Sejauhmana pemantauan dan penguatkuasaan terhadap Alam Flora dan Southen Waste?

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi, saya cuma ingin membangkitkan sedikit tentang fasal 3 yang semua maklum Kerajaan Persekutuan apabila akta ini mula berkuat kuasa, mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara yang berhubung kait dengan pengurusan sisa pepejal dan pemeriksaan awam di seluruh Malaysia.

Di sini saya ingin bertanya kepada pihak menteri, apabila kita telah mengambil kuasa ini dan saya sebelum ini pun kita faham tentang falsafah dan matlamat pengambilan alih ini ialah kerana disebabkan faktor ketidakmampuan hampir semua PBT di seluruh negara yang menyebabkan akta ini dibawa ke dalam Parlimen.

Saya difahamkan bahawa bantuan yang telah disalurkan oleh pihak kementerian kepada kesemua PBT di seluruh negara ini telah bermula daripada Rancangan Malaysia Keenam dan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, siling yang diluluskan adalah sebanyak RM3.3 bilion. Menunjukkan satu peruntukan yang begitu besar yang telah pun disalurkan dan akan disalurkan oleh pihak kementerian kepada semua PBT di seluruh negara.

Perkara yang ingin saya tanyakan, apabila berkuat kuasa sahaja seksyen 3 ini, apakah tindakan pihak kementerian terhadap kesemua ataupun sebahagian besar daripada PBT-PBT yang tidak dapat menjalankan tugas mereka sebelum daripada ini? Sebagai contoh, ingin saya membawa kepada suatu maklumat di mana walaupun sehingga tahun 2005 sebagai contoh, kementerian telah memberikan peruntukan kewangan lebih kurang RM50 juta kepada pihak PBT ini, tetapi hasilnya adalah berlaku tunggakan bagi sektor, kita lihat, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang kepada Alam Flora, kita dapati jumlah tunggakan hutang sebanyak lebih kurang RM79 juta.

Bagi sektor Johor, Melaka dan Negeri Sembilan apabila diberikan kepada Southern Waste Management Sdn. Bhd., tunggakan lebih kurang RM84 juta, di mana kita melihat keseluruhan hutang ini adalah lebih kurang RM163 juta. Ini adalah menggambarkan betapa tidak efisiennya pengurusan ini dan apakah apabila kuasa ini tidak diberikan, diambil alih oleh Kerajaan Pusat, maka mekanismenya, adakah sumber tenaga manusia yang sama akan digunakan. Ini yang menjadi persoalan.

Kalau ketidakcekapan berlaku, adakah kementerian boleh memberikan suatu jaminan dalam Dewan yang mulia ini, boleh identify dan verify dalam Dewan yang mulia ini, maka apa sebenarnya yang menyebabkan ketidakcekapan ini berlaku, yang menyebabkan rang undang-undang ini dibawa ke dalam Parlimen ini.

Adakah kerana berlakunya rasuah yang begitu luas, berlakunya ketidakcekapan disebabkan tidak ada satu pengurusan yang efisien, satu pengurusan yang proaktif, yang telah dibuat sebelum daripada ini ataupun apa sebenarnya yang berlaku?

What went wrong yang menyebabkan ini berlaku, kerana kita akan membelanjakan wang yang begitu besar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan ini iaitu sebanyak RM3.3 bilion. Tuan Pengerusi, yang kedua tentang seksyen 4 yang saya rasa perlu dibaca bersekali dengan seksyen 30 tentang kuasa seperti yang disebut oleh sahabat kita dari Kota Bharu tadi atas nama menteri, the good faith, kita tidak boleh bersangka buruk, kita mesti bersangka baik tentang kuasa menteri ini.

Dahulu pun bila kita bahas tentang rang undang-undang tentang air, sebagai contoh, menteri beri jaminan tidak akan menaikkan tarif air, tetapi apabila lulus sahaja akta itu dalam Parlimen, keesokan harinya menteri menjawab, “Saya tidak ada kuasa. Saya tidak boleh memberikan sebarang jaminan bahawa tidak berlakunya kenaikan harga air dan seumpamanya ini.”

Dalam masa seminggu kita melihat berlakunya satu perubahan sikap yang tidak konsisten terhadap apa yang dijanjikan dalam Parlimen. Adakah tentang fi ini, sebagai contoh, seksyen 4 yang saya rasa perlu dibaca bersekali dengan seksyen 30, di mana kita lihat kemungkinan ini akan berlaku memandangkan seksyen 30 di dalam Rang Undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan seksyen 17.

Saya baca bersekali, Rang Undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dengan jelas memperuntukkan bahawa menteri melalui Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam boleh mengenakan fi, caj dan bayaran perkhidmatan bagi apa-apa perkhidmatan yang diberikan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini.

Tuan Pengerusi, akhir sekali di bawah seksyen ini juga, fasal ini juga, saya ingin bertanya sejauh manakah pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak kementerian terhadap syarikat-syarikat ataupun konsesi yang telah diberikan mereka mandat sebelum daripada ini, iaitu seperti Alam Flora dan Southern Waste ini.

Adakah mereka juga telah dinilai kecekapan mereka? Andai katalah ada satu laporan ataupun mungkin Kertas Putih untuk dibentangkan dalam Parlimen ini tentang prestasi mereka, apa yang mereka telah buat, adakah telah diambil kira semua rungutan penduduk, khususnya di Kuala Lumpur sendiri tentang perkara ini, dan satu kes yang berlaku yang saya terima maklumat oleh saudara saya di Batu Pahat tentang satu kes yang berlaku di Kampung Bukit Seri Wangi di Parit Yani.

Hari ini penduduk terpaksa bergilir-gilir semacam mengadakan Rukun Tetangga, jaga lori untuk masuk dalam kawasan pembuangan sampah yang seluas lima ekar ini, yang telah menyebabkan satu masalah besar kepada empat buah kampung di sekitar Kampung Parit Yani ini. Ini yang saya melihat tentang bagaimanakah kegagalan-kegagalan ini perlu diurus dengan baik, kerana saya melihat bahawa peruntukan ini bukan sedikit dan rang undang-undang ini telah diberikan kuasa yang begitu mutlak dan penuh kepada pihak kementerian. Terima kasih.
————–
Ucapan pada Perbahasan peringkat Jawatankuasa RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 4 Julai 2007, ms 45

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: