“yang cukup merunsingkan kita, kuasa untuk mengenakan caj”, tanya Dr Hayati

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hendak masuk kepada fasal 2 berhubung dengan kacau ganggu. Dinyatakan di sini kacau ganggu mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam seksyen 2 Akta Kerajaan Tempatan iaitu Akta 171. Apabila kita semak kepada Akta 171 ini, kacau ganggu ini bermaksud masalah kepada bunyi, kepada bau dan juga kepada penglihatan.

Jadi saya hendak mendapat penjelasan daripada kementerian, apakah bunyi dan cahaya dimasukkan juga ke dalam akta ataupun diambil tindakan di bawah fasal 2 akta yang kita luluskan pada persidangan ini. Kerana memang bau semua orang tidak suka, bunyi memang menjadi masalah kepada mereka yang tinggal di bandar-bandar besar dan juga di kawasan-kawasan yang menjadi tempat perlumbaan mat-mat rempit.

Apakah ini juga dimasukkan kerana disebut digunakan bersekali dengan Akta 171. Begitu juga dengan cahaya, misalnya tempat yang mempunyai cahaya yang merosakkan pandangan, apakah ini boleh dikategorikan sebagai satu perkara yang boleh diambil tindakan dalam akta yang diluluskan ini.

Kemudian berhubung dengan kitar semula iaitu memungut dan mengasingkan sisa pepejal, siapakah yang berhak menjalankan kerja-kerja ini. Kalaulah penghuni ataupun penduduk itu menjalankan kerja mengasing dan juga memungut, apakah mereka ini akan dikecualikan daripada bayaran-bayaran tertentu seperti caj dan juga fi yang dikenakan di dalam akta ini.

Kemudian pegawai yang diberi kuasa, saya hendak sentuh tentang tugas pegawai kesihatan ataupun pegawai perubatan yang berada di dalam PBT. Apakah mereka, pegawai-pegawai perubatan ini akan diserapkan secara automatik menjadi anggota perbadanan yang akan dibentuk dalam rang undang-undang ini.

Kemudian khidmat pengurusan dan pembersihan awam. Kita tahu dua hari lepas Majlis Perbandaran Subang Jaya telah membenarkan restoran-restoran menggunakan kaki lima dan juga jalan sebagai tempat makan dengan meletakkan meja-meja mereka.

Seawalnya ia merupakan tempat awam yang diuruskan oleh konsesi yang dilantik oleh perbadanan ini, tetapi apabila dibenarkan menggunakan kaki lima, apakah ini masih menjadi hak awam ataupun ia sudah menjadi hak private, hak persendirian restoran berkenaan kerana ia dibenarkan digunakan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dan juga majlis-majlis perbandaran ataupun PBT-PBT yang lain.

Dalam fasal 4, perjanjian dengan mana-mana orang yang memberi kuasa. Ini sebenarnya antara kerajaan dengan perbadanan dan juga konsesi. Apakah ini juga turun ke bawah, maknanya di antara pemegang konsesi ataupun perbadanan dengan rakyat yang diberi khidmat oleh pemegang konsesi ini, kerana kita tahu caj boleh dipungut apabila adanya perjanjian.

Misalnya kita dikenakan caj oleh TNB, JKR yang membekalkan air ataupun Indah Water dikenakan perjanjian dengan pengguna. Jadi apabila menggunakan perjanjian, maknanya pengguna tertakluk kepada syarat-syarat dan dikenakan bayaran. Apakah ini juga tertakluk kepada perjanjian di antara pemegang konsesi ataupun perbadanan dengan pengguna di peringat bawahan?

Fasal 5 iaitu Ketua Pengarah boleh memberikan kuasa kepada pegawai-pegawai di bawah untuk mewakili dia. Saya takut apabila kebenaran ini diberi secara yang bebas, maknanya ketua pengarah itu tidak payah buat kerjalah setiap kali mesyuarat, setiap kali apa-apa perbincangan diserahkan kepada orang bawah dia. Jadi maknanya berapa kalikah, berapa kerapkah ketua pengarah boleh memberikan kuasa kepada orang bawahan.

Fasal 30 memang seperti mana yang disebutkan oleh ramai Ahli Yang Berhormat, inilah yang cukup merunsingkan kita, kuasa untuk mengenakan caj memang dalam masa dua tahun tidak kena, tetapi selepas ini mungkin macam yang disebutkan oleh Kubang Kerian dan juga Ipoh Barat tadi, inilah yang merisaukan kita tentang caj-caj yang bakal dikenakan.

Kemudian fasal 34, jenis dan takat perkhidmatan. Ini memang satu perkara yang subjektif. Adakah sampah yang dikutip itu ditimbang, diukur, disukat ataupun bagaimana sebelum caj-caj ataupun levi dan juga fi akan dikenakan kerana mungkin dari segi cecair, ia diukur isi padu, dari segi benda yang berjisim, diukur berat ataupun bagaimanakah dalam fasal 34 ini jenis dan takat perkhidmatan yang diberikan.

Apakah ia diukur dulu baru dikenakan caj ataupun bayaran dan 31 notis dalam masa 14 hari untuk dikenakan caj. Ini juga merupakan suatu perkara yang perlu diletakkan di dalam notis iaitu sebanyak mana sampah yang dikeluarkan atau dibuang oleh penghuni semasa dia menerima notis tersebut. Ini kerana kalau sekiranya dikenakan caj dia kena tahu berapa banyak, macam kita menggunakan air berapa banyak yang digunakan baru kita di caj terhadap
penggunaan air tersebut.

Fasal 102, berhubung dengan deposit iaitu barangan yang diambil semula oleh pengeluar, pengedar syarikat dia akan dikenakan deposit. Cerita mengenai deposit ini memang telah lama, orang kata kita berpengalaman. Kalau dulu kita beli air lemonade dikenakan deposit untuk botol ataupun beli biskut satu tin dikenakan deposit sebanyak RM5. Apakah ini juga akan
berfungsi sebegitu?

Seandainya kita beli barang di Kuala Lumpur dan bawa balik ke Kota Bharu, kita dikenakan deposit, apakah kita terpaksa pulangkan barang itu ke Kuala Lumpur balik sebelum kita mendapat deposit tersebut? Ini persoalan-persoalan yang saya rasa perlu dijawab oleh kementerian. Terima kasih.
——————
Ucapan pada peringkat Jawatankuasa mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 4 Julai 2007 ms 47

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: