Web milik PM berunsur hasutan

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin tidak sedar turut menyamakan bapa mertuanya, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan kenyataannya terdahulu yang menyifatkan ‘bloggers’ dan ‘webmaster’ dikatakan tidak bertanggungjawab sebagai ‘monyet’ setelah satu laporan polis dibuat ke atas bahan yang terkandung dalam web milik Perdana Menteri yang dikatakan berunsur hasutan.

Menurut Dato’ Kamarudin, Khairy dalam satu kritikannya terhadap isu beberapa bloggers dan webmaster yang dikatakan menyiarkan bahan berunsur fitnah menyamakan sikap pengendali blog dan web sebagai ‘monyet’.

Semalam katanya Ahli Jawatankuasa DAP, Ronnie Liu telah membuat laporan terhadap satu bahan dalam web Perdana Menteri yang dikatakan berunsur hasutan.

Berikutan itu, kenyataan Khairy terdahulu sebelum ini menyamakan bloggers dan webmaster sebagai ‘monyet’ kenyataan itu dengan sendirinya terpakai dalam kes bapa mertuanya itu, kata Kamarudin kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau menyifatkan Khairy seorang pemimpin pemuda yang tidak sopan, beliau turut melahirkan kekesalan kepada Naib Ketua Pemuda Umno itu atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Kamarudin yang juga Setiausaha Agung PAS meminta laporan yang dibuat ke atas PM itu disiasat oleh pihak polis dengan telus dan adil seperti dalam kes Raja Petra dan bloggers yang lain, Polis begitu cepat sekali menyiasat.

Semalam, satu laporan polis dibuat terhadap Perdana Menteri berhubung satu komen yang didakwa berunsur hasutan yang disiarkan dalam lamanwebnya.

Laporan tersebut dibuat Ronnie Liu di balai polis Damansara Utama.

Menurut laporan tersebut, sebuah artikel bertajuk ‘Bersatulah Kaum Cina’ yang didakwa mengandungi komen berunsur perkauman, telah disiarkan dalam lamanweb tersebut pada November 2005.

Artikel tersebut, disiarkan atas nama penulis, Dr Ng Seng, mendakwa, kaum Cina berkomplot untuk melemahkan politik dan ekonomi orang Melayu.

Artikel tersebut yang ditulis dalam versi bahasa Malaysia, mendakwa rusuhan kaum 1969 adalah percubaan yang gagal oleh orang Cina untuk mengambilalih negara ini.

Artikel tersebut disiarkan dalam bahagian ucapan takziah yang disediakan berikutan kematian isteri pertama Abdullah, Datin Seri Endon Mahmood pada Oktober 2005.

Artikel yang mula disiarkan pada 14 November tahun lalu, telah dikeluarkan dari laman web tersebut semalam.
Teruskan membaca