Terbukti Umno pindah pengundi, bila bantahan PAS diterima

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Terima kasih. Saya jangka SPR akan merombak keseluruhan kerana Pengerusi SPR sendiri pun tidak puas hati dengan kedudukan SPR terutamanya sekali tentang undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Rupa-rupanya ada dua, tiga bab sahaja yang dipinda. Itu termasuk kepada pindaan pada nama iaitu daripada “tempat mengundi” kepada “pusat mengundi” dan tambah beberapa jawatan di dalam SPR itu.

Walau bagaimanapun, saya bersetuju tentang penambahan pegawai-pegawai dan kakitangan di SPR sebagai orang yang bertanggungjawab tentang pendaftaran pengundi-pengundi baru khususnya. Akan tetapi, kita mesti ingat juga saranan atau pun hasrat Pengerusi SPR ini walaupun kadangkala fungsi SPR ini seolah-olah sebagai penasihat kepada UMNO, dalam hendak buat sesuatu pilihan raya ini…

Dato’ Paduka Haji Badruddin bin Amiruldin [Jerai]: Tuan Yang di-Pertua, sangka buruk. Sangka buruk. Yang Berhormat tidak boleh kata begitu. Dalam pilihan raya dia bukan bertanding atas UMNO, dia bertanding atas Barisan Nasional.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: …Waktu pilihan raya baru-baru ini. Fungsi SPR dua, tiga empat perkara. Di antaranya ialah Pengerusi SPR mengatakan, parti dirombak semula kerana sudah 50 tahun undang-undang ini. Undang-undang dan peraturan pilihan raya yang sudah berusia 50 tahun ketika negara mengalami ancaman komunis dahulu terlalu usang dan perlu dirombak. Pengerusi SPR juga mengatakan, undang-undang itu perlu dirombak secara drastik…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, pindaan ini semata-mata untuk kita bincangkan perkara berkaitan dengan pusat mengundi dan perkara-perkara yang lain.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Ya, ya. Okey. Saya hendak tarik perhatian oleh kerana terlalu sedikit perkara ini dirombak atau dipinda sepatutnya lebih banyak lagi kerana hasrat Pengerusi SPR sendiri pun memang sepatutnya dirombak di beberapa tempat lain.

Walau bagaimanapun oleh sebab pihak kerajaan merasakan memadailah ditokok tambah maka tidak apalah, saya bahas hal-hal ini.

Pertama, saya tidak percaya dengan penambahan pegawai ini walaupun saya setuju, gerak daftar pemilih secara gerak gempur khususnya tidak akan berjaya juga kerana saya yakin, saya percaya perkara ini berlaku kerana pemuda-pemuda atau pun mereka-mereka yang berumur 21 tahun ke atas ini sudah tidak percaya lagi kepada demokrasi yang ada di Malaysia ini. Kalau mereka daftar sekali pun sudah tentu berlaku penipuan seperti mana penipuan yang berlaku di beberapa pilihan raya yang lalu.

Sebab itu anak-anak muda kita tidak berminat untuk mendaftarkan diri walaupun pihak SPR telah berusaha bermacam-macam-macam cara untuk mendapatkan pendaftaran pengundi baru ini tetapi usaha ini gagal kerana saya katakan tadi ialah pengundi-pengundi itu sendiri atau baka
pengundi itu sendiri telah hilang keyakinan kepada kerajaan khususnya kepada SPR ini.

Saya minta supaya kerajaan juga melihat bagaimana cara kita hendak mengendalikan mereka-mereka yang telah pun mendaftar tetapi diberi peluang untuk tuntutan dan bantahan itu terlalu pendek masanya.

Masa hanya diberi seminggu sahaja. Sepatutnya masa tuntutan bantahan ini diberi panjang sedikit untuk memberi peluang kepada mereka yang akan memerhatikan, takut-takut berlaku pengundi-pengundi yang diimport dari tempat lain ke tempat yang lain.

Sekarang ini, musim ini ialah musim perbicaraan. Hak yang kita daftar baru-baru ini. Contohnya di Kelantan, UMNO memang tidak banyak membuat bantahan tuntutan ini kerana mereka yakin dan percaya PAS tidak ada mengimport pengundi-pengundi baru dari tempat lain tetapi PAS sendiri di Kelantan sekarang ini telah buat tuntutan bantahan dalam perbicaraan sekarang ini dan sudah lebih daripada 1,000 orang yang kita bantah dalam perbicaraan dan sudah lebih daripada 90% apa yang kita bantah itu dimenangi oleh pihak PAS kerana PAS bantah perkara yang betul-betul berlaku di mana UMNO cuba memindahkan pengundi-pengundi daripada kawasan lain ke kawasan yang mereka ingin tawan.

Apa yang mereka sebut baru-baru ini mengatakan bahawa pihak PAS akan memindah pengundi, rupa-rupanya tidak ada satu pun pemindahan berlaku, sebab itulah mereka tidak membantah pengundi-pengundi yang didaftar oleh PAS di Kelantan ini.

Saya cadangkan supaya meringankan lagi beban SPR ini daripada melantik pegawai sebagai pegawai pendaftaran, lebih baik menerima cadangan oleh sahabat-sahabat saya yang dahulu daripada ini dalam Parlimen ini supaya berlaku pendaftaran secara automatik kepada mereka yang sudah cukup umur 21 tahun, tetapi nampaknya pihak kerajaan masih lagi berdegil dan tidak mahu menerima cadangan ini walaupun mereka ini yakin apa yang diusahakan selama ini ialah tidak berjaya untuk mendaftar lebih ramai lagi pengundi-pengundi yang tidak mendaftar walaupun mereka sudah cukup umur.
Teruskan membaca

Boleh Kemukakan soalan untuk di bawa ke Dewan Rakyat

Mesyuarat Dewan Rakyat ketiga, Penggal keempat, Parlimen Ke 11 akan diadakan pada 27 Ogos hingga 13 Disember 2007.

Dewan Rakyat membenarkan setiap anggota Dewan mengemukakan 10 soalan untuk dijawab secara lisan dan 5 soalan untuk dijawab secara bertulis.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Parlimen PAS sedang mengumpul soalan-soalan Parlimen bagi sesi Dewan Rakyat akan datang untuk Ahli-Ahli Parlimen PAS untuk dikemukakan pada mesyuarat Dewan Rakyat yang akan datang

Bersama ini dilampirkan contoh soalan Ahli Parlimen PAS pada sesi yang lepas.

# Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI KESELAMATAN DALAM NEGERI menyatakan apakah usaha-usaha bersepadu yang telah dijalankan untuk membendung peningkatan kes jenayah di negara ini.

# Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan adakah RISDA dan FELCRA boleh memperuntukkan bantuan tanam semula kepada pekebun kecil bagi menyelesaikan masalah ketidakmampuan pekebun kecil membayar premium kepada Kerajaan Negeri.

# Dato’ Kamarudin Bin Jaffar [ Tumpat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bilakah pembangunan koridor timur seperti yang diumumkan dalam bajet 2007 akan dilaksanakan.

# Tuan Haji Ismail Bin Noh [ Pasir Mas ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan apakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk mengadakan kereta api laju dari Pantai Timur ke Pantai Barat, jikalau ada bilakah perlaksanaannya.

# Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [ Pendang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
a) jumlah penduduk yang terpaksa berpindah dari kampung mereka dalam projek penapisan minyak di Yan dan Bachok serta saluran paip merentasi Semenanjung; dan
b) di mana mereka dipindahkan dan apakah kajian kesan alam sekitar dan impak sosial projek tersebut serta faedah jangka pendek dan panjang kepada penduduk terbabit.

# Tuan Haji Abdul Fatah Bin Haji Harun [ Rantau Panjang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah kriteria yang perlu dipatuhi untuk Kerajaan mendapatkan pinjaman tambahan sedangkan hutang-hutang tertunggak masih banyak.

Selain soalan, pandangan dan cadangan bolehlah dikemukakan kepada Ahli-ahli Parlimen untuk dipanjangkan kepada kerajaan dalam bentuk usul dan sebagainya.

Justeru itu, bagi pihak Ahli-Ahli Parlimen PAS memohon kerjasama bagi pihak tuan-puan semua untuk menyumbang satu atau dua soalan. Sekira soalan anda dipilih, soalan itu akan dijawab oleh Menteri/Timbalan Menteri di Dewan Rakyat pada sesi soal-jawab.

Pada kebiasaannya kerajaaan akan menyediakan jawapan secara bertulis sekiranya Menteri/ Timbalan Menteri tidak hadir atau masa yang ditetapkan untuk sesi soal jawab lisan ditamatkan

Sila hantar kepada Jabatan Hal Ehwal Parlimen menerusi email Ahli Parlimen PAS selewat-lewatnya pada 31 Julai 2007 (Selasa).

Segala kerjasama tuan-puan dan anda semua didahului dengan ucapan terima kasih.

bagi pihak,
Salahuddin Haji Ayub,
Ketua Whip PAS di Parlimen

Dr Hayati turut prihatin dengan pesakit kronik


Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati tidak lekang dengan aktiviti kebajikannya. Terkini beliau mengunjungi Puan Fadhilah bt Hassan yang mengidap barah thyroid dan menjangkiti otak.

Puan Fadhilah telah menjalani pembedahan otak dan memerlukan rawatan lanjutan serta beliau juga mempunyai seorang anak yang cacat berusia 6 tahun.

Beliau menyampaikan sumbangan bagi pihak Tabung Kemiskinan Harakah berjumlah RM1,000.00 dan berharap sumbangan itu dapat meringankan bebanan keluarga berkenaan.

Suami beliau, En Abd Halim bekerja sendiri berkata beliau terpaksa berbelanja RM200.00 setiap kali mendapat rawatan isterinya di Pulau Pinang.


Pada 12 Julai 2007, setelah pulang dari persidangan parlimen yang berakhir pada 10 Julai, beliau terus menziarahi En Abu Hassan di rumah beliau di kampong Dudang, Mukim Padang Pusing, Pendang sambil menyampaikan sumbangan peribadinya.

Beliau turut sedih dengan suasana kedaifan En Abu Hassan yang mempunyai 5 orang anak dan bekerja sebagai penoreh secara pawah dikebun orang.

Dewan Negara: Soalan ADN PAS 17 Julai 2007

Sesi soalan jawab Lisan – 10.00 pagi hingga 11.30 pagi

  • Soalan ke 8 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta MENTERI KEWANGAN menyatakan anggaran kerugian pelaburan Internet yang ditanggung oleh rakyat Malaysia. Setakat ini, adakah apa-apa pendakwaan yang telah dibuat terhadap operator pelaburan Internet terlibat.
  • Soalan ke 20 – Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta MENTERI TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI menyatakan :-
    (a) bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengatasi masalah kecurian kabel elektrik dan berapakah jumlah kerugian yang dialaminya; dan
    (b) berapakah nilaian tuntutan ganti rugi yang kena dibayar oleh TNB kepada pihak yang menyamannya berhubung dengan kecuaian yang membabitkan TNB dalam masa 5
    tahun kebelakangan ini.
  • Soalan ke 28 – Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta PERDANA MENTERI menyatakan kekerapan mesyuarat Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dalam setahun serta bagaimanakah pandangan Majlis tersebut disebarkan kepada rakyat.
  • Soalan ke 29 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan fungsi dan bidang kuasa agensi kelayakan Malaysia yang diumumkan baru-baru ini.
  • Soalan ke 35 – Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah jumlah kos yang dibelanjakan oleh Kerajaan setiap kali menghadapi pilihan raya umum atau kecil sejak tahun 1990.
  • Perbahasan Rang Undang Undang(RUU) – 11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 hingga 5.30 petang

  • Rang Undang-undang Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007
  • Rang Undang-undang Timbang dan Sukat (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007
  • Rang Undang-undang Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007
  • …mengharumkan nama negara lebih penting daripada sembahyang?

    Dr. Mohamed Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua… [Berucap dalam bahasa Arab] Ini merupakan suatu yang penting kepada seorang Muslim.

    Apakah pandangan Yang Berhormat Menteri apabila salah seorang daripada anggota Kabinet, baik yang lama ataupun yang baru mengatakan, mengharumkan nama negara itu lebih penting daripada sembahyang?

    Prof. Dato’ Dr. Abdullah bin Md. Zin: Mungkin saya tidak dengar kenyataan itu. Kalau boleh terangkan di mana dan sebagainya, tetapi mungkin dia…

    Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Itu cara PASlah. Fitnah!
    Prof. Dato’ Dr. Abdullah bin Md. Zin: Jadi semua orang tahu sembahyang itu adalah sangat penting. Misalnya sebagai contoh, katakan seorang itu memberi perkhidmatan kepada orang ramai, kerja itu bagi orang Islamlah, maknanya memberi kebaikan kepada orang ramai.

    Itu adalah lebih penting setelah mengerjakan solat itu sendiri. Solat saya rasa tidak ada persoalan lagi. Semua orang Islam mengatakan ia penting, tetapi apabila dia solat tidak menyumbang kepada kebaikan dan ada orang lain solat pula menyumbang kepada kebaikan, itu adalah menentukan seorang itu penting ataupun tidak kerana, disebutnya…

    [Berucap dalam bahasa Arab] Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak menyumbang kepada kebaikan manusia.

    Soalan asal daripada Datuk Ir. Hasni bin Haji Mohammad [Pontian] minta Perdana Menteri menyatakan mengapakah ulama mengambil masa hampir setahun untuk memberikan jawapan kepada persoalan angkasawan kita sukar menentukan kiblat untuk bersembahyang dan makanan yang dibekalkan tidak mematuhi piawaian halal.
    Teruskan membaca

    Dewan Rakyat: KPN terima suapan RM2.1 juta??

    Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian] Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sekiranya berlaku sesuatu kes jenayah dalam negara kita, sudah pasti rakyat bergantung harap kepada Pasukan Polis Di-Raja Malaysia.

    Saya mendapat maklum pada tanggal 13 April tahun 2007, surat daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah dikeluarkan untuk melepaskan satu kumpulan gengster yang dikenali sebagai kumpulan Goh Cheng Poh ataupun kumpulan Tengku Goh. Mereka dibebaskan daripada dakwaan seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969 tidak sampai dalam tempoh 7 hari.

    Ini melibatkan satu aduan yang telah dibuat, satu laporan polis yang telah dibuat dan saya difahamkan beberapa surat telah pun dihantar sendiri oleh beberapa individu, pesara Polis Di-Raja Malaysia ke pangkuan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang juga merangkap Menteri Dalam Negeri.

    Soalan tambahan saya Tuan Yang di-Pertua, dalam surat itu menyatakan tentang terlibatnya Ketua Polis Negara yang menerima suapan yang berjumlah RM2.1 juta terhadap pelepasan kumpulan gengster tersebut. Soalan saya, adakah kementerian Yang Berhormat sedar tentang perkara ini dan kalau benar, apakah tindakan yang telah diambil?

    Dato’ Mohd. Johari bin Baharum: Terima kasih Yang Berhormat. Berkenaan dengan perkara ini memang saya sedar kerana ia melibatkan saya, kerana ia di bawah Ordinan
    Pencegahan dan sebagainya. Saya telah berhubung dengan pihak Bukit Aman untuk mendapatkan penjelasan. Walau bagaimanapun, saya telah meminta pegawai saya untuk membuat laporan kepada pihak BPR untuk membuat siasatan. Terima kasih.

    Cari gali emas dimulakan semasa BN merintah lagi

    Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron [Rantau Panjang]: Terima kasih. Pertamanya saya nak tahu bermula tahun berapa pencarian ataupun permit cari gali dimulakan di kawasan Sokor ini? Tahun berapa? Masa tahun PAS memerintah ataupun tahun UMNO memerintah.

    Keduanya ialah minta supaya Yang Berhormat Setiausaha Parlimen perjelaskan maksud cari gali dan maksud Mining Certificate untuk dia melombong. Jadi saya nak tahu takrif kedua-dua itu, lesen melombong dengan lesen cari gali, saya takut keliru ini.

    Dato’ Sazmi bin Miah: Terima kasih Yang Berhormat. Masa BN memerintah dulu kita bagilah satu, dua yang beroperasi sekarang ini pun masa BN memerintahlah, yang 54 lagi tu masa PAS memerintah.

    Jadi Mining Certificate (MC) ini untuk pengetahuan Yang Berhormat dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri di bawah Jawatankuasa Mineral Negeri, di panggil MC (Mining Certificate)maksudnya untuk kelulusan penjelajahan dan juga cari gali.

    Mereka ini menjelajahlah seluruh hutan Sokor untuk mencari emas, tapi masalahnya ada balak ke atas tanah itu. Jadi, sebelum di gali itu mereka berfikir bahawa balak ini kita harus dikeluarkan. Jadi balak-balak ini dia hentamlah dulu sebelum dikorek untuk dapat emas tu.

    Masalahnya, kebanyakan kita tahu kebanyakan emas di negeri Kelantan di kawasan tropika adalah aluvium. Aluvium ini maksudnya emas yang berada di dalam anak-anak sungai ia tidak macam seketul ataupun tongkol-tongkol emas seperti di kawasan-kawasan Amerika ataupun Australia, ia bersama dengan pasir dengan air dalam sungai.

    Teruskan membaca

    Senator Mumtaz bahas Rang Undang2 Biokeselamatan

    Puan Mumtaz binti Md. Nawi: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya Cuma mempunyai beberapa cadangan berkaitan dengan Rang Undang-undang Biokeselamatan 2006.

    Yang pertamanya, berkenaan dengan keanggotaan iaitu di bawah seksyen 4. Di bawah sini ditunjukkan bahawa pihak kerajaan telah pun menetapkan beberapa orang wakil daripada kementerian-kementerian tertentu untuk memastikan keanggotaan untuk Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan ini meliputi semua kementerian yang berkenaan.

    Walau bagaimanapun, sebagaimana yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat tadi berkenaan dengan masalah halal, haram.

    Saya mencadangkan agar di para (h) – tidak lebih daripada empat orang yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman atau kedua-duanya dalam mana-mana disiplin atau perkara yang berkaitan dengan akta ini dimasukkan dan dimestikan salah seorang daripadanya wakil daripada JAKIM untuk memastikan masalah halal, haram ini akan menjadi satu perkara yang penting kepada orang Islam.

    Ini kerana kebayakan produk yang dihasilkan daripada LMO ini akan menentukan kehalalan ataupun haramnya sesuatu produk itu digunakan oleh orang Islam sebagai bahan makanan ataupun untuk perkara-perkara lain. Itu yang pertama.

    Keduanya, dari segi salah seorang daripada orang yang dimasukkan di sini saya cadangkan boleh diambil keanggotaannya daripada pakar-pakar hukum Islam dan sains. Sama ada daripada Universiti Islam Antarabangsa bahagian kedoktoran dan juga daripada Universiti Sains Islam Malaysia kerana kedua-dua universiti ini membekalkan orang-orang yang mempunyai hukum syarak dan sains dalam masa yang sama. Ini akan menjimatkan lebih banyak masa. Kemudian, berkaitan dengan kebanyakan proses bio LMOs ini membabitkan perkara-perkara yang berkaitan dengan sains.

    Teruskan membaca

    50 tahun merdeka: kita terkebelakang dari segi penjagaan alam sekitar

    Puan Mumtaz binti Md Nawi: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya hanya mempunyai beberapa soalan untuk dikemukakan sebelum kita menyokong Akta Kualiti Alam Sekeliling. Yang pertama berkenaan dengan adakah pihak kementerian mempunyai beberapa kiraan, apakah penekanan yang diperlukan dalam bajet bagi memastikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ini dapat kita laksanakan dengan baik sebab kita melihat kepada perkara ini yang telah pun banyak kali kita utarakan tetapi dari segi kesan kepada kualiti alam sekeliling nampaknya negara kita masih lagi belum mencapai tahap memuaskan dari segi penjagaan kualiti alam sekeliling.

    Oleh yang demikian mungkinkah pihak kementerian boleh memberikan apakah negara model yang telah kita jadikan contoh dalam penjagaan alam sekitar kerana kita lihat kalau di negara-negara Eropah, penjagaan alam sekitar ini sudah mencapai kejayaan dalam masa 20 tahun dan negara kita telah pun merdeka selama 50 tahun tetapi dari segi penjagaan alam sekitar ini kita mungkin agak terkebelakang.

    Yang seterusnya saya juga ingin bertanyakan kepada pihak kementerian, adakah pihak kementerian mempunyai kuasa untuk meneliti manual kerja dalam semua sektor industri yang melibatkan hal-hal kualiti alam sekeliling sebelum sebarang lesen boleh dikeluarkan oleh pihak kementerian ataupun jabatan-jabatan yang berkenaan khususnya untuk menjaga Akta Kualiti Alam Sekeliling. Itu sahaja soalan saya. Terima kasih.

    Teruskan membaca

    Sazmi akan jawab bertulis soalan Mumtaz

    Puan Mumtaz binti Md Nawi: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, berapakah bilangan kes yang dilaporkan di seluruh negara yang melibatkan kes fraud ke atas pindah milik tanah?

    Kedua, berapakah tempoh masa yang diambil di dalam Piagam Pelanggan untuk mempercepatkan urusan pindah milik tanah ini di semua pejabat tanah? Terima kasih.

    Dato’ Sazmi bin Miah: Bagi soalan pertama itu bilangan itu saya tak adalah data, saya akan bagi secara bertulis.

    Berkenaan dengan pindah milik tanah itu kita telah pun melancarkan projek e-kadaster yang pertama bermula pada awal tahun ini iaitu on-line data-data tanah. Kedua, yang akan bermula tidak lama lagi ialah e-tanah iaitu sekarang ini masih lagi pilot project di Penang, di mana kita cuba menyingkatkan masa pindah milik tanah daripada dua bulan kepada dua hari sahaja. Ini di antara kemudahan yang kita akan lakukan di peringkat kementerian. Insya-Allah role out untuk e-tanah sekiranya segala berjalan lancar akan dilaksanakan akhir tahun depan, insya-Allah. Terima kasih.