Polis sukar kesan penganjur perlumbaan haram

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata pihak berkuasa menghadapi kesukaran mengesan mereka (penganjur) yang menganjur perlumbaan haram.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Mumtaz Md. Nawi mengenai tindakan polis ke atas penganjur lumba haram.

Senator Mumtaz ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Negara berkata terdapat maklumat menyatakan pihak tertentu menaja lumba haram ini bagi kepentingan mereka dengan gelanggang jalan raya sebagai pertaruhan nyawa anak muda.

Mumtaz juga mencadangkan agar kerajaan meminda peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 untuk memberatkan lagi hukuman ke atas penganjur dan pelumba haram yang disabitkan kesalahan.

Selain itu, beliau turut mahu kerajaan memberi kuasa keada mahkamah dengan meminda akta tersebut membolehkan mahkamah menentukan pesalah menjalani kerja sosial sebagai salah satu hukuman seperti yang pernah diamalkan di United Kingdom.

Sementara itu ketika menjawab soalan asal Senator Heng Seai Kie pada persidangan Dewan Negara, Dato’ Johari berkata sebanyak 788 orang ditangkap kerana terlibat dalam perlumbaan haram bagi tempoh 2006 hingga April lalu.

Menurut Dato Johari Baharum, jumlah mereka yang ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 tahun lalu itu adalah 616 orang manakala 172 orang dalam empat bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji dan meneliti cadangan untuk melaksanakan hukuman berat ke atas pelumba haram terbabit.

‘‘Kajian yang teliti perlu dilakukan dari aspek perundangan dan penguatkuasaan selain tindakan lain dalam menangani aktiviti lumba haram,” katanya.

Reaksi Pembangkang: Siapa memberi kebenaran kepada CTOS kumpul maklumat?

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Kota Bharu kerana memberikan peluang kepada saya untuk mencelah. Saya bersetuju dengan pandangan Kota Bharu tadi bahawa perlu ada satu undang-undang bagi melindungi rakyat dalam negara kita bukan sekadar kerajaan dan di negara luar juga sebagai contoh United States of America, mereka ada apa yang dikatakan The Federal Fair Credit Reporting Act (FCRA) untuk melindungi pelanggan-pelanggan mereka.

Adakah Yang Berhormat Kota Bharu menyedari juga di samping CTOS ini ada lagi syarikat-syarikat yang berperanan menjual maklumat ini juga. CTOS dan juga BRIS yang boleh kita layari melalui http://www.bris.com.my yang juga berperanan dan boleh menjadi seperti CTOS.

Adakah Yang Berhormat menyedari tentang adanya syarikat-syarikat ini dan kenapa hari ini CTOS sahaja yang menjadi targetnya? Jadi kalau Yang Berhormat ada maklumat itu untuk kita kongsi bersama. Terima kasih Tuan Yang diPertua.

Datuk Mohd. Zaid bin Ibrahim [Kota Bharu]:
Tuan Yang di-Pertua sebenarnya seperti yang saya sebut awal-awal tadi, persoalan usul ini bukan kepada CTOS atau kepada sesiapa. Ia sebenarnya mengkhususkan kepada perlunya peraturan dan undang-undang untuk mengawal syarikat-syarikat yang menjual maklumat, bukan sahaja CTOS, kepada semua syarikat-syarikat yang mengendalikan business ini. Perkara yang kedua Tuan Yang di-Pertua ialah kalau kita tidak ada undang-undang seperti yang dicadangkan ini maka budaya yang tidak menghormati maklumat ini akan berterusan.

Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [ Permatang Pauh]
: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sedikit sahaja saya hendak mencelah. Saya hendak mengatakan di sini sebenarnya isu pokok mengenai syarikat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) ini ialah bagaimana maklumat kewangan peribadi boleh diberi kepada pihak swasta untuk dikendalikan, dikumpulkan, disimpan dan diedarkan.

Soalannya bukan sahaja mengapa maklumat kewangan peribadi harus dipantau, tetapi siapa yang seharusnya mengambil peranan yang begitu berat iaitu memegang dan mengawal selia maklumat yang begitu sensitif dan peribadi.

Jawapan yang paling wajar dan jelas ialah pihak agensi kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab kerana tindak laku pihak agensi kerajaan seperti Bank Negara akhirnya bertanggungjawab kepada rakyat tetapi sebuah syarikat swasta hanya bertanggungjawab kepada director syarikatnya. Ini merupakan masalah yang membabitkan semua polisi dan projek yang diswastakan baik pun penswastaan air ataupun penswastaan projek pengangkutan am.

Tanggungjawab sebuah syarikat berbeza dengan tanggungjawab yang dipikul oleh pihak kerajaan.

Satu lagi soalan yang wajib tetapi belum dijelaskan kepada Dewan Rakyat ialah siapa yang memberi kebenaran atau permit kepada CTOS untuk mengendalikan maklumat tersebut. Saya berasa hairan bagaimana CTOS dapat mengumpul data-data yang amat peribadi tanpa kebenaran khususnya dari pihak atasan. Itulah Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Teruskan membaca

Akhirnya Kabinet setuju ganti Nuri dengan pesawat lain 2 tahun lagi

KUALA LUMPUR 18 Julai: Setelah menerima tekanan pelbagai pihak termasuk dari Dewan Negara NGO dan parti-parti pembangkang akhirnya Kabinet telah bersetuju supaya pesawat Nuri yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 1968 digantikan dengan pesawat baru.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, proses penggantian pesawat Nuri itu dijangka menjadi kenyataan dalam tempoh dua setengah tahun hingga tiga tahun lagi apabila pesawat baru diterima kerajaan.hari ini.

Bagaimanapun bergantung persetujuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang kini bercuti.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub amat marah dengan kenyataan Najib yang menyatakan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bukan dalam tempoh terdekat ini.

Salahuddin mempersoalkan, nahas demi nahas yang melibatkan Nuri bukan sahaja menyebabkan rakyat negara merasa amat malu, malah berada dalam ketakutan kerana tidak merasa yakin dengan tahap kemampuan pertahanan negara.

“Apa perasaan Najib, jika isterinya jatuh Helikopter Nuri,” kata Salahuddin ketka dihubungi.

“Sepatutnya kerajaan serta menteri yang bertanggungjawablah merasa malu dan takut serta bertindak habis-habisan untuk melengkap serta mengemaskinikan peralatan serta kemampuan pertahanan negara.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Najib berkata, Kabinet juga bersetuju supaya proses pembelian pesawat baru itu dibuat sebuat secara memanggil tender terbuka antarabangsa.

“Tender terbuka ini akan dikeluarkan dalam tempoh beberapa bulan lagi,” katanya.

Di Dewan Negara, Senator Mumtaz binti Md Nawi telah mengemukakan usul bagi membolehkan Dewan yang mulia ini merundingkan isu nahas yang melibatkan Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melibatkan enam anggota TUDM terkorban.

Mumtaz juga mendesak supaya Dewan Negara membincangkan kewajaran pemberhentian penggunaan pesawat Nuri yang serius ini demi kepentingan rakyat dan memastikan kemalangan ini tidak berulang supaya Helikopter Nuri ini digantikan dengan pesawat yang lebih canggih.

“Komitmen akan tahap keyakinan terhadap Nuri hendaklah dicerminkan sekiranya ia benar-benar selamat untuk dijadikan pengangkutan rasmi pemimpin kerana tiada beza dan kompromi akan nilai nyawa seorang pejuang dan pemimpin kepada ibu pertiwi,” kata Mumtaz.

Teks penuh yang dikemukakan adalah seperti berikut:
Tuan Yang di-Pertua,
Penggunaan pesawat usang Nuri, benar-benar tidak selari dengan hasrat peningkatan mutu pertahanan negara untuk para wira menjalankan tugas rasmi mereka.

Nuri (Sikorsky S61) telah digunakan sejak 40 tahun lepas, ketika negara membeli 31 buah pesawat dari AS. Bermula 25 April 1969 sehinggalah 29 Mei 2004, sebanyak 17 insiden nahas telah berlaku lalu menjadikanya 18 jika dicampur kejadian minggu ini.
Teruskan membaca

Dewan Negara: Soalan ADN PAS pada 19 Julai 2007

Sesi soalan jawab lisan – 10.00 hingga 11.30 pagi

  • Soalan ke 9 – Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan berdasarkan kepada laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Persatuan Peladang Kebangsaan (PPK), mengapakah kadar keuntungan saham PPK tidak bertambah walaupun aliran modal dah harta meningkat kerana untung bersih adalah dalam kadar RM 2-3 juta sejak 25 tahun lepas. Apakah faktor penolak dan penggalak keuntungan dan perniagaan PPK dalam tempoh tersebut.
  • Soalan ke 41 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah alasan Kerajaan untuk meneruskan undian pos kepada anggota tentera dan polis walaupun mereka berada di kem dan balai polis di dalam bandar.
  • Soalan ke 58 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan perbelanjaan bagi program PLKN sejak ianya dilancarkan. Adakah Kerajaan akan melaksanakan cadangan untuk mengasingkan pelatih PLKN lelaki dan wanita dan adakah ini akan melibatkan perbelanjaan tambahan.
  • Soalan ke 68 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah rancangan Kerajaan untuk menaikkan semula imej dan prestasi Proton. Bagaimanakah struktur pemilikan Proton apabila selesai rundingan nanti dan apakah kesannya.
  • Perbahasan Rang Undang-Undang – 11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 hingga 5.30 petang

  • Rang Undang-undang Penggalakan Pelaburan (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007
  • Rang Undang-undang Pilihan Raya (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Bank Islam (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Takaful (Pindaan) 2007
  • Senator Mumtaz wakili Dewan Negara ucap takziah kepada 6 Keluarga Mangsa nahas Nuri

    Senator Mumtaz binti Md Nawi, hari ini diberi penghormatan mewakili Dewan Negara membacakan ucapan takziah kepada enam keluarga mangsa nahas pesawat Nuri dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa sesi sidang Dewan Negara sesi pagi hari ini.

    Mumtaz yang bangun setelah dibenarkan oleh Yang diPertua Dewan Negara, Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh berkata, Dewan Negara mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas Nuri dan TUDM.

    Pemergian enam anggota TUDM ini adalah satu pengorbanan yang perlu dilihat sebagai sumbang bakti kepada perjuangan negara, kata Mumtaz yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.

    “Saya berharap kejadian ini dijadikan iktibar oleh semua pihak termasuk kerajaan dan saya cadangkan agar pesawat Nuri ini digantikan sahaja dengan pesawat lain yang baru,”katanya tegas.

    Bagaimanapun ketika Mumtaz mahu menyambung ucapan berhubung cadangan menggantikan Nuri itu, Abdul Hamid menghalang ucapan Mumtaz untuk diteruskan.

    Abdul Hamid memberi alasan tidak mahu perkara bersabit penggantian Nuri atau pesawat diucapkan di Dewan Negara.

    Bagaimanapun ucapan takziah yang disampaikan Mumtaz itu akan dibawa oleh Dewan Negara kepada TUDM dan keluarga mangsa sebagai mewakili Dewan Negara, kata Abdul Hamid.

    Sementara itu, semua media hari ini melaporkan semua enam pegawai dan anggota TUDM yang hilang bersama helikopter Nuri sejak Jumaat lalu, terkorban dengan pesawat itu ditemui terhempas di lurah bukit, kira-kira lima kilometer dari terowong Genting Sempah dekat sini, petang semalam.
    Teruskan membaca

    Kerugian terkumpul TNB sehingga Ogos 2006 RM50.7 juta

    Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, dari bulan September tahun 2004 sehingga bulan Ogos tahun 2006, jumlah kerugian terkumpul yang terpaksa ditanggung oleh TNB disebabkan kecurian pepasangan atau peralatan elektrik ialah RM50.7 juta.

    “Kerugian tersebut hanyalah meliputi kos langsung penggantian peralatan yang telah dicuri dan tidak temasuk kos-kos tidak langsung lain seperti kehilangan hasil,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Mumtaz binti Md Nawi di Dewan Negara semalam.

    Kata Dr Lim, Kerugian lain yang perlu juga diambil kira ialah kerugian yang dialami oleh pengguna disebabkan gangguan bekalan elektrik akibat gejala kecurian logam tersebut, kehilangan keyakinan oleh pelabur-pelabur asing akan tahap keselamatan dalam negara dan kerugian kepada sumber dan produktiviti negara.

    Masalah kecurian kabel merupakan masalah yang bukan sahaja melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB)

    Beliau berkata, turut terlibat dengan kecurian kabel adalah semua utiliti lain temasuk Indah Water Konsortium (IWK), Telekom Malaysia (TM) dan SYABAS.

    TNB juga turut mengalami kerugian disebabkan kecurian yang melibatkan pepasangan dan peralatan lain seperti transformer, switchgear, serta bahan-bahan logam dan juga minyak yang digunakan dalam pepasangan-pepasangan tersebut.

    Dalam soalan asalnya, Senator Mumtaz minta MENTERI TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI menyatakan bagaimana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengatasi masalah kecurian kabel elektrik dan berapakah jumlah kerugian yang dialami; dan nilaian tuntutan ganti rugi yang kena dibayar oleh TNB kepada pihak yang menyamannya berhubung dengan kecuaian yang membabitkan TNB dalam masa 5 tahun kebelakangan ini.

    “Nilai ganti rugi atau pampasan yang dibayar oleh TNB dalam tempoh 5 tahun kebelakangan kepada pihak yang menyamannya berkaitan dengan kecuaian yang membabitkan TNB ialah RM2.34 juta,” katanya.
    Teruskan membaca

    Takziah daripada Ahli Parlimen PAS kepada 6 keluarga Mangsa Helikopter Nuri

    Ketua Whip PAS di Parlimen, Salahuddin Haji Ayub bagi pihak seluruh Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari PAS mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas helikopter Nuri yang terdiri daripada juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi, pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof, Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara), Sjn Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.

    Sesungguhnya rakyat Malaysia turut berduka dan bersedih di atas kehilangan mereka sebagai negarawan. Pemergian mereka hari ini seperti kehilangan enam butir bintang yang cukup berjasa terhadap negara.

    Dalam keadaan negara yang akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 50 tahun, kita dikejutkan dengan berita sedih seumpama ini yang melibatkan pengawal negera.

    Pahitnya ujian Allah di dunia ini bertukar menjadi manis di akhirat kiranya kita bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi.

    Diberitakan Nabi Muhammad s.a.w memberitahu; “Sesiapa yang ditimpa musibah lalu kemudiannya teringat kembali peristiwa itu sesudah lama berlaku dan mengucapkan istirja’ setiap kali ia teringatkan peristiwa itu, Allah menuliskannya pahala sebagaimana pahala hari pertama ia ditimpa musibah (dan mengucapkan ucapan istirja’ iaitu ‘Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali’).

    Kami mendoakan mudah-mudahan Allah mencucuri roh ke atas enam wira negara yang mencurah jasa dan berkorban untuk Negara ini. Kami juga mendoakan supaya seluruh kaum keluarga yang terlibat agar tabah dan sabar menghadapi ujian yang melanda ini. Kami juga mendoakan agar roh ke atas enam wira Negara ini ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang soleh jua. Amin.

    “Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita Kembali”

    Daripada,
    YB SALAHUDDIN AYUB
    YB Dato’ Kamarudin Jaffar
    YB Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman
    YB Haji Abdul Fatah Haron
    YB Ustaz Ismail bin Noh
    YB Dr. Mohd Hayati bin Othman
    YB Senator Wan Ubaidah binti Omar
    YB Senator Mumtaz binti Md Nawi
    Teruskan membaca

    Dengan lulus Agensi Kelayakan Malaysia, mutu pendidikan tinggi akan meningkat?

    Puan Mumtaz binti Md. Nawi: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Agensi Kelayakan Malaysia 2007.

    Isu pertama yang saya ingin kemukakan ialah adakah pihak kementerian ada memasukkan mana-mana cadangan ataupun mana-mana seksyen yang mengatakan bahawa mana-mana universiti yang tidak mendapatkan kelulusan ataupun akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia ini boleh beroperasi di Malaysia. Itu yang pertama.

    Jadi, kalau tidak ada itu, apakah kewajipan ataupun galakan untuk kita memastikan bahawa semua universiti yang ada di dalam negara ini akan mematuhi akta ini dan akan mendapat kelulusan akreditasi ini.

    Yang kedua, untuk kita mendapatkan hak akreditasi, contohnya macam sebelum ini di bawah Rang Undang-undang Makmal Patologi, sekiranya satu makmal induk mendapat kelulusan, tidak semestinya cawangan akan mendapat kelulusan. Oleh itu, untuk akreditasi ini, adakah sekiranya universiti induk itu mendapat kelulusan, bagaimana pula dengan cawangan yang ditubuhkan di bawah universiti yang sama di tempat-tempat yang lain.

    Adakah mereka perlu mendapatkan permohonan ataupun akreditasi serta sijil yang berlainan bagi cawangan-cawangan yang mereka tubuhkan di bawah universiti tersebut. Berkenaan dengan swaakreditasi di bawah seksyen 61, diberikan bahawa pihak pemberi pendidikan boleh membuat satu swaakreditasi atas undangan.

    Apakah tindakan kerajaan dan bagaimanakah galakan yang akan dibuat oleh kerajaan bagi memastikan bahawa swaakreditasi ini akan benar-benar mencapai matlamatnya? Dan adakah sebarang insentif diberikan kepada manamana pemberi pendidikan tinggi boleh membuat swaakreditasi ini?

    Seterusnya berkenaan dengan seksyen 24, disebutkan bahawa Agensi Kelayakan Malaysia ini boleh memberikan pinjaman pendahuluan serta biasiswa. Bagaimanakah perkara ini berlaku? Adakah tidak perkara ini bertentangan ataupun berlaku pertindanan dengan perkara yang telah dibuat oleh PTPTN di mana pihak Agensi Kelayakan Malaysia boleh mengeluarkan biasiswa yang tersendiri.

    Untuk di bawah seksyen 36 mengatakan bahawa antara objektif kerangka ialah untuk menggalakkan di bawah 36.(e), untuk menggalakkan pariti penghargaan antara kelayakan akademik, profesional, teknikal, vokasional dan kemahiran.

    Adakah ini bererti dengan kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia ini semua pengiktirafan ataupun galakan yang dibuat berkaitan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi akan melalui dan mendapat pengesahan daripada AKM sebelum sebarang perisytiharan tentang mana-mana penghargaan ataupun award diberikan kepada manamana pelajar.

    Berkaitan dengan Agensi Kelayakan Malaysia juga, saya ingin bertanya kepada kerajaan. Tidakkah pihak kerajaan sedar tentang bagaimana berlaku perbezaan peratusan kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah rendah, ke sekolah menengah di mana kita lihat berlaku keseimbangan antara peratusan pelajar yang masuk antara lelaki dan perempuan. Bila perkara ini timbul sampai ke peringkat universiti berlaku perbezaan yang cukup jelas iaitu lebih kurang 70% perempuan akan masuk universiti. Manakala 30% adalah pelajar laki-laki.

    Dalam konteks ini dalam usaha kerajaan menyeragamkan serta meninggikan kualiti kelayakan pelajar-pelajar di Malaysia, adakah pihak kementerian akan membuat penekanan agar memastikan syllabus yang diperkenalkan di semua universiti akan lebih mesra lelaki.

    Sesuai untuk menggalakkan pelajar-pelajar lelaki menyambung pelajaran sehingga ke peringkat universiti kerana perkara ini sekiranya kita tidak pantau, bukan hanya memberi kesan dari segi pekerjaan, tetapi kepada seluruh kedudukan sosial masyarakat kerana berlaku ketidakseimbangan antara pendidikan perempuan dengan lelaki.
    Teruskan membaca

    “Adakah LAN telah gagal melaksanakan fungsinya… sehingga perlu badan baru” kata Senator Wan Ubaidah

    Puan Wan Ubaidah binti Omar: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk turut memberikan beberapa pandangan mengenai dengan Rang Undang-undang Agensi Kelayakan Malaysia 2007.

    Pada awalnya, apabila rang undang-undang ini hendak diperkenalkan, terdetik di pemikiran saya, adakah LAN selama ini telah gagal melaksanakan fungsinya sebagai satu badan untuk mengakreditasi kursus-kursus dalam negara kita sehingga perlu kepada satu badan yang baru yang dinamakan sebagai Agensi Kelayakan Malaysia.

    Kita dengar sebelum ini pun beberapa rungutan dan betapa sukar untuk mendapatkan kelulusan daripada LAN terutamanya oleh badan-badan ataupun IPTS-IPTS di dalam negara kita.

    Saya ingin merujuk kepada fasal 126, dan sebelum itu fasal 115 yang menyatakan bahawa dengan adanya rang undang-undang ini, maka LAN akan dimansuhkan tetapi fasal 126 juga membenarkan nama LAN masih boleh terus diguna pakai.

    Apakah ini nanti tidak akan boleh menimbulkan keraguan. Jadi, yang mana satu sekiranya Agensi Kelayakan Malaysia masih mengguna pakai nama Lembaga Akreditasi Negara.

    Saya kira adalah wajar apabila LAN itu dimansuhkan, maka apa perlunya lagi nama itu diguna pakai. Saya ingin juga bertanya apakah bidang kuasa Agensi Kelayakan Malaysia ini laku juga diguna pakai untuk semua IPTA dan juga IPTS dalam negara? Apakah kursus-kursus pendek juga tertakluk kepada Agensi Kelayakan Malaysia? Apakah definisi kursus pendek itu?

    Adakah kursus satu hari atau dua hari juga tertakluk kepada Agensi Kelayakan Malaysia? Bagi IPTS ataupun IPTA yang sudah pun mendapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Negara, kalau boleh saya ingin mendapat jawapan berapa buah IPTS dalam negara kita yang sudah mendapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Negara dan juga bagi IPTA, sudah berapa buah IPTA di dalam negara kita yang sudah dapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Negara?

    Bagi yang sudah mendapat kelulusan ini, adakah mereka perlu memohon semula ataupun perlu mengisi borang-borang yang baru ataupun membayar fi-fi yang lain pula apabila diluluskan oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

    Begitu juga bagi kursus-kursus profesional yang banyak mendapat rungutan, terutamanya daripada kalangan IPTS di mana kursus-kursus profesional sudah pun mempunyai badan-badan pemantauan mereka sendiri, adakah mereka juga masih tertakluk di bawah Agensi Kelayakan Malaysia? Jadi sejauh mana agensi ini akan memantau dan menentukan kelulusan bagi kursus
    kursus yang bertaraf profesional.
    Teruskan membaca

    Dewan Negara: Soalan ADN PAS 18 Julai 2007

    Sesi Jawab Lisan – 10.00 hingga 11.30 pagi

  • Soalan ke 40 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan perkembangan terkini FTA dengan Amerika Syarikat. Sejauh manakah pula pelaksanaan FTA setakat ini serta apakah manfaat kepada rakyat dan
    negara.
  • Soalan ke 45 – Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan berapakah jumlah kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan untuk membaik pulih struktur bangunan dan siling bocor dari Januari 2005 sehingga Jun 2007 dan berapakah kontraktor yang telah dikenal pasti yang telah didakwa di mahkamah.
  • Soalan ke 49 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta PERDANA MENTERI menyatakan jenis, gred dan nilai minyak petroleum yang dieksport dan diimport oleh Malaysia sejak tahun 2003.
  • Soalan ke 71 – Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
    (c) bagaimanakah Kerajaan mengenal pasti cabaran serta agensi yang bertanggungjawab untuk memantau projek Wilayah Pembangunan Iskandar agar aliran keluar wang negara khususnya ke Singapura dapat dikawal dan tidak menyebabkan ketidakseimbangan dalam negara ; dan
    (d) berapakah syarikat GLC milik Kerajaan yang telah dikenal pasti akan dapat menyaingi syarikat gergasi luar negara dalam memajukan Wilayah Pembangunan Iskandar tersebut.
  • Perbahasan Rang Undang-Undang – 11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 hingga 5.30 petang

  • Rang Undang-undang Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007
  • Rang Undang-undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Penggalakan Pelaburan (Pindaan) 2007