Dewan Rakyat: Soalan MP PAS/ PKR 10 Julai 2007

Sesi Soalan Jawab Lisan – 10.00 pagi hingga 11.30 pagi

  • Soalan ke 7 – Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI KESELAMATAN DALAM NEGERI menyatakan apakah usaha-usaha bersepadu yang telah dijalankan untuk membendung peningkatan kes jenayah di negara ini.
  • Soalan ke 20 – Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan adakah RISDA dan FELCRA boleh memperuntukkan bantuan tanam semula kepada pekebun kecil bagi menyelesaikan masalah ketidakmampuan pekebun kecil membayar premium kepada Kerajaan Negeri.
  • Soalan ke 40 – Dato’ Kamarudin Bin Jaffar [ Tumpat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bilakah pembangunan koridor timur seperti yang diumumkan dalam bajet 2007 akan dilaksanakan.
  • Soalan ke 43 – Datin Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail [ Permatang Pauh ] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan :-
    a) apakah bukti-bukti bahawa 38 orang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang telah dikenal pasti berkempen untuk pembangkang dalam pilihan raya kecil Machap dan Ijok ; dan
    b) sila nyatakan universiti para pelajar tersebut.
  • Soalan ke 49 – Tuan Haji Ismail Bin Noh [ Pasir Mas ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan apakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk mengadakan kereta api laju dari Pantai Timur ke Pantai Barat, jikalau ada bilakah perlaksanaannya.
  • Perbahasan Rang Undang-Undang (11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang)

  • Rang Undang-undang Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007
  • Rang Undang-undang Pilihan Raya (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Bank Islam (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Takaful (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Bil Pertukaran (Pindaan) 2007
  • Kedua-dua Rang Undang-Undang akan dibawa ke sidang yang akang datang:

  • Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2007
  • Mesyuarat akan ditangguhkan sehingga 27 Ogos 2007.

    Penubuhan Perbadanan tidak menyelesaikan masalah PBT (Siri 1)

    Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya berterima kasih kerana dapat menyertai, membahas dalam Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang dibentangkan pada hari ini.

    Tuan Yang di-Pertua, saya melihat kedua-dua akta yang telah dibentang dan sedang dibahaskan ini sama ada pengurusan pepejal dan penubuhan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal ini pada hakikatnya tidak dapat menyelesaikan masalah kerajaan tempatan.

    Walaupun kita keluarkan sebahagian daripada tugas kerajaan tempatan ini tentang pungutan sampah dan pembersihan awam ini diletak di bawah satu perbadanan yang berasingan. Ianya tidak lari juga bebanan ini dalam menguatkuasakan nanti terletak kepada kerajaan tempatan juga sebagaimana yang ditegaskan oleh menteri tadi. Bagaimana perbadanan ini boleh memaksa kakitangan PBT ini untuk menguatkuasakan soal-soal yang bersangkut-paut dengan pembersihan awam dan sampah.

    Pada hakikatnya perbadanan ini tidak lebih daripada perbadanan-perbadanan yang lain, agensi lain kerana ia merupakan satu agensi yang white collar bukan blue collar. Orientasi perbadanan ini mestilah merupakan sebahagian daripada orientasi pegawai kerajaan yang tidak menumpu kepada kerja-kerja yang berbentuk profesional dan efficiency. Kalau kita tengok perbadanan yang lain sama ada SEDC, sama ada air, ianya merupakan white collar dan golongan white collar ini tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah masyarakat sebagaimana company dan syarikat-syarikat.

    Kalaulah Alam Flora dan juga Southern Waste Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat-syarikat yang telah diberi tugas dalam period ataupun peringkat interim gagal untuk melaksanakan ini kerana beberapa soal yang bersangkutan. Saya rasa perbadanan ini akan lebih sukar lagi. Kalau perbadanan ini hendak beri kontrak kepada Alam Flora dan juga Southern Waste Sdn. Bhd. atau lain-lain syarikat, saya percaya apa yang dialami oleh syarikat-syarikat tersebut tidak dapat diselesaikan oleh perbadanan ini.

    Sebagai Pengerusi Kerajaan Tempatan pada masa dulu, saya mempunyai pengalaman dalam masalah ini dengan pembentukan perbadanan ini tidak menyelesaikan masalah. Masalah yang ada di kerajaan tempatan ini, saya mengambil peluang ini Tuan Yang diPertua ialah masalah pertama sekali Yang di-Pertua PBT itu sendiri. Mengikut Akta 171 sekarang ini, PBT ini dilantik daripada pegawai daerah apabila hasil itu kurang daripada RM5 juta setahun ataupun sekarang ini naik RM10 juta setahun.

    Pegawai daerah ini dia memberi tugas yang banyak, dia menghadiri mesyuarat-mesyuarat sebulan iaitu 33 kali, kita ada 20 hari sahaja hari bekerja. Jadi bagaimana dia hendak menumpukan kepada soal-soal PBT ini sebagai Yang di-Pertua. Jadi ini yang kena diselesaikan oleh menteri, bagaimana Akta 171 ini dapat dipinda, jawatan Yang di-Pertua itu lebih terbuka bukan jawatan yang mesti pegawai daerah itu sendiri yang menjadinya.

    Begitu juga bagaimana hendak menaikkan kewangan meningkatkan kewangan daripada dipungut oleh PBT ini sendiri apabila satu-satu permohonan PBT untuk perluasan kawasan itu memakan masa tidak kurang daripada dua tahun, tiga tahun. Seperti saya kata Majlis Daerah Pasir Mas, kawasannya sangat sempit, bebanannya sangat besar, permohonan untuk meluaskan kawasan itu memakan masa empat, lima tahun tidak lulus lagi. Bagaimana kewangan ini hendak menjana kewangan daripada premis cukai pintu yang ada di kawasan itu kalau hanya 300 meter sahaja daripada jalan besar itu, itulah yang dimasukkan ke dalam kawasan PBT.

    Lebih daripada itu dimasukkanlah katakanlah diluluskan kawasan PBT itu lebih luas daripada 300 meter daripada jalan besar tetapi tidak dikuatkuasakan untuk pungutan hasil untuk pungutan sampah dan sebagainya, tidak dikenakan cukai pintu dan sebagainya. Red tape ini mesti diselesaikan lebih dahulu oleh menteri.

    Yang kedua Tuan Yang di-Pertua, kakitangan yang ada di dalam PBT ini sendiri. Mengikut akta 171 kerajaan negeri pun tidak mempunyai kuasa penuh terhadap pelantikanpelantikan pegawai-pegawai yang ada di dalam sesuatu PBT. Saya ingat Tangga Batu ini lebih arif sebab dia Yang Dipertua. Saya rasa dia arif mengenai masalah ini.
    //LAGI BERSAMBUNG
    ———————
    Ucapan membahaskan Rang Undang-Undang Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 4 Julai 2007, ms 66

    Sejauhmana pemantauan dan penguatkuasaan terhadap Alam Flora dan Southen Waste?

    Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi, saya cuma ingin membangkitkan sedikit tentang fasal 3 yang semua maklum Kerajaan Persekutuan apabila akta ini mula berkuat kuasa, mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara yang berhubung kait dengan pengurusan sisa pepejal dan pemeriksaan awam di seluruh Malaysia.

    Di sini saya ingin bertanya kepada pihak menteri, apabila kita telah mengambil kuasa ini dan saya sebelum ini pun kita faham tentang falsafah dan matlamat pengambilan alih ini ialah kerana disebabkan faktor ketidakmampuan hampir semua PBT di seluruh negara yang menyebabkan akta ini dibawa ke dalam Parlimen.

    Saya difahamkan bahawa bantuan yang telah disalurkan oleh pihak kementerian kepada kesemua PBT di seluruh negara ini telah bermula daripada Rancangan Malaysia Keenam dan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, siling yang diluluskan adalah sebanyak RM3.3 bilion. Menunjukkan satu peruntukan yang begitu besar yang telah pun disalurkan dan akan disalurkan oleh pihak kementerian kepada semua PBT di seluruh negara.

