Salahuddin kesal PM tidak ambilkira keselamatan rakyat

Ketua Whip PAS di Parlimen, Salahuddin Ayub kesal dengan sikap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang cuba meyakinkan rakyat tentang keselamatan negara ini tanpa mengambilkira kegelisahan dan keselamatan rakyat.

“Ketika rakyat sedang gelisah tentang keselamatan mereka berikutan dakwaan wujudnya kerjasama polis dengan sindiket jenayah terancang, adalah amat menghairankan apabila Perdana Menteri mendakwa Polis sentiasa menjalankan pemantauan kegiatan kumpulan gengster yang telah dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu di Dewan Negara, Perdana Menteri mendakwa, Polis sentiasa menjalankan pelbagai operasi bagi memastikan kegiatan gengsterisme tidak terus menular di kalangan masyarakat negara ini.

Menurut Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata Polis turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengekang budaya gengster khususnya di kalangan pelajar.

“Kerjasama daripada badan pertubuhan bukan kerajaan seperti Yayasan Pencegahan Jenayah turut memberikan peranan yang aktif dalam membendung kegiatan jenayah dan gangsterisme seperti mengadakan program berbentuk kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Dr. K. Raja Ram pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini, yang meminta Perdana Menteri menyatakan sebarang usaha lain bagi membendung ancaman gangsterisme selain tindakan polis.

Teruskan membaca