170 hektar tanam Kenaf ganti Tembakau

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, Lembaga Tembakau Negara (LTN) sedang berusaha untuk membangun tanaman kenaf sebagai tanaman industri alternatif kepada tanaman tembakau.

Datuk Peter berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Dato’ Ab’ Halim bin Abdul Rahman (Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat hari ini.

“Pada tahun 2006 sejumlah 170 hektar kawasan bekas tanaman tembakau telah dibangunkan dengan tanaman kenaf di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan pada tahun 2007 akan dipertingkatkan kepada 700 hektar,” katanya.

Dalam soalan asalnya Dato Abdul Halim minta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan jumlah penanaman dan kawasan yang telah dikenal pasti untuk ditanam kenaf (ganti tembakau) serta agensi terlibat untuk tujuan pemasaran.

Kata Datuk Peter, pasaran tanaman kenaf adalah penting untuk menarik minat bekas penanam tembakau.

Antara produk-poruk berasaskan kenaf seperti insulator, pulpa dan kertas, biokomposit, fiberboard dan plaster ceiling. Dengan adanya sokongan pihak industri, tanaman kenaf sebagai tanaman alternatif kepada tembakau akan berjaya dimajukan.

Wan Azizah bahas Rang Undang2 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007

Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang dipertua yang memberikan saya peluang untuk membahaskan rang undang-undang ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat dan kementerian yang telah memberikan kita taklimat sebelum kita membahas.

Rang undang-undang ini digubal sebagai usaha dan langkah kerajaan menguruskan masalah sisa pepejal. Walaupun demikian setelah diteliti, rang undang-undang ini tidak mampu menyelesaikan masalah pokok iaitu penghasilan sisa pepejal yang tidak terkawal.

Benar pihak kerajaan cuba mengawal sisa pepejal melalui kempen kitar semula, namun ianya tidak membawa kesan yang jelas dan tidak menyelesaikan masalah pokok. Pihak berkuasa gagal melihat punca utama masalah ini ialah titik permulaan penghasilan sisa pepejal.

Justeru itu kita kena memikirkan satu kaedah yang lebih inovatif dan strategik, pengawalan di peringkat pemprosesan lagi. Ini termasuk ketiadaan sasaran kerajaan yang tetap, tegas dan radikal.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membentangkan satu contoh walaupun telah diberi taklimat bahawa banyak contoh yang diperhatikan oleh kementerian selama sembilan tahun sebelum menggubal rang undang-undang ini, contoh amalan pengawalan yang dijalankan di Victoria, Australia. Victoria mempunyai jumlah penduduk seramai 5.1 juta berbanding dengan negeri Selangor 4.7 juta. Di Victoria terdapat satu strategi pengurusan inovatif yang dikenali
pelan pengurusan sisa pepejal sifar dengan izin zero waste management plan.

Tiga objektif pelan tersebut ialah meningkatkan efficiency material dan pengurangan hasil sisa pepejal, meningkatkan proses pemulihan material untuk pemprosesan semula, untuk penggunaan semula dan mengurangkan impak sisa pepejal berbahaya kepada alam sekitar.

Strategi tersebut memaksa pihak kerajaan untuk menukar cara berfikir dan melakukan pengubahsuaian dari segi reka bentuk pengeluaran, penggunaan dan pelupusan sisa pepejal dan bahan-bahan, dengan izin design, production, consumption and disposal of waste products and materials.

Oleh yang demikian, keutamaan dan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seharusnya ditukar kepada berikut iaitu:
(i) penghindaran iaitu avoidance;
(ii) penggunaan semula mengitar dan memulih, reuse, recycle dan recover. Itu yang telah kita nampak dan saya juga ingin mengajukan satu soalan kepada Yang Berhormat menteri. Satu masa dahulu ada kempen kitar semula tetapi nampak gayanya ia mati dengan sendirinya. Apa telah berlaku kerana dahulu ada iklan dalam TV menunjukkan anak-anak muda membuatkan kitaran semula tetapi hilang sekarang ini;
(iii) rawatan; (iv) pembendungan, penyekatan atau containment dan (v) pelupusan, disposal.

Jika kita banding dengan pelan pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor, penyelesaian yang utamanya adalah pembinaan tapak pelupusan dengan izin landfill dan pusat pemindahan dan pengumpulan sampah atau transfer centres atau pembinaan loji rawatan sisa pepejal atau incinerator atau seperti mana yang dicadangkan di kawasan Puchong pada mulanya kemudian dipindahkan ke Broga, Semenyih.

Langkah kerajaan menumpu peruntukan kepada proses rawatan seperti incinerator dan tapak pelupusan adalah langkah kurang bijak. Sewajarnya langkah tersebut dijadikan pilihan akhir setelah usaha-usaha lain menemui kegagalan.
————-
Ucapan disampaikan pada 3 Julai 2007 membahaskan Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dalam penyata muka surat 79-82.

Sudah 50 tahun… apa masalah yang dihadapi Universiti kini?

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Sungai Petani sebagai bekas seorang pensyarah tentu faham apa yang dikatakan dengan izin jangan kita jadi macam, Jack of all trades, master of none. Kita hari ini berlumba-lumba hendak buat banyak universiti, kursus banyak tetapi apa sebenarnya yang, what went wrong yang ada pada hari ini apa sebenarnya masalah dengan isu-isu yang dihadapi oleh universiti pada hari ini?

Adakah kita perlu banyak universiti? Sudah 50 tahun kita tidak pernah menang satu anugerah pun Nobel Laureate tidak pernah menang. Jadi apa sebenarnya masalah yang kita ada pada hari ini? Minta penjelasan kepada bekas pensyarah tersohor ini. Terima kasih.

Dato’ Mahadzir bin Mohd. Khir [Sungai Petani]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Kubang Kerian. Saya tahu Yang Berhormat bangkit itu, kita tidak pernah pun menghasilkan Nobel Laureate.

Saya rasa Nobel Laureate ini dia datang sekali sekala, walaupun kita dapati universiti-universiti telah pun membuat bermacam-macam research insya-Allah saya rasa saya masih ada keyakinan universiti kita masih berkemampuan tetapi Yang Berhormat b angkitkan tadi what’s wrong what went wrong. Jadi saya hendak kata what went wrong macam saya katakanlah, kita buat universiti ini untuk memberi peluang lebih ramai, lebih terbuka kepada anak-anak muda kita untuk mendapat ilmu pengetahuan peringkat tertiary.

Jadi jangan bimbanglah Yang Berhormat, saya tahu pihak PAS akan membuat tuduhan berkali-kali, kalulah kita kata buat Universiti Malaysia Kelantan misalnya, mereka akan kata juga, bolehkah mereka dapat pekerjaan? Ini berapa lagi universiti hendak buat.

Semalam kita tengok Universiti Malaysia Pahang pula, bila lagi kita hendak buat. Itu jangan bimbang Yang Berhormat, jangan takut dalam soal ini.

———–
Sewaktu mencelah YB Singai Petani membahaskan Rang Undang-Undang Agensi Kelayakan Malaysia 2007 pada 2 Julai 2007.

Dulu pimpin belia berdikari, sekarang pimpin belia pro kerajaan – fatah Haron

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang diPertua, terima kasih pihak kementerian. Adakah kerajaan sedar kedudukan belia-belia sekarang ini berbeza dengan belia-belia tahun 80-an dahulu. Walaupun sebahagian besar persatuan belia ini dipimpin oleh orang politik, tetapi pemimpin politik waktu itu memimpin belia ke arah berdikari bukan ke arah pro kerajaan.

Adakah kerajaan sedar di akhir-akhir ini semangat belia ini sudah luntur kerana campur tangan politik terlalu banyak sehingga semangat juang belia, semangat berdikari sudah lumpuh kerana pemimpin-pemimpin memberi gambaran seolah-olah apabila masuk persatuan belia kerajaan akan membantu seratus peratus kedudukan mereka. Ini menyebabkan lemahnya dan adakah kerajaan sedar bahayanya pemimpin-pemimpin khususnya UMNO yang memimpin Gerakan Belia termasuk Belia 4B dan MIC. Terima kasih.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan [Dato’ Liow Tiong Lai]: Saya rasa ini satu perkara yang tidak benar langsunglah dan secara tuduhan liar kerana niat itu tidak betul. Belia memang berdikari, belia berpersatuan dan pemimpin-pemimpinnya memainkan peranan yang penting di dalam pembangunan negara. Oleh itu, kementerian dan kerajaan sentiasa menggalakkan belia kita menyertai persatuan dan memainkan peranan yang penting untuk pembangunan negara.

Menjawab soalan asal Dato’ Tan Lian Hoe [Bukit Gantang] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan jumlah golongan belia di negara kita dan berapakah daripada jumlah ini yang telah mendaftarkan diri dalam persatuan-persatuan belia di negara kita serta apakah tindakan kementerian dalam perkara tersebut.
————-
Sesi Jawab Lisan pada 2 Julai 2007

Sehingga Jun 2006 77.6% graduan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam

Menteri Sumber Manusia, Datuk Lim Ah Lek berkata, mengikut maklumat yang diberikan oleh JPA sehingga Jun 2006 sejumlah 736,200 (77.6%) graduan Melayu yang diambil bekerja dalam sektor perkhidmatan awam daripada 947,875 tidak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM.

Daripada jumlah tersebut seramai Pengurusan Tertinggi (1,348 orang – 0.2%), Kumpulan Pengurusan dan Profesional (193,409 orang – 26.3%) dan selebihnya adalah Khidmat sokongan.

Datuk Lim berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) di Dewan Rakyat hari ini.

Dato’ Lim berkata, berdasarkan Laporan Annual Employment Return, Jabatan Tenaga Kerja, statistik sehingga kini berjumlah 3,308,140 (tempatan dan asing bagi semua kategori) daripada 752,144 majikan sektor swasta.

Daripada jumlah ini pekerja Melayu didalam kategori pegawai kanan, pengurus, profesional serta juruteknik adalah seramai 222,918 orang.

Sementara itu, mengikut Sistem Penjodohan Pekerjaan atau Job Clearing System (JCS) dibawah Bursa Buruh Elktronik, Kementerian Sumber Manusia menunjukkan seramai 6,239 pencari kerja graduan telah berjaya ditempatkan bagi tempoh 2004-2007.

Daripada jumlah ini graduan Melayu 5,728 orang (91.8%). Namun begitu angka ini hanya mencerminkan bilangan yang dilaporkan sahaja.

Salahuddin dalam soalan asalnya minta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah graduan Melayu yang diambil bekerja dalam perkhidmatan awam dan jumlah graduan Melayu yang diambil bekerja dalam sektor swasta.

Manakala