Penubuhan Perbadanan tidak menyelesaikan masalah PBT (Siri 2)

Oleh Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman
Tuan Yang di-Pertua,
jadi pegawai-pegawai ini merupakan segolongan pegawai yang kerajaan negeri pun tidak mempunyai kuasa, cuma ada kuasa dalam beberapa peringkat kerani yang dipinjamkan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan tempatan. Kerajaan Persekutuan pun tidak ada kuasa.

Dahulu ada cubaan daripada menteri yang ada sekarang ini untuk mengubah akta 171 ini tetapi gagal, iaitu untuk membentuk satu PBT yang sebahagiannya pegawai teknikal yang bergaji mahal ini dipinjamkan kepada agensi Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan menghantarkan engineer, teknikal dan apa-apa pegawai yang mempunyai gaji yang besar ini dan mempunyai kepakaran ini kepada PBT tetapi gagal. Kerajaan negeri hanya menghantarkan pegawai-pegawai pentadbiran itu pun gagal.

Jadi di dalam roh PBT ini, seharusnya pegawai-pegawai ini boleh ditukar sekurang-kurangnya di antara PBT-PBT yang ada di dalam negeri tersebut supaya semangat kerjanya dan supaya kecemuhan hidup dalam satu PBT ini dapat dikeluarkan kepada PBT lain. Semangat ini akan berkobar semula.

Jadi kalau 20 tahun duduk dalam satu PBT tak ada apa-apa yang boleh dibuat, ini tidak produktif, tidak ada penghasilan yang dibuat. Jadi kalau boleh Yang Berhormat Menteri tengok ini dahulu. Di antara pegawai-pegawai yang akan dipindah mungkin saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri, ini mengikut akta ini bagaimana pegawai-pegawai yang ada sekarang ini, yang berkhidmat di bawah PBT dalam bahagian pungutan sampah dan pembersihan ini boleh dipindahkan kepada perbadanan. Adakah mereka ini akan diberi opsyen? Adakah gaji mereka akan sama atau lebih baik?

Yang kedua, sekiranya perbadanan ini menolak bahawa pekerja ini malas mengikut rekod, tak sesuai tidak produktif, jadi apakah nasib pekerja ini. Berapakah jumlah? Adakah soal-soal perbincangan dengan PBT ini telah dibuat sedangkan perbincangan ini ada di bawah kuasa PBT tidak di bawah kuasa kerajaan negeri dan tidak di bawah kuasa kementerian.

Yang ketiga, kalau ada opsyen saya minta penjelasan ini. Walaupun tak ada lagi tetapi sudah tentu ada dalam fikiran menteri jadual-jadual pemindahan pekerja ini sama ada akan jadi tetap ataupun akan jadi kontrak, sama ada mereka berpencen ataupun kerja itu seperti hire and fire. Adakah itu sistem yang akan digunakan? Kita memberi jawatan kepada mereka tapi kalau tidak produktif kita buang. Itu hire and fire. Itu biasanya digunakan oleh banyak perbadanan di Malaysia ini sendiri. Adakah perbadanan ini akan menggunakan kaedah itu?

Yang keempat, Yang Berhormat Menteri, harta ini dalam bahagian II perbadanan di bawah (a) dan (b). Di bawah (b) kontrak dan berkenaan harta alih dan tak alih. Banyak harta di bawah PBT sekarang ini jadi tempat pelupusan sampah. Harta ini bukan harta PBT sebenarnya. Mungkin ada sebahagian harta PBT, tetapi ia harta kerajaan negeri iaitu tanahtanah yang dirizabkan untuk pelupusan sampah seperti di Pengkalan Chepa adalah 10 ekar tanah tapi bukan tanah PBT. Bagaimana tempat pelupusan sampah ini perbadanan hendak ambil. Adakah kuasa-kuasa perbadanan boleh memaksa kerajaan negeri yang dari segi perlembagaannya mempunyai hak mutlak di atas tanah ini.

Saya buat contoh, misalnya Jemaah Menteri sendiri telah membuat satu keputusan supaya taman-taman awam ini diserah kepada PBT melalui kerajaan negeri tetapi dia tak jalan. Tak jalan sebab Akta Tanah Negara sebelum tahun 1990 tidak mewajibkan pemaju-pemaju itu menyerahkan tanah lapang itu kepada kerajaan negeri. Jadi kalau hendak tanah lapang itu diserah kepada PBT pastinya kena bayar pampasan, kena buat require dan ini makan belanja berjuta-juta. Bagaimana hendak selesai ini. Ada satu lagi cara yang digunakan oleh Kerajaan
Persekutuan, iaitu bila hendak serah kepada perbadanan Kerajaan Persekutuan mengambil
tanah itu minta kerajaan negeri serah kepada tempat ini kepada Kerajaan Persekutuan dengan
bayaran token RM10. Adakah kaedah ini akan diguna?

Sepatutnya perbadanan ini beli tanah itu mengikut harga pasaran, dan kalau beli mengikut harga pasaran kerajaan negeri juga boleh untung kerana tiap-tiap tahun cukai tanah dapat dibayar kepada kerajaan negeri, kalau Kerajaan Persekutuan dia tak tolong kepada kerajaan negeri tapi hendak tolong syarikat-syarikat ini atau perbadanan ini. Dia memaksa kerajaan negeri menyerahkan tempat pelupusan sampah ini dengan harga token RM10. Apabila kerajaan negeri serah kepada Kerajaan Persekutuan maka Kerajaan Persekutuan bagi sewa RM10 juga kepada perbadanan. Adakah itu caranya? Kalau cara ini bukan sahaja tidak dapat manfaat kepada rakyat tetapi manfaat kepada syarikat perbadanan ini sendiri.

Yang kelima, Tuan Yang di-Pertua masalah kewangan. Kita dengar kelmarin bahawa menteri telah menyebut bahawa ada satu bilion peruntukan untuk perbadanan ini untuk tempoh mungkin dua tahun. Selepas dua tahun ini saya percaya bahawa kerajaan tidak akan membuat satu bilion atau dua bilion lagi untuk perbadanan ini. Kalau kerajaan hendak buat, hendak bagi bantuan secara langsung tidak dipinjamkan kepada perbadanan ini, saya hendak tahu di bawah akta kewangan mana. //bersambung

—————-
Ucapan membahaskan Rang Undang-Undang Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 4 Julai 2007, ms 66

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: