Dewan Rakyat: Soalan MP PAS 9 Julai 2007

Sesi Jawab Lisan – 10.30 pagi hingga 11.30 pagi

  • Soalan ke 21 – Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [ Pendang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
    a) jumlah penduduk yang terpaksa berpindah dari kampung mereka dalam projek penapisan minyak di Yan dan Bachok serta saluran paip merentasi Semenanjung; dan
    b) di mana mereka dipindahkan dan apakah kajian kesan alam sekitar dan impak sosial projek tersebut serta faedah jangka pendek dan panjang kepada penduduk terbabit.
  • Soalan ke 30 – Datin Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail [ Permatang Pauh ] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan memandangkan jurang pendapatan antara golongan mewah dan golongan miskin semakin meningkat, berapa ramai kewujudan pengemis kanak-kanak dan tindakan yang dilakukan bagi membasmi masalah ini.
  • Soalan ke 52 – Tuan Haji Abdul Fatah Bin Haji Harun [ Rantau Panjang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah kriteria yang perlu dipatuhi untuk Kerajaan mendapatkan pinjaman tambahan sedangkan hutang-hutang tertunggak masih banyak.
  • Soalan 59 – Tuan Haji Ismail Bin Noh [ Pasir Mas ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan apakah Kementerian sedar bahawa gejala mat rempit bertambah dari hari ke hari sehingga bilangan mereka terlalu besar di seluruh negara dan bagaimanakah untuk mengatasinya.
  • Perbahasan Rang Undang-Undang (Jam 11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 hingga 5.30 petang

  • Rang Undang-undang Penggalakan Pelaburan (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007
  • Rang Undang-undang Pilihan Raya (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Bank Islam (Pindaan) 2007
  • RM10.8j projek dilaksana semasa pilihanraya Ijok

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, jumlah sebenar nilai projek yang dilaksanakan semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok adalah sebanyak RM10.8 juta.

    Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan projek itu telah dirancang oleh Kerajaan Persekutuan sejak awal tahun lagi di bawah Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS).

    Kata beliau, projek-projek tersebut dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat.

    “Sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan projek tersebut bagi memastikan ia (projek) benar-benar memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

    Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam soalannya Salahuddin meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah peruntukan kerajaan yang digunakan untuk Dewan Undangan Negeri Ijok sepanjang pilihan raya kecil kawasan itu baru-baru ini.