MP Tumpat cabar Umno heret pengendali blog jika sebar fitnah

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar mencabar Umno supaya mengheret pengendali laman blog yang dikatakan menyebarkan fitnah kepada individu dalam parti itu jika mereka mempunyai bukti untuk berbuat demikian.

“Bagi saya, saya tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang membuat fitnah ke atas mana-mana pihak sekalipun, tetapi pada pandangan saya jika isu itu hendak ditentukan sahih atrau tidak, dakwa sahaja bloggers itu di mahkamah, bukannya bercakap sahaja dalam televisyen dan akhbar tanpa fakta,”tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS hari ini mengulas isu dakwaan fitnah ke atas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang dilaporkan dalam Malaysia-today.com.

Mengulas kritikan Muhammad Mohd Taib itu Kamarudin berkata, isunya bukanlah soal pendaftaran di luar negara, kerana baginya jika kerajaan ada bukti kukuh, mereka boleh mengheret pengendali blog itu ke mahkamah dengan beberapa peruntukan dalam undang-undang yang sedia ada.

Seperkara lagi katanya, tuduhan Umno bahawa ‘bloggers’ ini ditaja oleh pihak luar perlu dibuktikan di mahkamah dan bukan hanya membuat tuduhan di dalam akhbar sahaja.

“Jika benar ia fitnah, mereka boleh buat saman malu ke atas pengendali web itu.Soal pembiayaan dari luar itu saya kira tidak menjadi isu kerana, bagi saya tidak salah untuk menyuburkan industri akhbar di negara ini selagi ia berada dilandasan yang betul,”katanya.

PAS tolak perbuatan fitnah
Bagaimanapun PAS menolak sama sekali perbuatan fitnah yang dilakukan mana-mana pihak, justeru itu isu itu boleh ditentukan sahihnya jika ia dibawa ke mahkamah.

Katanya, individu yang didakwa membuat fitnah perlu dibuktikan tuduhan ke atasnya itu dengan perbicaraan di mahkamah.

Mutakhir kini, Umno dilihat terdesak dengan kewujudan beberapa laman web hingga katanya dalam satu mesyuarat majlis tertinggi parti itu, ada kertas kerja yang dibentang oleh Dato’ Norza Zakaria mengenai kewujudan ribuan laman web ini.

Akibat pembentangan kertas kerja oleh Norza itu, akhirnya Umno dilihat bimbang dan terdesak dengan kemungkinan kewujudan web ini mampu menggugat politik mereka lebih-lebih lagi pilihan raya umu semakin hampir, kata Kamarudin.
Teruskan membaca