Dewan Rakyat: Soalan Jawab Lisan MP PAS 3 Julai 2007

Sesi Soalan Jawab Lisan – jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi

Soalan ke 3 – Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan sejauh Kerajaan boleh bertolak ansur dalam isu penggunaan ruang udara Malaysia oleh jet pejuang Singapura dan apakah rundingan mengenainya telah selesai.

Soalan ke 5 – Tuan Haji Ismail Bin Noh [Pasir Mas] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan apakah kesan kepada Kerajaan Malaysia dengan berlakunya konflik di selatan Thailand dan apakah tindakan yang selanjutnya.

Soalan ke 28 – Dato’ Kamarudin Bin Jaffar [ Tumpat ] minta MENTERI KESELAMATAN DALAM NEGERI menyatakan sejauh mana siasatan terhadap dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan Bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Soalan ke 36 – Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA menyatakan apakah kewajaran Kerajaan meluluskan kenaikan harga barang runcit sehingga 10 peratus dan apakah barang-barang runcit yang terlibat.

Sesi Perbahasan Rang undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 – jam 11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang.

Siasatan BPR sekadar ‘melepas batuk ditangga’ – Salahuddin

Ketua Whip PAS di Parlimen, Salahuddin Ayub menyifatkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengenai status siasatan BPR keatas Ketua Menteri Sabah sekadar melepas batuk ditangga.

“Sampai bilakah rakyat akan disogokkan dengan perkataan ‘dirahsiakan’,” kata Salahuddin yang juga Ahli parlimen Kubang Kerian mengulas jawapan yang diberikan Dato’ Nazri di Dewan Rakyat hari ini.

Dato’ Nazri dalam jawapan bertulis kepada soalan Salahuddin berkata, siasatan berhubung dakwaan rasuah yang dibuat terhadap Ketua Menteri Sabah masih dijalankan.

Kata Nazri, seksyen 21 (4) Akta pencegahan Rasuah 1997 menyatakan “Sesuatu yang dibuat dibawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain……

Dalam soalan asalnya Salahuddin minta Perdana Menteri menyatakan sejauhmanakah siasatan aduan rasuah kepada BPR yang melibatkan Ketua Menteri Sabah.

Salahuddin berkata, rakyat mesti diberitahu tentang progress siasatan kerana sudah hampir 6 bulan laporan telah dibuat.

Sebelum ini, DATUK DR JEFFREY KITINGAN, Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Sabah telah membuat beberapa laporan Polis terhadap 36 tuduhan rasuah dan pecah amanah Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman.

51,994 orang menunggu untuk melabur dengan Bank Rakyat

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Khalid Nordin memberitahu sehingga bulan Mei 2007 pelabur yang menunggu untuk melabur dengan Bank Rakyat seramai 51,994 dengan jumlah RM1,024 juta.

Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ab Halim Ab Rahman (Pengkalan Chepa) hari ini yang ingin tahu jumlah modal saham Bank Rakyat yang dibenarkan Bank Negara dan jumlah pelabur yang menunggu untuk melabur dengan Bank Rakyat.

Katanya manakala jumlah modal saham Bank Rakyat yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia sebanyak RM2,000 juta manakala modal syer adalah RM1,992,847,615.00 yang terdiri daripada syer individu seramai 799,052 orang (RM1,912,759,250.00) dan Koperasi berjumlah 1,407 buah (RM80,088,365.00)

Difahamkan, sambutan orangramai untuk melabur bertambah dari tahun ke tahun kerana Bank Rakyat memberi keuntungan yang tinggi kepada pelaburnya.

Dr Hayati bahas Rang Undang2 Biokeselamatan (1)

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya ingin sama membahaskan berhubung dengan Rang Undang-undang Biokeselamatan ini walau pun kita tahu biokeselamatan ini mempunyai satu bidang yang cukup luas yang melibatkan manusia dan juga keselamatan manusia.

WHO telah mengatakan rasionalnya bahawa keselamatan ini adalah hutan mengekalkan persekitaran yang sihat dan juga selamat. Walau bagaimanapun keadaan ini tercabar oleh wujudnya pelbagai jenis penyakit baik endemik, pandemik ataupun berlakunya secara epidemik dan ia juga berlaku disebabkan oleh kemalangan ataupun hazard sama ada buatan manusia ataupun keadaan semula jadi.

Maknanya matlamat biokeselamatan ini sebenarnya adalah untuk mengurangkan penyebaran microorganism yang menyebabkan penyakit pathogenic organism. Sebab itulah usaha biokeselamatan termasuk pembentukan lembaga yang disebutkan oleh banyak Ahli-ahli Yang Berhormat ini amat penting terutama sekali dari segi kepakaran yang ada pada setiap Lembaga Biokeselamatan ini.

Saya agak tertarik dengan apa yang telah disebutkan oleh Pasir Puteh dan juga beberapa Ahli Yang Berhormat tentang perlunya ada mereka yang pakar dalam bidang agama, dalam biokeselamatan ini kerana ia melibatkan biological engineering ini kerana seperti mana yang telah saya sentuh dalam perbahasan Kepong dan beberapa orang Ahli-ahli Yang Berhormat itu tadi berhubung dengan makanan yang dengan adanya genetically modified food ini kerana ada laporan yang mengatakan ada tomato dan juga kentang yang dihasilkan melalui GMF ini diambil genetiknya daripada khinzir.

Saya harap perkara ini perlu diberi perhatian oleh kita kerana ia melibatkan masalah makanan dan juga masalah pembesaran badan kita kerana hadis Rasulullah ada menyebut [Membaca sepotong hadis]. Saya rasa Pasir Puteh boleh memberi penerangan berhubung dengan perkara ini.

Perkara yang kedua yang ingin saya sentuh adalah berhubung dengan berita yang dikeluarkan oleh akhbar Berita Harian semalam. Berhubung dengan bank sperma walau pun ia tidak dibincangkan dalam rang undang-undang ini tetapi apabila kita sentuh tentang biokeselamatan, ini merupakan suatu perkara yang cukup penting untuk kita bahas ataupun kita bincangkan kerana ia melibatkan keselamatan umat, keselamatan bangsa, keselamatan agama dan juga faktor halal haram daripada bank sperma ini.

Walau pun Pengarah Kesihatan mengatakan ia akan memberikan perhatian serius terhadap bank sperma ini saya rasa di dalam Rang Undang-undang Biokeselamatan ini perlu juga kita beri perhatian kerana ia melibatkan zuriat, melibatkan hukum, melibatkan masalahmasalah yang berhubung kait dengan pusaka dan juga masalah anak susuan dan juga masalahmasalah yang ada kaitan dengan undang-undang keluarga di dalam agama Islam kita.

Apabila kita menyentuh tentang bank sperma ini walau pun mufti mengatakan ia harus untuk suami dan juga isteri tetapi apabila ia disimpan di dalam bank maknanya ia boleh simpan untuk waktu dan masa yang lama. Jika sekiranya benda ini berlaku semasa suami masih hidup, itu tidak ada masalah tetapi apabila suaminya telah meninggal dunia ataupun telah berlaku perceraian dan sperma ini digunakan untuk isteri yang sah tersebut ataupun dalam keadaan suaminya sudah meninggal, ia merupakan suatu perkara yang haram yang tidak boleh dilakukan.

Saya harap pihak JAKIM dan juga pihak kementerian memberi perhatian yang serius terhadap perkara ini. Seterusnya adalah saya hendak menyentuh tentang bentuk vaksin. Dalam persidangan Menteri-menteri Kesihatan Negara-negara OIC baru-baru ini yang telah diadakan di Kuala Lumpur telah dinyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara pengeluar vaksin.

//LAGI BERSAMBUNG
————————-
Ucapan ini membahaskan Rang Undang-Undang Biokeselamatan 2007 pada 26 Jun 2007, penyata muka surat 69 – 71

Isu Rasuah dan Salahguna kuasa

Oleh Salahuddin Haji Ayub
Saya ingin mengfokuskan ucapan penangguhan ini kepada perkara penting yang menjadi isu nasional pada sidang perbahasan kali ini, iaitu isu berkaitan rasuah dan salahguna kuasa yang menjadi sasaran dalam Pelan Integriti Nasional.

Pelan Integriti Nasional telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 April 2004. Antara agenda yang disusun adalah termasuk pelan untuk mencapai sasaran 5 tahun yang disebut sebagai TEKAD 2008. Sasaran pertama TEKAD 2008 adalah untuk mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna secara berkesan. Untuk tujuan itu, indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) dan indeks kejayaan BPR dalam menyiasat dan dan jumlah kes yang diselesaikan akan digunapakai.

Pihak TI telah mengeluarkan kenyataan bahawa kedudukan Malaysia dalam indeks korupsi telah menurun kepada 5 anak tangga daripada kedudukan ke 39 dalam tahun 2005 kepada 44 dalam tahun 2006 daripada 163 negara. Dari segi skor yang diperolehi pula adalah 5.0 pada tahun 2006 berbanding 5.1 pada tahun 2005 (1 adalah paling korup dan 10 adalah paling bersih).

Di rantau ASEAN, Singapura kekal sebagai sebuah negara yang paling kurang korup dan setaraf dengan negara Switzerland, Finland dan Sweden.

Pihak polis pula dianggap sebagai sektor yang paling korup di Malaysia. Pihak parti pemerintah pula secara terang-terangan dalam proses pilihanraya memberikan rasuah politik kepada para pengundi. Di pilihanraya kecil Ijok baru-baru ini umpamanya masyarakat Ijok telah dimomokkan dengan bantuan segera bernilai RM36 juta. Angka tidak rasmi pula menunjukkan parti pemerintah telah berbelanja sebanyak RM100 juta dalam tempoh pilihanraya kecil itu.

SUHAKAM pula dalam laporan berkaitan insiden demonstrasi di KLCC pada 26/5/2006 telah merumuskan bahawa pihak polis telah melakukan salahguna kuasa dan telah melampaui hak asasi rakyat untuk berhimpun dan berkumpul secara aman sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia. Pihak polis juga telah menggunakan kekerasan melampau sehingga menyebabkan kecederaan teruk di kalangan ahli demonstrasi.

Melihat kepada laporan dan indeks yang dikeluarkan itu, sasaran yang ingin dicapai dalam TEKAD 2008 itu adalah masih jauh. Pihak pemerintah selaku pihak eksekutif nampaknya masih belum menghayati sasaran yang diletakkan dalam TEKAD 2008. Hingga ke hari ini, kekurangan keazaman politik (political will) menyebabkan usaha menentang rasuah dan salah guna kuasa masih menemui jalan buntu. Laporan TI setiap saban tahun mulai 2004 sehingga 2006 menunjukkan penurunan taraf Malaysia dalam indeks korupsi.

Tuan Yang Dipertua
Oleh itu saya mengusulkan supaya cadangan yang dikemukakan oleh pihak TI untuk dilaksanakan dalam kadar segera bagi mencapai hasrat murni TEKAD 2008 iaitu:

• Kesemua ahli eksekutif yang memegang jawatan dalam kerajaan khususnya Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri Kabinet dan anggota EXCO untuk membuat suatu perisytiharan harta masing-masing termasuk harta yang dipegang oleh ahli keluarga terdekat kepada parlimen.
• Bahawa BPR dijadikan suatu badan bebas yang bertanggungjawab untuk melaporkan kepada suatu badan bebas dan bukan kepada pejabat Perdana Menteri.
• Akta Rahsia Rasmi hendaklah dihapuskan dan digantikan dengan Akta Pendedahan Maklumat.

Selain itu, antara sasaran lain TEKAD 2008 adalah untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Dalam keadaan kenaikan harga barang sekarang pastinya kualiti hidup rakyat akan semakin menurun dan taraf hidup rakyat semakin menyempit.
————–
Ucapan penangguhan yang disampaikan pada jam 5.30 petang, 2 Julai 2007

Ezam bertemu Salahuddin di Pejabat PAS

Bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Ezam Mohd Noor hari ini mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub di pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar dan Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli.

Pertemuan itu diadakan ekoran Ezam sebelum ini diberitakan akan menyertai PAS atau Umno selepas mengumumkan keluar dari PKR baru-baru ini.

Sehingga kini tiada kenyataan rasmi mengenai keputusannya itu.

Dasar pendidikan terlalu berorientasi peperiksaan

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Husein berkata kementerian pelajaran (KPM) akan berusaha untuk menjadikan sistem pendidikan tidak terlalu berorientasikan peperiksaaan.

“Anjakan perubahan tersebut KPM akan memberikan fokus kepada beberapa aspek untuk dikaji dan disemak semula seperti bilangan matapelajaran dalam peperiksaan awam, sistem penggal persekolahan, kaedah pentaksiran, mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta menitikberatkan aspek kokurikuum,” kata dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Fatah Haji Haron (Rantau Panjang) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalan asalnya Abdul Fatah meminta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah Kerajaan bercadang menyemak semula dasar pelajaran lalu yang lebih tertumpu kepada orientasi membina kerjaya daripada modal insan dan apakah masalah Kerajaan dalam meggubal dasar tersebut.

Hishamuddin berkata perlaksanaan KBSR dan KBSM diasaskan kepada falsafah pendidikan kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pembangunan Negara, perkembangan dunia semasa, teori pembelajaran dan The Four Pillars of Education iaitu learning to know, learning to do learning to live together dan learning to be seperti yang disarankan oleh UNESCO.

Semakan KBSR dan KBSM secara menyeluruh telah dilakukan mulai 200 hingga 2005 bertujuan untuk memantapkan dan menambah baik kurikuluim sedia ada supaya ia relevan dengan kehendak semasa dan akan datang.

Penerapan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta pemupukan nilai dalam semua matapelajaran terutama pendidikan Islam dan Pendidikan moral sebagai persediaan kepada murid melalui realiti kehidupan sebenar dan menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Petronas perlu kaji ‘supply base’ di perairan Kelantan

Dato’ Kamarudin Jaffar (Tumpat) menggesa kerajaan mengarahkan Petronas mengkaji secara serius supaya badan itu mewujudkan ‘supply base’ di perairan Kelantan yang dikatakan memiliki bekalan gas yang mampu menampung permintaan pengguna tempatan.

Menurut Dato’ Kamarudin, perairan Kelantan yang dinamakan Cakerawala itu dikatakan memiliki bekalan gas yang cukup untuk menampung permintaan pengguna tatkala negara dikatakan kekurangan bekalan gas.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Abdul Rahman Suliman (Senator) dalam soalan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya terperanjat sebab kita diberitahu tentang kekurangan bekalan gas untuk pengguna dalam Malaysia. Setakat saya tahu dan dengar di lautan berdekatan Kelantan ada bekalan gas di kawasan bernama cakerawala,”katanya.

“Jadi gas dari kawasan ini atau Gas Kelantan sepatutnya cukup untuk bekal keperluan seluruh negara, tetapi saya dengar punca masalahnya ialah keenganan Petronas untuk mengwujudkan pengkalan-pengkalan untuk ‘supply base’ untuk efisyenkan pengeluaran gas di kawasan ini,” tegas Kamarudin.

“Jadi apakah kementerian ini bercadang mengarahkan Petronas mengkaji dengan serius sebarang kemungkinan mewujudkan ‘supply base’ ini untuk tampung keperluan gas yang banyak dan pengeluaran yang efisyen di Kelantan ini,”katanya.

Sementara itu Abdul Rahman Suliman yang menjawab soalan Kamarudin itu berkata, bukanlah masalah yang besar kerana dalam mengusahakan kawasan itu Malaysia juga tertakluk dengan perjanjian antara sempadan dengan kerajaan Thailand.

Sebelum itu beliau menjawab soalan Dato’ Mohd Zaid Ibrahim (KOta Bharu) yang minta Perdana Menteri menyatakan adakah benar Petronas dikatakan tidak mahu atau tidak ada kapasiti untuk membekalkan gas secukupnya dan apakah tindakan kerajaan bagi mengatasi kekurangan gas di negara sekarang.

CTOS tidak diiktirafkan kerajaan

YB Tuan Salahuddin Hj Ayub (Kubang Kerian) mohon mencadangkan :

“Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu kedudukan berkaitan Credit Tip Off Services Sdn. Bhd. (CTOS)”

Tan Sri Yang diPertua,

Baru-baru ini keluhan kebimbangan Persatuan-persatuan pengguna mahu kerajaan bertindak tegas ke atas Credit Tip Off Services Sdn. Bhd. (CTOS) termasuk mengharamkan perkhidmatan tersebut bagi mengelak pengguna daripada terus teraniaya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas juga menjelaskan kerajaan tidak pernah mengiktiraf CTOS untuk menyalurkan maklumat kewangan individu kepada institusi perbankan atau pihak lain bagi tujuan rujukan.

Yang menjadi kehairanan pada hari ini kenapa perbankan mengiktiraf CTOS sebagai rujukan maklumat kewangan individu. Siapakah yang memberi kebenaran kepada CTOS untuk mengambil maklumat kewangan kepada institusi kerajaan.

Persoalannya, apakah skop tugas yang membenarkannya menjalankan perkhidmatan tersebut dan bagaimana penyaluran maklumat peminjam bank boleh berada di tangan mereka.

Malah, agensi itu juga gagal untuk mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam walaupun mereka telah melangsaikan tunggakan pinjaman selain memaparkan maklumat kewangan remeh yang menjejaskan kewibawaan kredit seseorang.

Apa yang dilihat disini tiada kawalan dan pemantauan dalam soal penyenaraian maklumat ke dalam sistem CTOS dan kerajaan perlu menstrukturkan semula kedudukan CTOS dengan meletakkannya di bawah kawalan BNM.

Usul ini dibawa di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), bagaimanapun ditolak oleh Speaker di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2) kerana usul ini telah bertindih dengan usul yang dikemukakan terlebih dahulu Ketua Pembangkang iaitu ahli dari Ipoh Timor.

Makmal Patologi perlu kepakaran tinggi (2)

Oleh Dr Mohd Hayati bin Othman
Berhubung dengan rekod yang disimpan dan dikemukakan, adakah rekod ini hanya terdiri daripada laporan ujian ataukah ianya mesti dengan specimen sekali saperti slaid, chromatoghapy, gambar cytology , gross specimen dan histopathology terutama jika ianya melibatkan kes-kes mahkamah saperti ujian urine untuk dadah dan ganja dan sebagainya.

Berapa lamakah rekod ini berhak disimpan seandainya ianya mesti dalam bentuk ujian asal saperti slaid ,blok, dan gambar sebelum ianya layak untuk dilupuskan dan hanya tinggal laporan bertulis sahaja yang kekal dalam simpanan untuk rujukan. Rekod untuk diperiksa juga tidak mempunyai pengkhususan dan tempoh masa. Ini memberikan satu keadaaan yang terlalu banyak kuasa kepada ketua pengarah kerana kalau makmal itu melakukan banyak ujian, sudah tentu penyimpanan rekod dalam bentuk asal atau gross specimen tak mungkin dilakukan untuk waktu yang lama, melainkan dimasukkan dalan data computer sahaja, apakah ini dibenarkan dalam perkara 29 akta ini. Begitu juga dengan pemeriksaan adakah ianya secara berkala atau masa tertentu sahaja dan bagaimana kaedah pelupusan rekod tersebut supaya tidak dikenakan tindakan sabitan melakukan kesalahan , apakah KP juga berhak dalam hal pelupusan rekod ini .

Didalam hal melaporkan kejadian , makmal pathology saperti yang disebut diatas amat berisiko menjalarkan penyakit, kakitangan yang bertugas biasanya berisiko untuk terkena sumber pembawa penyakit dengan mudah saperti tertusuk jarum, darah tertumpah, terkena test tube pecah, slide pecah dan sebagainya, oleh itu satu bentuk perlindungan perlu diberikan kepada mereka dalam bentuk takaful atau insuran seandainya berlaku perkara yang tak diingini. Penyediaan kemudahan perlindungan ini perlulah dimasukkan sama sebagai tanggungjawab pengendali makmal agar perlindungan sepatutnya dapat diberikan kepada pekerja yang mengendalikan ujian termasuk kos merawat dan pemulihan selain dari KWSP dan PERKESO.

Laporan terhadap perkara yang tak diramalkan dan dijangkakan ,disini tidak diberi satu pendetailan, apakah terhadap staf, bangunan atau rekod dan specimen serta laporan, atau kecuaian terhadap laporan yang dibuat atau kesilapan didalam menyediakan laporan , yang semuanya akan memberikan risiko kepada pesakit dan doctor yang akan merawat pesakit yang diuji oleh makmal tersebut.

Pembatalan kelulusan boleh dikenakan jika sekiranya makmal itu memberhentikan mengendalikan atau menyediakan makmal pathology lebih daripada 30 hari tanpa notis dan mendapat kelulusan daripada KP , bagaimana kalau pengendali itu sakit, bersalin dan tiada pengganti, untuk mendapat jawapan permohonan drp KP adalah boleh begitu segera diberikan dalam tempoh masa 30 hari, kalau terbatal apakah peluang untuk membaharui semula. Seandainya tidakan ini bakal diambil dan sekiranya surat tunjuk sebab diberikan dan masa 21 hari untuk membuat representasi tentang penggantungan tersebut, apakah kriteria atau kedudukan makmal tersebut, masihkah boleh menjalankan ujian dengan pemantaun oleh pegawai pathology dari makmal berdekatan atau terpaksa berhenti sehingga representasi beliau dijawab, dan berapa lama pula masa yang diperlukan untuk menerima jawapan daripada KP tersebut. // LAGI BERSAMBUNG

——————–
Perbahasan Rang Undang-undang Makmal Patologi 2007 pada 27 Jun 2007, jam 3.30 petang.