Menteri, Timbalan Menteri ternyata gagal galas tanggungjawab

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata arahan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen meletak jawatan di semua posisi teraju persatuan sukan bukanlah hanya kerana masalah sukan, sebaliknya kegagalan mereka yang terbabit menggalas tanggungjawab sebagai menteri dan Timbalan Menteri dalam membangunkan masyarakat.

Masalah kegagalan ini juga timbul dalam mereka mengendalikan pertubuhan lain termasuk belia dan masyarakat.Ia termasuk pertubuhan belia yang sering mengalami masalah kepimpinan hinggakan belia hari ini hilang arah tujunya, kata Kamarudin.

Katanya, rasuah dan penyelewengan selain campur tangan politik yang kerap berlaku dalam pentadbiran persatuan sukan, belia dan masyarakat yang dilakukan oleh golongan ini juga menyumbang kepada kemerosotan pencapaian negara dalam bidang-bidang tertentu.

Campur tangan ini menyebabkan kegagalan membangunkan persatuan sukan malah tidak mustahil berlakunya penyelewengan dan rasuah yang sekaligus mengagalkan kemajuan persatuan, katanya yang juga Setiausaha Agung PAS.

“Mereka seharusnya bukan sahaja letak jawatan di persatuan sukan, tetapi semua persatuan termasuk belia dan masyarakat yang lain.Kini persatuan belia dilihat dipegang oleh golongan ini termasuk menteri-menteri besar seperti Dato’ Seri Ali Rustam, Dato’ Seri Khir Toyo dan sebagainya, mereka ini juga perlu letak jawatan dari persatuan belia,” mengulas kenyataan PM semalam.

Kegagalan mereka ini mentadbir kementerian sudah cukup membimbangkan rakyat akan masa depan negara, katanya.

Menurutnya, rakyat sudah jemu melihat kelibat Menteri, Timbalan Menteri dan sebagainya (termasuk Menteri Besar dan Ketua Menteri) dalam menerajui persatuan sukan, belia dan masyarakat kerana mereka ini ternyata gagal membangunkan persatuan tersebut.

Mereka ini juga gagal menjalankan amanah menerajui kementerian yang dipegang menyebabkan banyak projek dan program pembangunan masyarakat menuju jalan buntu.

Beliau menggesa semua menteri, menteri besar, timbalan menteri serta setiausaha parlimen meletak jawatan dalam semua persatuan sukan, belia dan masyarakat kerana gagal dalam tanggungjawab mereka kepada masyarakat.

Kebanyakan mereka yang menerajui persatuan atau pertubuhan sukan, belia dan masyarakat ini adalah anggota Barisan Nasional (BN) yang terdiri dari semua wakil komponen BN termasuk Umno dan MCA.

Letak jawatan Persatuan Sukan, kata PM
Semalam, Perdana Menteri mengeluarkan arahan melarang menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen memegang sebarang jawatan dalam persatuan sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Azalina Othman Said berkata, larangan itu yang tidak melibatkan Menteri Besar serta Ketua Menteri dibuat oleh Perdana Menteri pada mesyuarat Kabinet semalam dan ia berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, arahan itu dibuat Abdullah kerana mahu barisan Kabinet memberikan sepenuh perhatian kepada tugas di kementerian masing-masing.

“Keputusan ini dibuat Perdana Menteri selepas berbincang dengan menteri Kabinet. Namun menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen masih dibenarkan memegang jawatan bukan eksekutif seperti penasihat atau penaung kepada persatuan sukan yang mereka sertai,” katanya.

Antara menteri yang menjawat jawatan dalam persatuan sukan ialah Menteri Pelancongan, Dato’ Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Chan Kong Choy sebagai Presiden Persatuan Pingpong Malaysia dan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri Dr Fong Chan Onn (Presiden Persekutuan Amatur Bina Badan Malaysia) manakala Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Anifah Aman ialah Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.

Menurut Azalina lagi, ketiadaan menteri, timbalan menteri atau setiausaha Parlimen dalam persatuan sukan tidak semestinya akan menjejaskan kemantapan persatuan sukan seperti yang telah dibuktikan dalam skuasy, badminton dan tenpin boling.

Isu arahan peletakan jawatan ini bermula selepas prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan Bolsepak negara merudum dalam kejohanan Piala Asia lalu.

28 Pelajar terima sumbangan Ahli Parlimen Pendang

GAJAH MATI (Pendang): Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman menyampaikan sumbangan kepada 28 orang pelajar yang berjaya menyambung pengajian mereka ke IPTA dan IPTS tempatan dan luar negara di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Pendang di sini semalam.

Oleh kerana kebanyakan pelajar ke IPTA dalam negeri telah masuk belajar, maka hanya ibu bapa mereka sahaja yang hadir untuk menerima sumbanan.

Pada bulan Jun Lalu, pusat Khidmat Wakil Rakyat juga telah menyumbangkan bantuan kewangan kepada 20 orang pelajar yang memohon bantuan kewangan melalui pusat khidmat ini dan telah disempurnakan oleh beliau dan YB Mohd Taulan Rasul, ADUN Tokai, Pendang.

Kebanyakan pelajar ini adalah mereka yang dapat melanjutkan pelajaran Ke IPTA tempatan dan luar Negara.