kita. Apa yang kita kasih bukan kita bermusuhan dengan mereka. Pendidikan, saya bersetuju dengan sahabat-sahabat kita tadi iaitu mendidik bermula daripada peringkat rumah. Peringkat umur setahun, dua tahun, tiga tahun, empat tahun, lima tahun dididik boleh oleh ibu bapa dia kerana sekolah yang paling awal ialah rumah tangga. Yang sekolah itu betul iaitu sekolah yang kedualah.

Sekolah yang pertamanya ialah ibu bapa. Dia tengok emak dia, dia tengok ayah dia, dia tengok abang dia, dia tengok kakak dia. Kalau dia tengok kakak dia baling kertas, dia baling kertas. Kalau dia tengok abang dia buat macam itu, dia akan buat macam itu tetapi kalau dia tengok abang dan kakak dia melakukan sesuatu yang terbaik, maka dia akan tiru. Kerana itulah kita memerlukan contoh dalam rumah tangga.

Yang sekarang ini Tuan Yang di-Pertua, kita kehilangan contoh sebenarnya. Dalam banyak segi kita kehilangan contoh dalam rumah tangga. Ibu bapa bercakap tidak benar. Tidak ada contoh. Ibu bapa bercakap kasar. Bagaimana boleh melahirkan persekitaran kita yang baik? Jadi kita mesti pertama sekali mengadakan contoh yang terbaik dalam rumah. Bukan sekadar contoh solat saja. Bukan sekadar contoh membaca Al-Quran saja.

Tetapi kita hendaklah mempunyai contoh yang terbaik dalam semua lapangan. Kebersihan, suci dan sebagainya. Jadi itulah kita orang Islam saya melihat…

Ada satu lagi yang saya hendak sebut. Yang ketiga, perlaksanaan undang-undang dan peraturan. Parlimen kita ini sudah begitu banyak mengadakan akta, peraturan tetapi saya rasa barangkali dari segi pelaksanaannya kurang. Saya bersetuju dengan akta ini. Saya baca tadi saya bersetuju dengan mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun. Saya setuju dengan undang-undang ini cuma perlaksanaan ini mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, kita mesti bermula dengan setiap negeri. Saya mengaku kalau bermula dari Wilayah Persekutuan, kemudian turun ke negeri, negeri. Semua mesti diambil kira tentang alam sekitar, mesti jaga dengan baik kerana ia adalah khazanah Allah S.W.T. yang mesti kita warisi dan diwarisi oleh anak-anak kita kemudian daripadanya.

Kemudian dari negeri-negeri kepada kampung-kampung, rumah-rumah. Daripada rumah-rumah, peribad dan daripada peribadi turun, turun sampai kepada akar umbi sehingga kita dapat melihat alam sekitar ini dapat dijaga dengan baik dan insya-Allah dapat diwarisi oleh anak cucu kita kemudian daripada kita. Sekian terima kasih.
——————————–
Perbahasan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2007 ms 81 pada 20 Jun 2007

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: