Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Kota Bharu kerana memberikan peluang kepada saya untuk mencelah. Saya bersetuju dengan pandangan Kota Bharu tadi bahawa perlu ada satu undang-undang bagi melindungi rakyat dalam negara kita bukan sekadar kerajaan dan di negara luar juga sebagai contoh United States of America, mereka ada apa yang dikatakan The Federal Fair Credit Reporting Act (FCRA) untuk melindungi pelanggan-pelanggan mereka.
Adakah Yang Berhormat Kota Bharu menyedari juga di samping CTOS ini ada lagi syarikat-syarikat yang berperanan menjual maklumat ini juga. CTOS dan juga BRIS yang boleh kita layari melalui http://www.bris.com.my yang juga berperanan dan boleh menjadi seperti CTOS.
Adakah Yang Berhormat menyedari tentang adanya syarikat-syarikat ini dan kenapa hari ini CTOS sahaja yang menjadi targetnya? Jadi kalau Yang Berhormat ada maklumat itu untuk kita kongsi bersama. Terima kasih Tuan Yang diPertua.
Datuk Mohd. Zaid bin Ibrahim [Kota Bharu]: Tuan Yang di-Pertua sebenarnya seperti yang saya sebut awal-awal tadi, persoalan usul ini bukan kepada CTOS atau kepada sesiapa. Ia sebenarnya mengkhususkan kepada perlunya peraturan dan undang-undang untuk mengawal syarikat-syarikat yang menjual maklumat, bukan sahaja CTOS, kepada semua syarikat-syarikat yang mengendalikan business ini. Perkara yang kedua Tuan Yang di-Pertua ialah kalau kita tidak ada undang-undang seperti yang dicadangkan ini maka budaya yang tidak menghormati maklumat ini akan berterusan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [ Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sedikit sahaja saya hendak mencelah. Saya hendak mengatakan di sini sebenarnya isu pokok mengenai syarikat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) ini ialah bagaimana maklumat kewangan peribadi boleh diberi kepada pihak swasta untuk dikendalikan, dikumpulkan, disimpan dan diedarkan.
Soalannya bukan sahaja mengapa maklumat kewangan peribadi harus dipantau, tetapi siapa yang seharusnya mengambil peranan yang begitu berat iaitu memegang dan mengawal selia maklumat yang begitu sensitif dan peribadi.
Jawapan yang paling wajar dan jelas ialah pihak agensi kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab kerana tindak laku pihak agensi kerajaan seperti Bank Negara akhirnya bertanggungjawab kepada rakyat tetapi sebuah syarikat swasta hanya bertanggungjawab kepada director syarikatnya. Ini merupakan masalah yang membabitkan semua polisi dan projek yang diswastakan baik pun penswastaan air ataupun penswastaan projek pengangkutan am.
Tanggungjawab sebuah syarikat berbeza dengan tanggungjawab yang dipikul oleh pihak kerajaan.
Satu lagi soalan yang wajib tetapi belum dijelaskan kepada Dewan Rakyat ialah siapa yang memberi kebenaran atau permit kepada CTOS untuk mengendalikan maklumat tersebut. Saya berasa hairan bagaimana CTOS dapat mengumpul data-data yang amat peribadi tanpa kebenaran khususnya dari pihak atasan. Itulah Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Teruskan membaca
Filed under: CTOS, Ucapan | Leave a comment »