    Perkara yang ingin saya tanyakan, apabila berkuat kuasa sahaja seksyen 3 ini, apakah tindakan pihak kementerian terhadap kesemua ataupun sebahagian besar daripada PBT-PBT yang tidak dapat menjalankan tugas mereka sebelum daripada ini? Sebagai contoh, ingin saya membawa kepada suatu maklumat di mana walaupun sehingga tahun 2005 sebagai contoh, kementerian telah memberikan peruntukan kewangan lebih kurang RM50 juta kepada pihak PBT ini, tetapi hasilnya adalah berlaku tunggakan bagi sektor, kita lihat, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang kepada Alam Flora, kita dapati jumlah tunggakan hutang sebanyak lebih kurang RM79 juta.

    Bagi sektor Johor, Melaka dan Negeri Sembilan apabila diberikan kepada Southern Waste Management Sdn. Bhd., tunggakan lebih kurang RM84 juta, di mana kita melihat keseluruhan hutang ini adalah lebih kurang RM163 juta. Ini adalah menggambarkan betapa tidak efisiennya pengurusan ini dan apakah apabila kuasa ini tidak diberikan, diambil alih oleh Kerajaan Pusat, maka mekanismenya, adakah sumber tenaga manusia yang sama akan digunakan. Ini yang menjadi persoalan.

    Kalau ketidakcekapan berlaku, adakah kementerian boleh memberikan suatu jaminan dalam Dewan yang mulia ini, boleh identify dan verify dalam Dewan yang mulia ini, maka apa sebenarnya yang menyebabkan ketidakcekapan ini berlaku, yang menyebabkan rang undang-undang ini dibawa ke dalam Parlimen ini.

    Adakah kerana berlakunya rasuah yang begitu luas, berlakunya ketidakcekapan disebabkan tidak ada satu pengurusan yang efisien, satu pengurusan yang proaktif, yang telah dibuat sebelum daripada ini ataupun apa sebenarnya yang berlaku?

    What went wrong yang menyebabkan ini berlaku, kerana kita akan membelanjakan wang yang begitu besar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan ini iaitu sebanyak RM3.3 bilion. Tuan Pengerusi, yang kedua tentang seksyen 4 yang saya rasa perlu dibaca bersekali dengan seksyen 30 tentang kuasa seperti yang disebut oleh sahabat kita dari Kota Bharu tadi atas nama menteri, the good faith, kita tidak boleh bersangka buruk, kita mesti bersangka baik tentang kuasa menteri ini.

    Dahulu pun bila kita bahas tentang rang undang-undang tentang air, sebagai contoh, menteri beri jaminan tidak akan menaikkan tarif air, tetapi apabila lulus sahaja akta itu dalam Parlimen, keesokan harinya menteri menjawab, “Saya tidak ada kuasa. Saya tidak boleh memberikan sebarang jaminan bahawa tidak berlakunya kenaikan harga air dan seumpamanya ini.”

    Dalam masa seminggu kita melihat berlakunya satu perubahan sikap yang tidak konsisten terhadap apa yang dijanjikan dalam Parlimen. Adakah tentang fi ini, sebagai contoh, seksyen 4 yang saya rasa perlu dibaca bersekali dengan seksyen 30, di mana kita lihat kemungkinan ini akan berlaku memandangkan seksyen 30 di dalam Rang Undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan seksyen 17.

    Saya baca bersekali, Rang Undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dengan jelas memperuntukkan bahawa menteri melalui Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam boleh mengenakan fi, caj dan bayaran perkhidmatan bagi apa-apa perkhidmatan yang diberikan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini.

    Tuan Pengerusi, akhir sekali di bawah seksyen ini juga, fasal ini juga, saya ingin bertanya sejauh manakah pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak kementerian terhadap syarikat-syarikat ataupun konsesi yang telah diberikan mereka mandat sebelum daripada ini, iaitu seperti Alam Flora dan Southern Waste ini.

    Adakah mereka juga telah dinilai kecekapan mereka? Andai katalah ada satu laporan ataupun mungkin Kertas Putih untuk dibentangkan dalam Parlimen ini tentang prestasi mereka, apa yang mereka telah buat, adakah telah diambil kira semua rungutan penduduk, khususnya di Kuala Lumpur sendiri tentang perkara ini, dan satu kes yang berlaku yang saya terima maklumat oleh saudara saya di Batu Pahat tentang satu kes yang berlaku di Kampung Bukit Seri Wangi di Parit Yani.

    Hari ini penduduk terpaksa bergilir-gilir semacam mengadakan Rukun Tetangga, jaga lori untuk masuk dalam kawasan pembuangan sampah yang seluas lima ekar ini, yang telah menyebabkan satu masalah besar kepada empat buah kampung di sekitar Kampung Parit Yani ini. Ini yang saya melihat tentang bagaimanakah kegagalan-kegagalan ini perlu diurus dengan baik, kerana saya melihat bahawa peruntukan ini bukan sedikit dan rang undang-undang ini telah diberikan kuasa yang begitu mutlak dan penuh kepada pihak kementerian. Terima kasih.
    ————–
    Ucapan pada Perbahasan peringkat Jawatankuasa RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 4 Julai 2007, ms 45

    “yang cukup merunsingkan kita, kuasa untuk mengenakan caj”, tanya Dr Hayati

    Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hendak masuk kepada fasal 2 berhubung dengan kacau ganggu. Dinyatakan di sini kacau ganggu mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam seksyen 2 Akta Kerajaan Tempatan iaitu Akta 171. Apabila kita semak kepada Akta 171 ini, kacau ganggu ini bermaksud masalah kepada bunyi, kepada bau dan juga kepada penglihatan.

    Jadi saya hendak mendapat penjelasan daripada kementerian, apakah bunyi dan cahaya dimasukkan juga ke dalam akta ataupun diambil tindakan di bawah fasal 2 akta yang kita luluskan pada persidangan ini. Kerana memang bau semua orang tidak suka, bunyi memang menjadi masalah kepada mereka yang tinggal di bandar-bandar besar dan juga di kawasan-kawasan yang menjadi tempat perlumbaan mat-mat rempit.

    Apakah ini juga dimasukkan kerana disebut digunakan bersekali dengan Akta 171. Begitu juga dengan cahaya, misalnya tempat yang mempunyai cahaya yang merosakkan pandangan, apakah ini boleh dikategorikan sebagai satu perkara yang boleh diambil tindakan dalam akta yang diluluskan ini.

    Kemudian berhubung dengan kitar semula iaitu memungut dan mengasingkan sisa pepejal, siapakah yang berhak menjalankan kerja-kerja ini. Kalaulah penghuni ataupun penduduk itu menjalankan kerja mengasing dan juga memungut, apakah mereka ini akan dikecualikan daripada bayaran-bayaran tertentu seperti caj dan juga fi yang dikenakan di dalam akta ini.

    Kemudian pegawai yang diberi kuasa, saya hendak sentuh tentang tugas pegawai kesihatan ataupun pegawai perubatan yang berada di dalam PBT. Apakah mereka, pegawai-pegawai perubatan ini akan diserapkan secara automatik menjadi anggota perbadanan yang akan dibentuk dalam rang undang-undang ini.

    Kemudian khidmat pengurusan dan pembersihan awam. Kita tahu dua hari lepas Majlis Perbandaran Subang Jaya telah membenarkan restoran-restoran menggunakan kaki lima dan juga jalan sebagai tempat makan dengan meletakkan meja-meja mereka.

    Seawalnya ia merupakan tempat awam yang diuruskan oleh konsesi yang dilantik oleh perbadanan ini, tetapi apabila dibenarkan menggunakan kaki lima, apakah ini masih menjadi hak awam ataupun ia sudah menjadi hak private, hak persendirian restoran berkenaan kerana ia dibenarkan digunakan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dan juga majlis-majlis perbandaran ataupun PBT-PBT yang lain.

    Dalam fasal 4, perjanjian dengan mana-mana orang yang memberi kuasa. Ini sebenarnya antara kerajaan dengan perbadanan dan juga konsesi. Apakah ini juga turun ke bawah, maknanya di antara pemegang konsesi ataupun perbadanan dengan rakyat yang diberi khidmat oleh pemegang konsesi ini, kerana kita tahu caj boleh dipungut apabila adanya perjanjian.

    Misalnya kita dikenakan caj oleh TNB, JKR yang membekalkan air ataupun Indah Water dikenakan perjanjian dengan pengguna. Jadi apabila menggunakan perjanjian, maknanya pengguna tertakluk kepada syarat-syarat dan dikenakan bayaran. Apakah ini juga tertakluk kepada perjanjian di antara pemegang konsesi ataupun perbadanan dengan pengguna di peringat bawahan?

    Fasal 5 iaitu Ketua Pengarah boleh memberikan kuasa kepada pegawai-pegawai di bawah untuk mewakili dia. Saya takut apabila kebenaran ini diberi secara yang bebas, maknanya ketua pengarah itu tidak payah buat kerjalah setiap kali mesyuarat, setiap kali apa-apa perbincangan diserahkan kepada orang bawah dia. Jadi maknanya berapa kalikah, berapa kerapkah ketua pengarah boleh memberikan kuasa kepada orang bawahan.

    Fasal 30 memang seperti mana yang disebutkan oleh ramai Ahli Yang Berhormat, inilah yang cukup merunsingkan kita, kuasa untuk mengenakan caj memang dalam masa dua tahun tidak kena, tetapi selepas ini mungkin macam yang disebutkan oleh Kubang Kerian dan juga Ipoh Barat tadi, inilah yang merisaukan kita tentang caj-caj yang bakal dikenakan.

    Kemudian fasal 34, jenis dan takat perkhidmatan. Ini memang satu perkara yang subjektif. Adakah sampah yang dikutip itu ditimbang, diukur, disukat ataupun bagaimana sebelum caj-caj ataupun levi dan juga fi akan dikenakan kerana mungkin dari segi cecair, ia diukur isi padu, dari segi benda yang berjisim, diukur berat ataupun bagaimanakah dalam fasal 34 ini jenis dan takat perkhidmatan yang diberikan.

    Apakah ia diukur dulu baru dikenakan caj ataupun bayaran dan 31 notis dalam masa 14 hari untuk dikenakan caj. Ini juga merupakan suatu perkara yang perlu diletakkan di dalam notis iaitu sebanyak mana sampah yang dikeluarkan atau dibuang oleh penghuni semasa dia menerima notis tersebut. Ini kerana kalau sekiranya dikenakan caj dia kena tahu berapa banyak, macam kita menggunakan air berapa banyak yang digunakan baru kita di caj terhadap
    penggunaan air tersebut.

    Fasal 102, berhubung dengan deposit iaitu barangan yang diambil semula oleh pengeluar, pengedar syarikat dia akan dikenakan deposit. Cerita mengenai deposit ini memang telah lama, orang kata kita berpengalaman. Kalau dulu kita beli air lemonade dikenakan deposit untuk botol ataupun beli biskut satu tin dikenakan deposit sebanyak RM5. Apakah ini juga akan
    berfungsi sebegitu?

    Seandainya kita beli barang di Kuala Lumpur dan bawa balik ke Kota Bharu, kita dikenakan deposit, apakah kita terpaksa pulangkan barang itu ke Kuala Lumpur balik sebelum kita mendapat deposit tersebut? Ini persoalan-persoalan yang saya rasa perlu dijawab oleh kementerian. Terima kasih.
    ——————
    Ucapan pada peringkat Jawatankuasa mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 4 Julai 2007 ms 47